Pages

21 October 2011

Kontroversi Aziz Bari


Penggantungan Prof. Aziz Bari daripada tugas merupakan suatu tindakan tidak waras, bukti institusi keilmuan dibelengu politik murahan dan tidak telus dalam mempromosikan ilmu pengetahuan. Tindakan ini memperlihatkan betapa peranan universiti hanyalah untuk menyampaikan ilmu yang menyebelahi pihak berkuasa dan apa-apa ilmu yang bertentangan dengan pihak berkuasa adalah ilmu terlarang meskipun ilmu tersebut adalah benar.

Kontroversi ini memuncak apabila pihak pengampu terutama akhbar Utusan, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Perkasa, ahli parlimen (Bung Moktar, Shamsul Anuar, Zulkifli Noordin, Syed Ali) dan Dr Mahathir mula menjadi batu api dengan mencanangkan berita kononnya Prof. Aziz Bari mempertikaikan titah Sultan Selangor. Puak pengampu berharap mereka dapat membakar api kemarahan orang Melayu yang sarat dengan ideologi kuno 'sultan disembah' dan cuba mempopularkan fahaman bahawa titah sultan umpama firman tuhan yang tiada cacat celanya dan tidak boleh sama sekali dikomen apatah lagi dibantah. Dengan cara ini puak pengampu berharap mereka dapat dilihat sebagai pembela raja-raja Melayu dan institusi beraja sekaligus mendapat sokongan dan undi orang-orang Melayu.

09 October 2011

Perkahwinan Tanpa Saksi

(Gambar Hiasan)

Salah seorang pembaca blog ini yang menggelar dirinya 'Nur' menghantar pertanyaan kepada saya melalui Yahoo Messenger dan bertanyakan tentang suatu masalah berkaitan perkahwinan. Dia bertanya adakah sah sekiranya seorang perempuan yang ingin berkahwin dengan seorang lelaki, menelefon bapanya untuk meminta keizinan untuk berkahwin lalu bapanya mengatakan yang dia tidak kesah. Kemudian, si lelaki yang bermazhab Hanafi melafazkan akad perkahwinan dengan perempuan itu secara berdua sahaja tanpa ada saksi dan katanya hanya bersaksikan Allah. Mereka kemudiannya mengadakan hubungan kelamin dan apabila ditanya tentang status mereka, si lelaki akan berkata bahwa si perempuan tersebut adalah isterinya yang sah.

Memandangkan saya tidak mahir tentang hukum-hukum perkahwinan dalam Mazhab Hanafi, maka saya meminta sedikit masa untuk membuat rujukan sebelum saya dapat memberikan jawapan. Justeru, kepada saudari Nur, berikut adalah hasil daripada rujukan yang telah saya lakukan:

01 October 2011

Hudud: PAS Terikat, UMNO Terjerat

Cabaran Tun Dr. Mahathir supaya PAS meminta kebenaran DS Najib untuk melaksanakan hudud di Kelantan telah menghangatkan kembali cakap-cakap berkenaan isu hudud yang telah reda seketika terutama setelah PAS merubah modal politiknya daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Hasrat Dr. Mahathir barangkali untuk menempelak DS Nik Aziz yang menyelar beliau kerana menghalang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud sewaktu zaman beliau menjadi Perdana Menteri.

Sememangnya strategi ini berkesan dengan berlakunya kegoncangan dan ketaksefahaman dalam Pakatan Rakyat. DAP cuba menjadi hero bagi rakyat bukan Islam dan mengugut untuk keluar Pakatan Rakyat sekiranya PAS ingin melaksanakan hudud. Jelas sekali PAS yang beria-iya ingin melaksanakan hudud gagal memahamkan sekutunya DAP tentang hudud sehingga mereka begitu gerun dan kecut perut dengan hudud. Bak kata DS Nik Aziz, DAP umpama budak kecil takutkan hantu.