Pages

25 March 2012

Ketuanan Melayu atau Affirmative Action?


Untuk pengetahuan umum, perkataan 'Ketuanan Melayu' tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi apakah sebenarnya yang dirujuk dan diperjuangkan secara bermati-matian sebagai Ketuanan Melayu oleh orang Melayu di Malaysia ini?

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu kedudukan yang istimewa kepada orang Melayu dan anak negeri (peribumi) di Sabah dan Sarawak. Kedudukan istimewa ini meliputi peruktukan tanah rizab, kuota dalam penjawatan awam, biasiswa, dana siswa, kemudahan khas, pendidikan khas dan keutamaan dalam pemberian lesen dan permit. Istilah yang lebih tepat untuk merujuk kepada perkara ini adalah Keistimewaan Melayu dan bukannya Ketuanan Melayu. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan yang kaum Melayu mesti menjadi tuan bahkan dari segi pelantikan Perdana Menteri itu sendiri, Perlembagaan tidak menyatakan yang Perdana Menteri mestilah seorang Melayu.