Pages

26 February 2011

Haram

Perbincangan kali ini berlegar dalam bab ilmu usul fiqh, ilmu tentang kaedah-kaedah mengistibath hukum daripada sumber-sumbernya. Namun untuk kali ini saya ingin memperincikan perbincangan kita dalam tajuk haram. 

Sesetengah orang begitu mudah sekali menghukum sesuatu sebagai haram. Ini haram, itu haram. Orang kata haram dia pun ikut kata haram. Apa yang tidak berkenan dihatinya, dia kata haram. Apa yang tidak sesuai dengan kepentingannya, dia kata haram. Mereka meletakkan hukum haram tanpa memikirkan akibat daripada perbuatan sewenang-wenang menghukum sesuatu sebagai haram. 

Perbuatan mengharamkan sesuatu yang halal itu boleh menjerumuskan seseorang kepada kekafiran. Selain itu sikap ini juga boleh membawa fitnah(keburukan) seperti perpecahan dan kucar-kacir dalam kalangan umat. Lihatlah betapa dahsyat kesan daripada sikap sewenang-wenang menghukum sesuatu sebagai haram. Justeru, kita harus teliti dan tidak mengambil mudah dalam persoalan haram. Firman Allah:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta, ‘Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung.” 
[An-Nahl: 116]

04 February 2011

Berlakon Sebagai Kafir

Lama saya tercari-cari idea untuk dijadikan tajuk yang sesuai untuk mengemas kini blog ini sehinggalah saya menonton sedutan sebuah telefilem yang di dalamnya terdapat seorang lelaki Muslim yang melakonkan watak sebagai seorang kafir. Ini juga saya rasa berlaku berlaku dalam sebuah teater yang popular baru-baru ini. Maka saya tertarik untuk membicarakan soal adakah harus seorang Muslim itu melakonkan watak kafir.

Amatlah penting untuk difahami bahawa perkara pokok dalam beragama adalah akidah yakni kepercayaan seseorang itu terhadap tuhan dan agamanya. Dalam agama Islam perkara paling asas adalah iman kepada Allah dengan cara melafazkan dengan lidah, membenarkan dalam hati dan menzahirkan kepercayaan dengan perbuatan bahawa sesungguhnya Allah itulah satu-satunya tuhan yang layak disembah dan hanyalah Islam agama yang benar.

Setelah seseorang itu beriman tidak bermakna imannya itu akan berkekalan selamanya. Iman seorang itu boleh terbatal sama ada secara sedar mahupun tanpa sedar. Perkara-perkara yang membatalkan iman pula boleh berlaku dengan salah satu cara sama ada niat, perkataan mahupun perbuatan.