Pages

27 June 2009

Berbahagialah Kau, Mikael di samping Tuhanmu



Michael Jackson 1958 - 2009

"Semoga Allah sentiasa merahmati rohmu, Michael," Begitulah doa yang dipohonkan oleh abangnya Jermaine Jackson selepas mengumumkan kematiannya. Kematian Michael Jackson atau nama Islamnya Mikael mengejutkan seluruh dunia. Saya bersyukur kepada Allah kerana memberi hidayah kepada Mikael di hampir penghujung hayatnya sehingga membawa kepada pengislamannya pada November 2008.

Di sebalik kisah kontroversinya, Mikael amat terkenal dengan cintanya terhadap kanak-kanak. Beliau juga terkenal dengan perjuangannya mengajak manusia mengekalkan kesejahteraan bumi melalui lagu-lagu seperti We Are the World, Earth Song dan Heal the World. Sumbangan beliau yang paling besar adalah penyatuan orang kulit-putih dan kulit hitam melalui muziknya.

Semoga Allah merahmati roh beliau. Allahhummaghfirlahu warhamhu wa'afihi wa'fu'anhu...

25 June 2009

Kerajaan Perpaduan 2

Amat mendukacitakan, itulah pandangan penulis terhadap keputusan yang dibuat oleh pakatan pembangkang terhadap idea Kerajaan Perpaduan. Baru sahaja Nik Aziz mula berlembut dengan kedegilannya (meskipun beliau rasa beliau beristiqomah), keputusan ini menjadi kata putus kepada pendirian pakatan pembangkang monolak cadangan Kerajaan Perpaduan meskipun orang mereka sendiri yang mencadangkannya.

Penulis turut berkongsi perasaan dan pandangan yang diutarakan oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria. Berikut adalah kata-kata beliau:

‘‘Saya sebenarnya amat berharap benda ini (kerajaan perpaduan) jadi (kenyataan) sebab saya sendiri memperjuangkan supaya masyarakat Melayu dan Islam ini bersatu."

‘‘Tapi saya kecewa. Mereka ini taksub kepada parti sehingga menganggap sesama mereka (dalam parti sendiri dan parti-parti Melayu lain) bukan bersaudara. Politik itu politiklah tapi persaudaraan Islam itu mestilah dijaga, maka haramlah memutuskan tali persaudaraan Islam itu.”

Penulis melihat penolakan kepada idea ini sebagai salah satu langkah yang mengekalkan perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam sekaligus akan melambatkan proses penubuhan negara Islam di Malaysia.

Penulis sempat membuka laman sesawang Harakah Daily dan membaca artikel Pas tidak Pernah Langgar Janji, Tinggal Kawan. Berikut adalah antara kata-kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad yang dipetik daripada artikel tersebut:

"Ini merupakan kehebatan yang ada pada pimpinan PAS dalam menangani krisis yang mana pimpinan Umno perlu mempelajari apa yang ditunjukkan oleh pimpinan PAS dalam menghadapi isu yang begitu besar."

"PAS yang terkenal sebagai parti yang tidak pernah melanggar perjanjian sewaktu berkawan dengan mana-mana parti yang mengikat perjanjian bersama..."

Penulis tidak pernah melihat ini sebagai suatu kehebatan bahkan suatu kesilapan maha besar. Persoalan penulis adalah adakah semangat setiakawan terhadap orang kafir itu adalah lebih utama daripada semangat persaudaraan dalam Islam? Adakah semangat setiakawan terhadap orang kafir itu membolehkan seorang Islam berpaling daripada saudara seislamnya sendiri? Pernahkah Islam mengajar supaya kita mendahulukan orang kafir daripada saudara Islam kita sendiri?

Ada orang yang mendabik dada dan berbangga dengan merasakan keputusan ini sebagai suatu keputusan yang bijaksana. Sebaliknya penulis sependapat dengan Mufti Perak dengan melihat keputusan ini sebagai suatu keputusan yang memudarkan masa depan Islam di Malaysia.

Islam itu tidak tertubuh atas dasar perpecahan dan perbezaan. Islam menjadi kuat dengan sebab tolak ansur dan perpaduan.

