Pages

29 April 2009

Sungai Gangga

Beberapa hari yang lepas sya menerima email daripada kakak saya yang mengandungi gambar-gambar yang diambil di Sungai Gangga, sungai yang didakwa sebagai suci oleh penganut agama Hindu. Pelbagai upacara keagaaman diadakan di sana sama ada di dalam sungai mahupun di tebing sungai termasuk upacara pembersihan dosa. Penganut agama Hindu percaya yang mereka dapat membersihkan diri daripada dosa dengan hanya mandi di dalam sungai ini.


Meskipun perbuatan mandi itu kedengaran amat mudah untuk dilakukan, saya amat pasti anda akan berfikir beribu kali untuk mandi di sungai Gangga kerana sungai Gangga turut digunakan sebagai tempat membuang abu mayat. Menurut kepercayaan Hindu, mayat yang mati harus dibakar. Biasanya mayat akan dibakar di tebing Sungai Gangga dan kemudiannya abu mayat tersebut akan ditabur ke dalam sungai.
Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh menemukan mayat yang tidak habis terbakar hanyut dalam sungai Gangga dan ini bukanlah suatu perkara yang asing bagi pengunjung tetap Sungai Gangga.


Tidak kurang juga yang terdampar lalu membusuk sebegini:





Kemudian dihurung lalat:


Dan ada juga yang menjadi santapan anjing:


Apakah dengn ini tidak lagi cukup menunjukkan ajaran mana yang benar dan ajaran mana yang salah? Begitulah akibatnya apabila kita berpaling daripada jalan kebenaran meskipun yang benar itu telah jelas di hadapan kita tetapi kita tetap ingin menidakkannya dan berterusan di dalam kesesatan.
Benarlah firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنذِرْهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ<> خَتَمَ اللّهُ عَلَى قُلُوبِهمْ وَعَلَى سَمْعِهِمْ وَعَلَى أَبْصَارِهِمْ غِشَاوَةٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ عظِيمٌ
"Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman. (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah menutup hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar."
[Surah Al-Baqarah: 6-7]

25 April 2009

Don't Judge a Book by Its Cover

Tajuk di atas merupakan satu peribahasa Inggeris yang begitu terkenal dan digunakan secara kerap oleh orang ramai. Maksudnya jangan menilai sesuatu itu daripada luaran sahaja. Namun saya melihat peribahasa ini hanya sebagaia suku benar dan baki tiga suku lagi adalah palsu semata-mata.

Kebanyakan orang menggunakan peribahasa di atas untuk menutup kelemahan luaran mereka dan secara langsungnya ingin menyampaikan mesej yang mereka itu sebanarnya baik daripada dalam. Namun apalah gunanya kebaikan yang ada di dalam itu jika tidak ditonjolkan dengan anggota luaran. Saya akan membuktikan kata-kata saya melalui contoh yang akan saya beri di bawah.

Ada orang kata, yang penting adalah pakaian iman bukan pakaian luaran lantas menyuruh orang supaya jangan menilai dirinya daripada luarannya yang tidak menutup aurat dan berpakaian tidak senonoh tetapi mesti menilai mereka daripada dalaman. Kata-kata ini biasa digunakan oleh artis-artis dan mereka yang tidak mahu menutup aurat terutamanyan perempuan. Ini adalah kata-kata orang yang bodoh agama, kalau sudah tidak berpakaian seperti yang dituntut syara' mana pula datangnya pakaian iman?

Ada juga orang kata, yang dia itu jahat daripada luaran sahaja tetapi dalaman dia baik. Ini adalah kata-kata orang bengong, Islam mengajar kita menilai seseorang melalui akhlaknya kerana akhlak itu menggambarkan peribadi dalaman seorang insan. Kalau benar dalamannya baik pasti luarannya baik sebaliknya kalau sudah luarannya buruk pasti kerana ada yang tidak kena dengan dalamannya.

Ada orang suka buat perkara bodoh tetapi membuat kenyataan yang mereka itu orang yang bijak dan berilmu. Ini adalah kata-kata orang yang dungu, apalah gunanya ilmu yang ada pada mereka kalau tidak dimanfaatkan dan digunakan. Hakikatnya mereka memang bodoh dan sebab itu mereka hanya mampu membuat perkara-perkara yang bodoh, bercakap benda-benda yang bodoh dan menulis benda-benda yang bodoh. Jadi jangan disalahkan orang yang melabel anda sebagai bodoh kerana anda sendiri yang memperbodohkan diri sendiri.

