Pages

29 July 2010

Tahun Kedua, dalam Proses Tumbesaran

Post ini sepatutnya disiarkan pada 27 Julai 2010 bersempena ulang tahun kedua blog ini. Saya bersyukur kepada Allah kerana sehingga saat ini saya dipinjamkan nikmat sihat akal dan tubuh badan berserta sedikit ilmu. Dengan kurniaan-Nya ini saya dapat menulis sedikit sebanyak ilmu yang saya pelajari beserta dengan pendapat-pendapat saya supaya dapat dikongsi dan sama-sama difikirkan oleh para pembaca sekalian.

Saya sangat berharap apa yang telah saya tulis sebelum ini juga yang akan saya tulis di masa hadapan dapat memberi manfaat kepada para pembaca yang sudi meluangkan masa membaca blog saya. Kalau tidak banyak sekalipun sedikit pun jadilah supaya kalian semua dapat menjadi saksi kelak apabila saya ditanya oleh Allah tentang apa yang telah saya lakukan dengan nikmat sihat akal dan tubuh badan serta ilmu yang Allah pinjamkan kepada saya.

23 July 2010

As-Sukut ‘Alamat Ar-Redho

Tajuk di atas sebenarnya merupakan salah-satu kaedah yang digunakan dalam fiqh munakahat (perkahwinan) dalam mengenalpasti persetujuan seseorang anak dara terhadap perkahwinannya. Kaedah tersebut boleh diterjemahkan sebagai; “Diam adalah tanda persetujuan”. Persoalan mengapa diam diambil sebagai tanda persetujuan adalah kerana seorang perempuan secara fitrahnya bersifat dengan sifat malu apatah lagi apabila dia adalah seorang anak dara.

Meskipun begitu, bukanlah fiqh munakahat yang ingin saya bincangkan dalam post kali ini tetapi tentang betapa kaedah tersebut tidak lagi sesuai untuk diaplikasikan pada masa kini. Manakan tidak? Illah (sebab) disebalik penggunaan kaedah ini tidak lagi wujud. Sebabnya, perempuan atau lebih spesifik, anak dara pada masa kini telah hilang sifat malunya atau lebih tepat semakin hilang maruah. Semakin parah.

Kalau dahulu, anak dara apabila ditanya adakah bersetuju untuk berkahwin, dia tersipu-sipu malu dan tidak menjawab. Tapi kini tidak lagi, mereka lebih ‘berani’ daripada lelaki. ‘Berani’ yang dimaksudkan bukanlah berani yang positif tetapi tidak reti malu. Bukan kata kahwin, belum berkahwin pun merata-rata di blog mahupun laman sosial, mereka sibuk mengishtiharkan kepada dunia yang dia kini sedang bercinta. Gambar si lelaki pujaan pun ditayangkan ditambah kisah-kisah cinta yang kononnya romantik pada mereka.

17 July 2010

Hadith Nabawi vs Qudsi vs Al-Qur'an

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Al-Qur'an dan Hadith merupakan dua sumber perundangan Islam yang utama. Meskipun begitu, masih ramai yang tidak tahu bezanya antara Al-Qur'an dan Hadith terutama mereka yang tidak berpeluang menjalani kelas agama. Ramai pula yang tidak tahu yang Hadith, berdasarkan sumbernya, terbahagi kepada dua; Hadith Nabawi dan Hadith Qudsi.

Sepertimana secara tradisinya, mari kita mulakan dengan melihat pengertian Hadith Nabawi, Hadith Qudsi dan Al-Qur'an. Hadith daripada pengertian bahasa bermaksud 'baharu' manakala Al-Qur'an bermaksud 'bacaan'.

Hadith Nabawi ialah setiap perkataan, perbuatan, pengakuan (taqrir) dan sifat yang disandarkan kepada Rasulullah. Maka dengan sebab itu hadith ini dinamakan Nabawi kerana disandarkan bulat-bulat kepada baginda Rasulullah.

Hadith Qudsi pula ialah khabar yang diilhamkan oleh Allah kepada Rasulullah melalui ilham atau mimpi dan kemudiannya disampaikan oleh Rasulullah melalui perkataan baginda sendiri.

Al-Qur'an ialah kalamullah (kata-kata Allah) yang diwahyukan kepada Muhammad, Rasulullah melalui Jibril dalam bahasa Arab dan diriwayatkan secara tawatur.

06 July 2010

Malaysia Negara Sekular?

Karpal Singh mengulang lagi pendiriannya yang menolak negara Islam Malaysia. Dia berkeras mengatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Sekali lagi Karpal Singh memberi penampar ke pipi parti PAS. PAS yang mendakwa mereka telah berjaya mengubah tanggapan golongan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat supaya menghormati Islam rupa-rupanya masih belum berjaya meyakinkan Pengerusi DAP untuk menghormati Islam.

Nik Aziz menganggap kenyataan yang dibuat oleh Karpal Singh adalah pendapat peribadinya sahaja dan bukannya pendirian DAP. Saya sangat berharap yang anggapan Nik Aziz adalah benar. Saya cuba-cuba juga melihat laman web DAP untuk melihat sama ada DAP ada menyatakan yang kenyataan Karpal Singh itu hanya bersifat peribadi sahaja namun malangnya tidak ada. Biasanya, jika benar itu hanyalah pendapat peribadi, pastinya parti akan menyatakan kenyataan itu hanya bersifat peribadi sahaja. Malangnya tidak. Adakah in bermakna yang tersebut adalah pendirian Parti DAP juga? 

01 July 2010

Rahasia Dosa Ghaib Pahala

Rahasia Dosa Ghaib Pahala

Aku yang belum pernah merasa siksa,
Lantas tak upaya membayangkan peritnya,
Tambahan pula tak telus mata,
Untuk melihat rahasia dosa,

Aku yang tidak pernah mengecap syurga,
Masih tak tergambar betapa nikmatnya,
Ditambah diri yang tak cukup peka,
Menangkap hikmah ghaibnya pahala,

Justeru aku lena leka,
Mengejar isi dunia,
Harta, wanita, kuasa,
Tak pernah lupa,

Entah bila aku akan terjaga,
Untuk sedar aku ini hamba,
Kalau bukan di samping Tuannya,
Tidaklah tentu ke mana hala,
Langsung binasa...

-syfadh-
30/6/10, 8.40pm
Kg Baru