21 June 2009

Khilaf@Perselisihan Pendapat (Bhgn 1)

Khilaf atau perselisihan pendapat adalah sesuatu yang biasa dalam semua bidang dan tidak terkecuali bidang agama. Maka dengan itu debat telah sekian lama menjadi salah-satu daripada cara yang berkesan dalam menyelesaikan perselisihan pendapat. Debat digunakan sebagai jalan untuk mencari kebenaran, memperbetulkan kesilapan dan berkongsi pandangan. Debat yang sebenar sepatutnya berakhir dengan jalan damai sama ada salah satu pihak adalah benar dan pihak yang satu lagi salah atau kedua-dua pihak adalah benar.

Malangnya, terdapat sesetengah golongan yang merasakan dirinya terlebih hebat dan terlebih benar sehingga sanggup menghukum mereka yang tidak sependapat dengan mereka sebagai bodoh, tidak cukup ilmu, songsang dan sesat. Hal sebegini biasa berlaku terutamannya dalam perselisihan pendapat tentang hal-hal keagamaan. Mereka yang merasakan diri mereka sudah terlalu hebat dalam agama, tidak dapat menerima hakikat yang orang lain tidak bersetuju dengan pendapat mereka lantas dengan sewenang-wenangnya memberi tohmahan dan hinaan kepada orang lain tanpa usul-periksa.

Contoh mudah yang dapat saya berikan di sini adalah berkaitan peristiwa yang menimpa Imam Syafie Rahimahullah. Beliau tidak menerima Istihsan sebagai salah-satu daripada sumber hukum kerana khuatir Istihsan akan membuka jalan kepada nafsu manusia untuk menggubal hukum sesuka hati yang mana akan membawa kerosakan maha besar terhadap agama. Dengan itu Imam Syafie berkata barangsiapa yang mengamalkan Istihan, mereka seolah-olah telah mencipta suatu syariat baru.

Tatkala mendengar perkataan Iman Syafie, pengikut yang fanatik terhadap Imam Hanafi menjadi berang. Sebabnya, Imam Abu Hanifah ketika hidupnya mengiktiraf Istihsan sebagai salah-satu sumber perundangan Islam. Pengikut Imam Abu Hanifah yang taksub ini pun mengambil langkah membalas kata-kata Imam Syafie tersebut dengan cara menyebarkan tohmahan dan fitnah bahawa Imam Syafie adalah orang yang songsang dan sesat.

Sebenarnya, Imam Syafie tidak bermaksud untuk mengatakan Imam Hanafi sebagai sesat. Apa yang ingin dimaksudkan oleh Imam Syafie itu adalah bagi orang yang tidak berpengetahuan agama dan bukan ahli dalam penggunaan Istihsan sekiranya menggunakan Istihsan seolah-olah mencipta suatu syariat baru.

Malangnya, mereka yang taksub terhadap Imam Hanafi melebihkan emosi mereka daripada ilmu dan adab dalam berselisih faham sanggup menghukum Imam Syafie sebagai sesat. Ramai lagi sarjana-sarjana Islam yang telah menerima nasib yang sama. Antaranya Ibn Taimiyyah, Begitulah buruknya sikap mereka yang merasakan diri mereka terlebih hebat dalam beragama.

Contoh lain berlaku kepada Imam Ahmad Bin Hanbal Rahimahullah. Beliau tidak sependapat dengan ajaran Mu'tazilah yang mengatakan Al-Qur'an itu sebagai makhluk. Lantas kerajaan yang pada ketika itu dikuasai oleh fahaman Mu'tazilah telah menangkap Imam Ahmad dan menghumbannya ke penjara. Imam Ahmad yang tetap pendirian enggan untuk menurut pandangan Mu'tazilah tersebut menyebabkannya telah dipenjara selama bertahun-tahun.

Bukan itu sahaja, ramai lagi sarjana Islam termasuklah para sahabat nabi sendiri yang telah menerima nasib yang serupa yakni dihina, ditohmah dan difitnah kerana tidak sependapat dengan mereka yang lain. Mereka yang bermazhab A mengkafirkan dan menghukum mereka yang bermazhab lain daripada mereka sebagai sesat dan begitu juga sebaliknya. Begitulah buruknya sikap orang yang tidak tahu adab berselisih faham. Mereka merasakan hanya diri mereka yang benar dan orang lain semuanya sesat dan salah. Mereka ini sebenarnya tidak layak digelar ilmuan. Tohmahan dan hinaan mereka tidak lain hanyalah sampah. Mereka menghukum orang lain sebagai sesat tetapi tidak sedar kedudukan mereka sendiri. Kasihan mereka.

