Pages

27 July 2011

Tiga Tahun di Landasan Blogger


Bukan mudah untuk menulis. Maksud saya menulis sesuatu yang membuatkan si penulis itu sendiri berasa puas dengan penulisannya manakala si pembaca pula terkesan dengan penulisan tersebut. Maka dengan sebab itu dalam tempoh 3 tahun blog ini telah beroperasi, kadang-kala anda terlihat yang blog ini tidak dikemaskini sehingga dua tiga minggu lamanya. Bila ini berlaku, itu maknanya saya belum berhasil menulis sesuatu yang memuaskan hati saya, kata orang Kg Baru, tiada 'self satisfaction'.

Kalau setakat ingin mengemaskini blog dengan sepatah dua kata atau sebaris dua ayat dalam satu post semata-mata untuk memberitahu pembaca yang anda masih hidup dan bernafas itu bukan menulis tetapi menconteng dan itu bukan saya. Sebab fungsi blog ini semasa di awal pembukaannya bukan untuk tempat saya merapu sebagaimana banyak blog yang wujud diluar sana. Meskipun begitu saya cuba sedaya upaya untuk mengemaskini sekurang-kurangnya dengan 2 post setiap bulan.

Setiap orang punya cara penulisannya sendiri. Orang Kg Baru panggil 'signature'. Ada orang menulis berbunga-bunga sehinggakan kita jadi keliru dengan mesej yang cuba disampaikan. Cara ini mungkin sesuai jika anda menulis novel yang mana sememangnya kena panjang kalau tidak orang tidak mahu beli. 

19 July 2011

Haram 2

Setelah kita melihat hakikat hukum haram pada post sebelum ini, tulisan ini adalah perbincangan lebih lanjut mengenai soal haram.

Sebagaimana yang telah diperkatakan sebelum ini bahawa hukum haram itu datang dengan sebab adanya dalil yang menunjukkan tahrim (pengharaman) sesuatu perkara. Maka dengan sebab itu para fuqaha',  dalam usaha menentukan hukum sesuatu perkara berpegang pada beberapa aturan yang penting supaya hukum yang keluar itu adalah semata-mata hasil daripada kefahaman yang telus dan ikhlas terhadap nas-nas syara'. Dan bukannya berasaskan emosi atau kecenderungan mereka terhadap sesuatu.

Pendekatan paling penting yang diambil oleh para fuqaha' adalah dengan tidak meletakkan hukum sebelum adanya dalil yang menunjukkan hukum tersebut. Justeru, apabila dihadapkan dengan sesuatu masalah, fuqaha' akan terlebih dahulu berpegang kepada hukum asal yakni mubah (harus) dan hukum harus ini kekal terhadap masalah tersebut selagimana tiada dalil yang menunjukkan pengharamannya.

09 July 2011

BERSIH 2.0 dan Campur Tangan YDPA


Campur tangan Yang Di-pertuan Agong (YDPA) untuk meredakan ketegangan berkaitan penganjuran BERSIH 2.0 adalah suatu tindakan yang sangat dihargai. Selaku ketua negara menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan, saya melihat YPDA telah melaksanakan tugas baginda dengan menjadi orang tengah dalam kemelut ini demi memastikan negara berada dalam keadaan yang stabil dan aman.

Sememangnya YDPA perlu memainkan peranan baginda dalam isu ini kerana Kerajaan mahupun Perdana Menteri bukanlah pihak yang sesuai untuk menjadi pengadil kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada 'peserta' yang terlibat dalam kemelut BERSIH 2.0 ini. Yakni, meski BERSIH 2.0 dianjurkan untuk membuat tuntutan kepada Suruhanjaya Pilihanraya, kerajaan telah dengan sendirinya ikut campur dalam masalah ini seolah-olah BERSIH 2.0 ingin membuat tuntutan terhadap kerajaan sekaligus menjadikan kerajaan sebagai salah satu 'peserta' dalam kemelut BERSIH 2.0. 

Sesetengah pihak menyatakan rasa tidak puas hati mereka dan mengatakan campur tangan YDPA ini adalah di luar bidang kuasa baginda sebagai raja berpelembagaan kerana Perkara 42 memperuntukkan YDPA bertindak atas nasihat Kabinet (baca di sini). Bagi saya ini adalah reaksi mereka yang tidak belajar atau tidak faham Constitutional Law.

04 July 2011

BERSIH 2.0 dan Ordinan Darurat


Lewat ini, kalau kita baca akhbar atau mendengar berita di radio mahupun televisyen, berita tentang Perhimpunan BERSIH 9 Julai 2011 menjadi tajuk wajib. Bagi mereka yang jarang mengambil tahu hal-ehwal semasa, pendek kata BERSIH ini adalah suatu perhimpunan demi menyuarakan 8 tuntutan terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Berikut adalah tuntutan mereka:

1. Bersihkan senarai pengundi.
2. Mereformasi undi pos.
3. Menggunakan dakwat kekal.
4. Masa kempen minima 21 hari.
5. Media yang bebas dan adil.
6. Pengukuhan institusi awam.
7. Hentikan rasuah.
8. Hentikan politik kotor.

Kelompok kerajaan dilihat sangat khuatir dengan perhimpunan ini manakala kelompok pembangkang pula dilihat sangat menyokong.