Pages

20 February 2014

Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 2)

Dalam post Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 1) saya telah menyebutkan tentang perselisihan pendapat dalam kalangan ulama' di Malaysia berkaitan hukum melabur di ASB dan ASN. Sebahagiannya berpendapat bahawa hukumnya harus manakala sebahagian yang lain mengatakannya haram. Dalam post tersebut juga saya telah menimbulkan persoalan tentang pendapat mana yang perlu kita pegang sama ada harus atau haram. Berikut adalah sambungan daripada bahagian 1:


Terus terang saya katakan persoalan ini bukanlah suatu yang mudah untuk dijawab. Lebih-lebih lagi apabila perkara ini melibatkan wang ringgit dan kita tahu bahawa wang ringgit adalah perkara yang sensitip dan berupaya melemahkan orang yang paling beriman sekalipun. Saya bukanlah individu yang layak untuk memberi fatwa dan di dalam penulisan ini saya tidak menidakkan hak para pembaca untuk memilih pendapat yang anda kira lebih menepati kehendak syara'. Sebaliknya saya sekadar mengutarakan pandangan peribadi saya berkenaan dengan perdebatan yang tidak berkesudahan ini.

1. Pendapat yang mengatakan ASB dan ASN halal

Jika kita lihat daripada hujah-hujah yang diberikan oleh golongan yang berpendapat bahawa hukum pelaburan di ASB dan ASN adalah harus, mereka tidak menafikan bahawa hukum asal pelaburan di kedua entiti tersebut adalah haram TETAPI disebabkan faktor-faktor luar (yang mereka anggap sebagai dharurat) menjadikannya harus. Justeru hukum harus yang diberikan boleh saya kategorikan sebagai bukan harus lizatihi (kerana hakikat skim pelaburan itu sendiri) tetapi harus lighairihi (yakni kerana faktor-faktor luaran).

15 February 2014

Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 1)

Perdebatan yang tak sudah tentang hukum melabur di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) kembali hangat lebih-lebih lagi apabila Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) membangkitkan isu ini yang sejak kebelakangan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.



Keresahan yang timbul rata-ratanya berpunca daripada tindakan sesetengah pendakwah bebas yang mengatakan hukum melabur dalam ASB dan ASN adalah haram. Ini ditambah lagi dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang menyatakan bahawa ASB dan ASN 'tidak patuh Shariah' atau haram kerana sebahagian daripada dana yang dimiliki oleh kedua-dua entiti ini dilaburkan dalam bidang yang haram dan syubhah antaranya seperti berikut (rujuk laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31/12/2012):

1) Maybank Berhad (termasuk perbankan ribawi) - 23.23%
2) British American Tobacco Berhad - 0.69%
3) Fraser and Neave Holding Bhd (termasuk pengilangan beer) - 0.71%