Bersambung...

13 June 2009

Kerajaan Perpaduan

Saya tidak faham dengan cadangan Kerajaan Perpaduan yang diutarakan oleh Presiden PAS. Apakah yang dimaksudkan dengan Kerajaan Perpaduan? Adakah ini bermakna PAS bersedia bekerjasama dengan Barisan Nasional dalam membentuk kerajaan? Bagimana pula dengan kedudukan PAS dalam Pakatan Pembangkang? Apa mungkin PAS akan menjadi salah-satu anggota BN? Semuanya kurang jelas.

Walaubagaimana pun saya melihat idea ini sebagai idea yang bernas. Meskipun strukturnya kurang jelas, cadangan ini saya lihat dapat membawa faedah yang banyak terutama kepada orang-orang Islam di negara ini.

Antara faedahnya adalah mempermudah proses merealisasikan perjuangan PAS dan impian orang Islam dalam menubuhkan negara yang mengamalkan Islam secara menyeluruh. Saya merasa pelik terdapat pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan cadangan ini. Adakah mereka rasa mereka boleh mendapatkan Islam daripada DAP? Apakah mereka lebih gemar bekerjasama dengan orang-orang kafir yang terang-terangan menolak Islam berbanding dengan orang Islam yang menginginkan Islam?

Selain itu, cadangan ini dapat mengamankan atau menyatu-padukan kembali Umat Islam di Malaysia yang telah lama berpecah dek kerana perbezaan fahaman politik. Adakah pemimpin PAS yang menentang cadangan ini tidak mahu melihat Umat Islam di negara ini kembali berpadu sesuai dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah. Perpaduan juga secara tidak langsung dapat menghapuskan amalan kafir-mengkafir antara satu sama lain dengan hanya sebab perbezaan fahaman politik yang mana sangat dimurkai oleh Allah.

Saya tidak dapat melihat apa rasionalnya untuk idea ini ditolak. Bagi saya idea ini adalah idea yang baik.

08 June 2009

Ahlul Bait, Syed dan Sharifah 2

Penulis tertarik untuk membangkitkan kembali isu ini memandangkan penulis telah menerima respon yang agak menarik walaupun berupa kecaman terhadap penulisan penulis bahkan ada juga yang cuba mencederakan kredibiliti penulis dan cuba menuduh penulis menyebarkan fahaman yang sesat.

Penulis telah mengulang-ulang banyak kali di dalam penulisan penulis yang bahawasanya orang yang bijaksana itu adalah orang yang membaca dengan akal yang waras dan bukannya emosi semata-mata.

Isu yang penulis ingin bangkitkan di sini adalah lebih khusus mengenai perkahwinan Syed dan Sharifah memandangkan ada yang tidak berpuas hati dengan penulisan penulis sebelum ini. Ini adalah sebagai sampingan kepada jawapan yang telah penulis sertakan dalam post bertajuk sama yang lalu.

Jika dibaca dengan teliti dan dengan akal yang waras, penulis tidak pernah sama-sekali mengharamkan mahupun melarang perkahwinan antara Syed dan Sharifah. Sebaliknya penulis mengecam tindakan segolongan mereka yang berketurunan Syed dan Sharifah yang melarang keras perkahwinan mereka dengan golongan yang bukan Syed atau Sharifah seolah-olah ini adalah suatu larangan yang ditetapkan oleh syara'.

Golongan ibu bapa sanggup melihat anak mereka merana dikahwinkan dengan paksa dan bukannya dengan pilihan hati mereka walaupun pilihan mereka itu juga adalah pilihan yang agak baik semata-mata untuk menegakkan pendirian mereka yang tersebut. Kononnya mereka terasa lebih mulia berbanding dengan orang yang bukan Syed atau Sharifah.

