Pages

30 July 2012

Perihal Niat Puasa

Tatkala tibanya bulan Ramadhan, umum mengetahui bahawa sekalian umat Islam yang mukallaf diwajibkan untuk berpuasa sebulan penuh melainkan dengan sebab-sebab yang dibenarkan oleh Syara'. Namun begitu, kadang kala kita terlihat beberapa individu yang tidak berpuasa bukan dengan sebab yang dibenarkan syara' seperti haid bagi kaum perempuan ataupun dengan alasan musafir atau sakit tetapi individu tersebut tidak berpuasa dengan alasan dia terlupa untuk berniat puasa pada malam sebelumnya. Hal yang sebegini sebenarnya amat mendukacitakan kerana perkara ini berlaku dek kejahilan ilmu tentang ibadah puasa. Justeru dalam post kali ini kita akan membicarakan soal niat puasa Ramadhan.

Persoalan utama yang ingin kita jawab dalam post kali ini ialah adakah sah ibadah puasa tanpa niat dan bagaimanakah bentuk niat yang dituntut.

Para fuqaha' bersepakat bahawa niat dituntut dalam semua jenis puasa tidak kira yang wajib mahupun yang sunat. Tanpa niat, tidak sah puasa tersebut meskipun seseorang itu tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa. Dalam soal niat puasa, Rasulullah bersabda:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ حَفْصَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ : مَنْ لَمْ يَجْمَعْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ . رَوَاهُ الْخَمْسَةُ
Dari Ibnu Umar, dari Hafsah, dari Nabi ﷺ, beliau bersabda: ”Barangsiapa tidak berniat puasa sebelum fajar, maka sama sekali tidak ada puasa baginya”. (Riwayat Imam yang Lima)

08 July 2012

Riba (Bahagian 3: Dalil Pengharaman Riba)

Penulisan ini adalah sambungan kepada Bahagian 1 dan Bahagian 2 tajuk yang sama. Kali ini kita akan melihat peringkat-peringkat pengharaman riba. 


Sepertimana pengharaman arak, pengharaman riba juga telah dibuat secara berperingkat. Antara hikmah disebalik pengharaman secara berperingkat ini adalah kerana sewaktu zaman Jahiliyah, riba telah menular dengan sangat meluas dalam sistem muamalat masyarakat pada ketika itu sehingga riba menjadi suatu perkara yang biasa dan mereka menyangka bahawa jual beli adalah sama sahaja dengan riba. Jadi sekiranya riba diharamkan serta-merta maka ini akan memberi kejutan kepada mereka dan memberi kesusahan kepada mereka untuk mentaati perintah pengharaman tersebut.

Riba pertama kali disebut dalam Al-Qur'an apabila ayat 39 Surah Ar-Rum diturunkan. Walaubagaimanapun ketika ayat ini diturunkan, riba masih belum diharamkan tetapi ayat ini sekadar menyatakan bahawa riba tidak membawa sebarang kebaikan atau kelebihan di sisi Allah.