Pages

21 April 2013

Kewajipan Mengundi Parti Politik Tertentu dalam Pilihanraya

Ketika kita menghampiri Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13), parti-parti politik di Malaysia semakin menampakkan keterdesakan mereka dalam mengemis undi rakyat. Mereka terpaksa memanfaatkan dan mempergunakan segala 'senjata' yang ada tidak cukup dengan melempar fitnah sewenang-wenangnya bahkan sehingga ke tahap memperalatkan hukum agama demi 'memaksa' rakyat mengundi mereka.

Umum mengetahui bahawa bangsa Melayu sangat sensitif terhadap isu agama. Meskipun telah ramai orang Melayu yang tersesat jauh daripada panduan Islam, ironinya Islam masih lagi menjadi suatu isu sensitif bagi kebanyakan daripada mereka.

Hal ini lantas diambil kesempatan oleh parti-parti politik untuk menjerat sokongan orang Melayu memandangkan rakyat Malaysia majoritinya adalah orang Melayu. Maka keluarlah cakap-cakap daripada golongan yang mendakwa diri mereka ini ulama' Islam, bahawa mengundi parti tertentu di dalam PRU 13 nanti adalah wajib dan mengundi selain daripada parti yang mereka nyatakan itu adalah haram.