Suku yang benar itu hanyalah sesuai digunakan kepada buku dan benda-benda yang tidak hidup barangkali. Contohnya sepertimana yang tedapat dalam peribahasa di atas, buku. Mungkin kulit buku tersebut telah lusuh kerana selalu dibelek maka tidak hairanlah kalau peribahasa itu digunakan kepada buku atau mungkin buah-buahan kerana kadang-kala buah yang buruk kulitnya itulah yang enak dimakan tetapi jelas yang peribahasa di atas kurang sesuai atau mungkin tidak sesuai sama sekali untuk manusia.

21 April 2009

Ahlul Bait, Syed dan Sharifah

Ahlul Bait adalah suatu istilah Arab yang jika diterjemahkan secara terus ke Bahasa Melayu bermaksud Ahli Rumah, namun bukan itu maksud yang ingin saya ertikan di sini. Ahlul Bait adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada kaum kerabat atau ahli keluarga Rasulullah.

Untuk pengetahuan umum, Bangsa Arab merupakan suatu bangsa yang sangat mementingkan susur galur keturunan. Bukanlah sesuatu yang menghairankan jika mereka tahu siapakah nenek moyang mereka kalaupun generasi terdahulu yang kesepuluh. Malah ketika memperkenalkan diri, mereka biasa menyebut nama mereka berserta nama bapa dan datuk mereka secara bersambung.

Bukan itu sahaja, mereka juga berupaya mengenalpasti sambungan susur galur keluarga secara terperinci sebagai contoh Imam Syafie dikatakan bertemu susur galur keluarganya dengan keluarga Rasulullah pada moyang Rasulullah, Abdul Manaf (Muhammad bin Abdullah bin Abdul mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf). Bayangkan berapa ratus tahun jarak antara keduanya begitulah keutamaan yang diberikan Bangsa arab terhadap susur galur keturunan.

Sekarang kita masuk kepada isu yang sebenar setelah saya memberi sedikit sebanyak pengenalan tentang Ahlul Bait. Banyak cakap-cakap yang mengatakan mereka yang bernama Syed @ Sayyid (dan seumpamanya) serta Sharifah merupakan golongan Ahli Bait. Melihat kepada apa yang telah saya terangkan tadi, kenyataan ini berkemungkinan besar adalah benar. Tambahan pula, kebanyakan mereka mempunyai salasilah keluarga sebagai bukti untuk menghubungkan keluarga mereka dengan cucunda Rasulullah sekaligus dengan Rasulullah sendiri.

Malangnya kepentingan yang diletakkan oleh Bangsa Arab itu bertukar kepada perasaan taksub bagi segolongan manusia yang cetek pemikirannya sehingga melarang keras mereka yang berketurunan Syed dan Sharifah daripada berkahwin dengan mereka yang bukan Syed dan Sharifah lebih lebih lagi kaum Sharifah kerana sekiranya mereka berkahwin dengan golongan yang bukan Syed, mereka tidak boleh mewariskan nama Syed atau Sharifah kepada anak mereka dan susur-galur keturunan itu akan terhenti di situ.

Lebih malang apabila ada segelintir manusia yang begitu taksub kepada golongan Syed dan Sharifah ini sehingga percaya yang mereka adalah golongan syurga dan sesiapa yang berkahwin dengan mereka juga akan turut tergolong dalan ahli syurga. Maka berebut-rebutlah orang yang cetek fahaman agamanya ingin berkahwin dengan Syed terutamanya supaya mereka dapat masuk syurga dengan mudah.

Lebih menjijikkan lagi bagi mereka yang bernama Syed atau Sharifah tetapi tidak berkelakuan sepertimana yang selayaknya bagi seorang yang mempunyai talian darah dengan Rasulullah. Ini ternyata memberi cemar kepada nama Ahlul Bait dan sesungguhnya mereka tidak layak mendapat gelaran Ahlul Bait. Jika anda mahukan buktinya, lihat sahaja di televisyen. Berapa banyak artis yang bernama Syed atau Sharifah terutama yang Sharifah tidak menutup aurat, tergedik-gedik dan terkinja-kinja macam beruk. Cukup memalukan dan cukup menghinakan.

Ketahuilah Ahlul Bait itu adalah golongan yang dicintai, disanjungi, dimuliakan dan dihormati para sahabat Rasulullah, para ilmuan Islam juga segenap umat Islam dan mereka turut mendoakan kesejahteraan Ahlul Bait ketika berselawat kepada Rasulullah sebagaimana yang sering kita amalkan:

اللهم صلى على محمد وعلى ال محمد
"Ya Allah berilah kesejahteraan kepada Nabi Muhammad dan keluarga baginda"

Ketahuilah juga sesungguhnya tiada beza antara orang Arab dan bukan Arab itu melainkan taqwa sebagaimana firman Allah:

إن أكرمكم عند الله أتقاكم
"Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yag paling bertaqwa"

Sabda Rasulullah:

لا فضل لعربي على اعجمي إلا بالتقوى
"Tidaklah mulia seorang Arab itu daripada seorang yang bukan Arab melainkan dengan taqwa"