Ada juga yang cuba menghentam penulis dengan alasan kufu yang ditetapkan oleh Shariah dalam perkahwinan. Penulis bawakan hujah yang menyokong pendapat mereka di sini. Sungguhpun begitu hujahan ini tidak pula mengatakan yang perkahwinan Syed dan Sharifah dengan mereka yang bukan seketurunan dengan mereka itu adalah haram dan tidak sah. Hujah di sini menyatakan yang wali berkuasa menghalang perkahwinan mereka dengan alasan kufu tetapi jika perkahwinan mereka itu mampu menghalang keburukan maka sah perkahwinan walaupun dinikahkan dengan wali hakim.

Dan lagi, soal kufu ini wujud apabila Sharifah ingin berkahwin dengan bukan Syed dan bukannya Syed ingin berkahwin dengan bukan Sharifah. Maka mengapa terdapat juga tentangan yang menghalang seorang Syed daripada berkahwin dengan bukan Sharifah? Apa pula alasan untuk merasionalkan tindakan ini?

Apa yang penulis cuba tekankan adalah penulis amat tidak bersetuju dengan perbuatan membeza-bezakan antara keturunan Syed dan Sharifah dengan yang bukan Syed dan Sharifah melalui jalan menghalang perkahwinan antara keduanya. Ini berikutan ketaksuban terhadap keturunan ini bukanlah salah-satu ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Alasan untuk mengatakan perkahwinan antara Syed dan Sharifah dengan mereka yang bukan seketurunan dengan mereka tidak sah di sisi agama tidak terguna pakai di sini memandangkan memandangkan perkahwinan tersebut sah dengan kerelaan wanita itu sendiri dan keizinan wali.

Penulis dapat merasakan ada mereka yang cuba mencederakan kredibiliti penulis demi menegakkan tradisi yang diamalkan oleh keturunan mereka. Penulis sendiri adalah berketurunan Syed jadi tidak perlu dibimbangkan kerana penulis tiada niat langsung untuk mencemar kehormatan ahli bait tetapi sekadar mengkritik amalan taksub keterlaluan terhadap keturunan.

Jadi kesimpulannya di sini penulis berharap agar di masa-masa yang akan datang para pembaca sekali akan lebih berakal ketika membaca penulisan penulis supaya apa yang ingin disampaikan adalah jelas dan terang dan bukan disalahertikan sehingga membawa kepada perbuatan yang cuba menuduh penulis menyebarkan ajaran sesat. Sesungguhnya tuduhan itu amatlah berat dan tidak dapat ditanggung oleh penulis.

Sesungguhnya Allah itu menjadi saksi yang penulis tidak mempunyai sebarang niat untuk menjatuhkan kehormatan ahli bait apatah lagi menyebarkan ajaran sesat. Sekali lagi penulis akan menerangkan maksud penulis adalah tidak bersetuju dengan amalan taksub kepada keturunan ahli bait dan amalan seolah-olah mengharamkan perkahwinan antara Syed dan Sharifah dengan mereka yang tidak seketurunan dengan mereka seakan-akan ini adalah suatu larangan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya.

03 June 2009

Pernahkah Anda Terfikir?

Kita sebagai umat Islam mendakwa tuhan kita, Allah sebagai satu-satunya tuhan yang wujud dan layak disembah. Pernahkah anda terfikir? Mereka yang menganut agama lain juga mendakwa perkara yang sama yakni tuhan mereka sahaja yang layak disembah.

Kita sebagai umat Islam mendakwa agama kita, Islam sebagai satu-satunya agama yang benar. Pernahkah anda terfikir? Mereka yang menganut agama lain juga mendakwa perkara yang sama.

Kita sebagai umat Islam mendakwa hanya mereka yang seagama dengan kita sahaja yang akan masuk syurga. Pernahkah anda terfikir? Mereka yang beragama lain juga mendakwa hanya golongan yang seagama dengan mereka sahaja yang akan masuk syurga.

