Pages

19 August 2012

Ucapan Hari Raya 1433H


Bersempena sambutan Hari Raya Idulfitri 1433H, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir dan batin kepada sekalian pengunjung dan pembaca blog ini. Semoga kita semua beroleh manfaat daripada blog ini.

Untuk setiap perlakuan dan kata,
Tiap tingkah dan bicara,
Tiap gaya dan bahasa,
Tiap gerak dan sapa,

Yang bersahaja,
Yang bergurau canda,
Yang memerli mengena,
Yang mengutuk menghina,
Yang menikam dada,
Yang merobek rasa,
Yang mengusik manja,
Yang memesra,
Yang memadu asmara,

Ku pinta maaf berjuta,
Ku pohon ampun segala,
Dari tabir mata yang tak tersingkap,
Dari lembut lidah yang tak terungkap,
Dari dasar hati yang tak bertingkap,
Dari dosa-dosa yang ku ratap,
Salam Aidilfitri kuucap,
Ampunan darimu ingin ku kecap,
Khilaf yang lama harap dilenyap...

Tulus,
Syed Fadhil Hanafi

16 August 2012

Kewajipan Zakat Fitrah


Apabila tibanya bulan Ramadhan, selain daripada kewajipan berpuasa terdapat satu lagi kewajipan bagi setiap mukallaf yang berkemampuan yakni menunaikan zakat fitrah. Zakat fitrah difardhukan bermula pada tahun kedua hijrah sebagaimana menurut khabar yang disampaikan oleh Ibn Umar:

"Rasulullah telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas sekalian manusia sebanyak segantang tamar atau segantang barli. (Difardhukan) ke atas setiap yang merdeka mahupun hamba, lelaki ataupun perempuan daripada kalangan muslimin".

Keempat-empat Imam bersepakat bahawa zakat fitrah difardhukan ke atas setiap muslim yang merdeka tidak kira lelaki atau perempuan, yang kecil mahupun dewasa. Ibn Al-Munzir berkata, "telah berijma' (bersepakat) para ahli ilmu bahawa zakat fitrah itu fardhu".

05 August 2012

31 Ogos Bukan Hari Barisan Nasional



Yang di atas adalah logo untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55 dengan tema "55 tahun janji ditepati". Daripada tema Hari Kemerdekaan itu sendiri kita dapat betapa Barisan Nasional sedang dalam keadaan terdesak untuk mempromosikan parti mereka kepada masyarakat sehingga sanggup menyalahgunakan jentera dan dana kerajaan untuk kepentingan parti mereka.

Harus kita fahami bahawa Kerajaan Malaysia dan Barisan Nasional adalah dua entiti yang berbeza. BN hanyalah anggota yang menggerakkan atau menguruskan Kerajaan Malaysia dengan sebab BN telah menang pilihanraya umum yang lalu. Tanpa BN, Kerajaan Malaysian tetap wujud. Kemenangan dalam pilihanraya umum bukan bermakna BN boleh menggunakan jentera dan dana kerajaan sesuka hati demi kepentingan parti mereka kerana jentera dan dana kerajaan adalah milik rakyat Malaysia dan bukannya BN.