Pages

23 May 2010

Rukun vs Syarat

Seringkali ketika kita belajar ilmu fiqh tidak kira sama ada fiqh ibadah (seperti solat dan puasa), fiqh munakahat (kekeluargaan), fiqh jinayat (jenayah) atau fiqh muamalat (jual-beli), kita akan bertemu dengan dua istilah fiqh yang disebut sebagai syarat dan rukun.

Meskipun begitu saya yakin ramai antara kita yang masih tidak faham apakah yang dikatakan syarat dan rukun itu, apakah persamaan antara keduanya dan apa pula perbezaannya.

Rukun dita’rifkan sebagai “sesuatu yang merupakan sebahagian daripada suatu perkara yang kerana wujudnya maka wujudlah perkara itu manakala sekiranya tidak wujud, maka tidak wujudlah perkara itu”.

Contohnya, perbuatan sujud dalam solat. Jadi sekiranya kita ganti ta’rif di atas dengan memasukkan perkataan sujud dan solat maka ta’rif tersebut akan berbunyi begini: kerana wujudnya sujud maka wujudlah solat manakala sekiranya tidak wujud sujud maka tidak wujudlah solat. Dalam kata lain, solat yang tidak wujud padanya perbuatan sujud maka solat itu bukanlah solat pada hakikatnya kerana tidak menepati rukun solat.

16 May 2010

Guru Formal dan Guru Tak Formal

Pernahkan anda meluangkan masa untuk berfikir siapakah yang mengajar manusia bernafas, makan, tidur, menangis, merangkak dan berjalan. Siapa pula yang mengajar manusia tentang perasaan gembira, marah, sedih dan cemburu. Barangkali ramai antara kita yang tidak endah dan memikirkan yang semua perkara itu tidak perlu diajar kerana kita belajar dengan sendirinya. Namun persoalannya adalah bagaimana kita boleh tahu sekiranya kita tidak diajar?  Jawapannya mudah tetapi malangnya ramai yang tidak tahu. Yang mengajar kita tentang itu semua ialah Allah sebagaimana yang disebutkan dala Al-Qur'an:

"Bacalah dan tuhanmu yang Maha Mulia. Yang mengajarkan dengan qalam."
[Al-Iqra':]

Ramai yang tidak sedar kerana Allah tidak mengajar menggunakan papan putih mahupun paparan slide show. Allah mengajar manusia melalui naluri manusia itu sendiri dan melalui ilham-ilham yang diberikan kepada manusia. Begitu jugalah yang berlaku kepada sekalian makhluk Allah yang lain. Allah mengajar haiwan untuk terbang, berburu dan mengawan.

10 May 2010

Memahami Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir (Bahagian 2)

Rami orang berkobar-kobar menuntut kerajaan melaksanakan Hudud. Kata mereka, "kami mahu Hudud". Tetapi entah mereka tahu atau tidak Hudud hanyalah salah satu cabang daripada undang-undang jenayah Islam. Mengaplikasikan Hudud semata-mata tidak akan menjadika Malaysia sebuah negara Islam yang sempurna bahkan pincang agamanya kerana hanya mempraktikkan satu cabang sahaja daripada undang-undang jenayah Islam.

Ini jelas menunjukkan ramai dalam kalangan mereka yang menuntut Hudud itu sendiri tidak faham dengan apa yang mereka tuntut bahkan hanyalah melaungkan tuntutan mereka sebagai satu slogan politik semata-mata yakni memperjudikan nama Islam demi meraih undi dan mendapatkan kuasa.

Setelah memahami setiap istilah Hudud, Qisos and Ta'zir dalam Bahagian 1 tajuk yang sama, mari kita melanjutkan pula pemahaman kita dengan sedikit dalam lagi. Hudud, Qisos dan Ta'zir dikategorikan di bawah bab Fiqh Jinayat. Sebabnya, Fiqh berkaitan dengan hukum-hukum perbuatan mukallaf manakala Jinayat pula berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang disyariatkan oleh Allah baginya hukuman sewaktu di atas muka bumi lagi.

Justeru, Hudud, Qisos dan Ta'zir hanyalah berkisar tentang segala kesalahan yang ditetapkan baginya hukuman di atas muka bumi ini manakala bagi kesalahan yang tidak disyariatkan hukuman sewaktu di bumi tetapi hukumannya menanti di akhirat tidaklah tergolong dalam perbincangan ilmu ini.

06 May 2010

Hanya kerana Cinta

Hanya Kerana Aku Cinta

Berbaloikah kaurasa,
Untuk aku mencintai dia,
Hingga bilamana ia rasa cukup cinta,
Dia pergi begitu sahaja,

Berbaloikah kaurasa,
Untuk aku memeliharanya,
Sampai masa ia merasa cukup dijaga,
Aku dibiarkan hidup merana,

Berbaloikah kaurasa,
Untuk aku setia,
Hingga ketika dia merasa gembira,
Dia lenyap tanpa berita,

Entah apa yang engkau rasa,
Tapi berbaloi bagiku iya,
Bukannya apa,
Hanya kerana aku cinta…

-syfadh-
20/4/2010

01 May 2010

Eksploitasi Wanita, Kenapa Tiada yang Bising?

Beberapa minggu lepas saya ke PC Fair yang bertempat di Pusat Konvension KLCC. Seperti mana-mana PC Fair yang pernah dianjurkan sebelum ini, anda dapat melihat promoter-promoter terutamanya wanita memakai pelbagai kostum yang pelik-pelik untuk menarik perhatian orang ramai supaya membeli produk yang mereka jual.

Boleh dikatakan keseluruhan promoter wanita memakai pakaian yang singkat, ketat lagi seksi. Ada yang mendedahkan dada, perut ada pula yang mendedahkan peha disamping mekap tebal dengan segala macam warna. Perkara ini bukannya suatu yang asing dan bukan sahaja boleh ditemui di PC Fair malah di mana-mana tempat yang mempromosikan barangan. Tidak ketinggalan di iklan.