Jadi dengan dua bentuk dakwaan yang berbeza seperti ini, bagaimana dapat kita mengenalpasti yang mana satu yang benar? Tuhan manakah yang benar? Agama manakah yang benar? Jawapan daripada saya adalah sebagaimana yang berikut:

Tuhan yang benar itu adalah tuhan yang menciptakan agama yang benar. Agama yang benar itu adalah agama yang mengandungi ajaran yang benar. Ajaran yang benar itu adalah ajaran yang menepati fitrah mereka yang dimaksudkan untuk mengamalkan ajaran tersebut.

Logiknya, tuhan yang sebenar itu adalah pencipta segala sesuatu daripada tiada, sekaligus menjadikan-Nya maha arif dengan ciptaan-Nya. Justeru, tuhan yang benar itu semestinya menjadikn suatu agama yang menepati fitrah kejadian makhluk-Nya supaya ajaran agama tersebut dapat diamalkan.

Lihatlah ke dalam Islam, nescaya tidak akan anda temui satu perkara pun yang bertentangan dengan fitrah manusia. Tidak seperti agama lain, contohnya, agama Budha melihat kehidupan itu seluruhnya sebagai suatu penderitaan semata-mata maka diajarkan kepada penganutnya untuk meninggalkan kehidupan dunia dan berbakti sepenuhnya kepada kehidupan selepas mati dengan bermeditasi dan bertapa. Sami-sami Budha pun dilarang berkahwin dan ada sesetengah yang mengasi diri (memotong kemaluan). Islam tidak sebegini, Islam menyuruh penganutnya berusaha menikmati hidup dunia dan dalam pada masa yang sama bersedia untuk akhirat kerana Islam tahu fitrah manusia itu mahu akan kesenangan dan keselesaan hidup.

Agama Hindu pula mengajarkan penganutnya supaya membuat pengorbanan dengan menyakitkan diri sendiri kononnya untuk menyucikan diri daripada dosa atau membayar nazar. Lihat saja setiap kali perayaan Thaipusam, orang Hindu mencocok tubuh mereka dengan besi-besi tajam. Lihat juga upacara pembersihan dosa sebagaimana dalam post ‘Sungai Gangga’. Islam tidak mengajar perkara ini, Islam mengajar penyucian dosa itu dilakukan dengan taubat yakni penyesalan terhadap perbuatan buruk yang telah dilakukan, meminta ampun dengan tekad untuk tidak mengulanginya lagi.

Lihat pula agama Kristian dengan kepercayaan Trinitinya. Entah bagaimana tiga entiti berbeza boleh wujud sebagai satu tuhan. Bayangkan bagaimana tuhan yang dipercayai oleh orang-orang Kristian menghinakan diri menjelma sebagaimana rupa ciptaannya untuk tujuan kononnya membersihkan dosa manusia sejagat. Jika benar Jesus itu adalah tuhan, dia tidak perlu disalib untuk membersihkan dosa manusia, dia cuma perlu kata "jadi" maka akan jadilah perkara yang dikehendaki itu kerana tuhan itu mempunyai kekuasaan ke atas segala sesuatu.

Tidak cukup dengan itu, bagaimana seorang paderi boleh memaafkan dosa seorang yang lain hanya dengan bayaran sejumlah duit? Kalau ini benar maka manusia boleh membuat sebanyak mana kerosakan, kemusanahan dan kezaliman yang mereka suka kerana mereka mampu memperoleh keampunan dengan mudah iaitu hanya dengan berjumpa paderi, mengakui kesalahan dan membayar sejumlah wang.

Lihat pula penganut agama Yahudi yang mendakwa diri mereka sebagai umat pilihan tuhan. Demi menakluki Palestin yang mereka dakwa sebagai tanah yang dijanjikan buat mereka oleh tuhan, mereka sanggup membunuh ratusan ribu nyawa. Mereka bersikap dengan sifat kebinatangan dan tidak berperikemanusiaan. Islam tidak pernah mengajar penganutnya bermusuhan atau berperang dengan penganut agama lain. Malahan Islam mengajar penganutnya supaya berbuat baik dan menyebarkan dakwah secara berhikmah.

Kesimpulannya, kebenaran itu adalah mudah untuk dikenalpasti jika kita menggunakan akal yang waras dan hati yang terbuka dalam menerima kebenaran tersebut. Malangnya, terdapat ramai orang yang mengetahui kebenaran tetapi sengaja tidak mahu menerimanya. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka.