Pages

25 November 2013

Hukum Derma/Jual Darah Manusia


Umum telah mengetahui apakah itu menderma darah. Justeru, tidak ada keperluan untuk kita menyebut pengertiannya dan langsung sahaja kita lihat perbincangan berkenaan hukum menderma darah di sisi Islam. Ulama' bersepakat bahawa tubuh dan setiap anggota badan manusia itu bukanlah barang milikan. Tidak dimiliki oleh tuan punya anggota badan apatah lagi orang lain. Oleh itu tubuh dan anggota badan manusia itu bukanlah suatu bahan yang boleh didagangkan, dijual beli ataupun didermakan.

Memandangkan darah manusia termasuk dalam kategori anggota badan manusia, ulama memperuntukkan suatu perbahasan khusus bagi membincangkan soal keharusan berurusan dengan darah manusia sama ada melalui jual beli mahupun derma. Memandangkan tiada nas yang jelas sama ada daripada Al-Quran mahupun Sunnah yang membincangkan secara langsung soal hukum menderma darah, para ulama terpaksa melihat dari sudut maslahah (kepentingan dan kebaikan) yang dibawa daripada aktiviti derma darah dan dinilai pula dengan dharar (keburukan dan bahaya) yang mungkin datang daripada aktiviti ini.