Jadi sedarlah wahai kaum Syed dan Sharifah yang sebenarnya kamu tiadalah beza dengan mereka yang bukan Syed dan Sharifah melainkan jika kamu bertaqwa (takut) kepada Allah. Jadi tidak perlu dibezakan antara mereka yang Syed atau Sharifah dengan mereka yang bukan. Jangan dilarang perkahwinan antara keduanya dan jangan taksub kepada mereka kerana semua ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Tetapi mereka yang berketurunan Syed dan Sharifah harus ingat yang mereka mesti berkelakuan sebagaimana yang selayaknya diperlakukan oleh seorang Muslim supaya kamu tidak memberi cemar kepada nama Ahlul Bait yang selama ini disanjung tinggi oleh seluruh umat Islam. Kalau masih juga ingin melakukan perbuatan-perbuatan terkutuk, maka jangan dedahkan kepada orang lain yang anda merupakan Ahlul Bait bukan kerana apa sekurang-kurangnya anda tidak mencemarkan nama Rasulullah dan Ahlul Bait yang lain.


Pautan:
Ahlul Bait Syed & Sharifah 4
Kafaah (Kufu) dalam Perkahwinan @ Ahlul Bait Syed & Sharifah 3
Ahlul Bait Syed & Sharifah 2

10 April 2009

Pukul Rusuk Politik

Musim peperiksaan menyebabkan saya terlepas daripada mengikuti banyak detik-detik bersejarah yang berlaku dalam arena politik negara. Perhimpuanan Agung UMNO, pertukaran tampuk pimpinan, pilihanraya kecil dan rombakan cabinet semuanya hanya dapat saya ikuti secara sepintas lalu. Namun seperti biasa, saya ingin memberi komen terhadap yang berlaku terutama dalam arena politik belakangan ini.

UMNO sekali lagi bertukar pimpinan. Kali ini nakhodanya Datuk Seri Najib Tun Razak (DSNTR). Sama-sama kita lihat apakah kemampuannya. Apakah beliau akan berdaya menandingi rekod Tun Dr Mahathir atau beliau hanya sekadar biasa-biasa sahaja seperti Tun Pak Lah.

Walaubagaimanapun sudah kelihatan isyarat awal yang tidak begitu menyenangkan hati. Barisan Nasional hanya menang satu daripada tiga kerusi yang dipertandingkan baru-baru ini. Apakah sebabnya? Saya pun kurang pasti. Apakah hanya orang UMNO sahaja yang suka DSNTR tetapi rakyat tidak suka?

Bila difikirkan, mungkin juga kerana masih lagi terdapat pemimpin korup, pengamal politik wang@rasuah yang dibenarkan bertanding dalam Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini dan terpilih pula memegang jawatan. Bagaimana ini boleh berlaku? Entah apalah yang difikirkan oleh perwakilan UMNO ketika mengundi, adakah mereka mengundi mengikut pilihan hati mereka dan bukannya pilihan rakyat?

Sekalung tahniah kepada pihak Pakatan Rakyat yang menang dua kerusi. Tapi yang saya pelik tiada pula kedengaran ucapan terima kasih daripada PR kepada BN kerana tidak main kotor. Maklumlah orang dah menang. Apa dia peduli. Cuba kalau kalah habis dicanangnya yang si pihak lawan bermain kotor. Bila kita menang kita kata sebab memang kita baik, kita bagus, pasal itu kita menang dan bila kita kalah kita kata lawan tidak bagus, lawan jahat, lawan main kotor. Pendek kata menang atau kalah hanya kita yang baik dan lawan kita sentiasa buruk. Inilah namanya politik tahi sebab politik cara ini kotor sentiasa, tak tahulah pula kalau ada tahi yang bersih.

Dahulu bila diumumkan pilihanraya kecil dibuat selepas pemilihan UMNO. Ada orang memekak tidak puas hati tengok-tengok dia pula menang, terus tutup mulut senyum sampai ke telinga. Asal menang saja terus puas hati, suka hati. Bila kalah bukan main lagi dia panas hati.

Dan yang bagusnya tak pula kedengaran BN kata PR main kotor dalam pilihanraya yang menyebabkan mereka boleh menang. Jadi sekarang saya keliru, mana satu yang bersifat Islam mana satu yang kurang bersifat Islam? Agaknya pihak yang kalah kali ini lebh jantan daripada pihak yang menang.

Anda tidak perlu teka sama ada saya penyokong BN ataupun PR dan kalau anda semak pun dalam senarai nama ahli kedua-dua pakatan anda tidak akan jumpa nama saya. BN saya kritik PR pun saya kritik, bukan kerana saya ini sempurna cuma sekadar prihatin.

Pesanan saya kepada mereka yang taksub kepada parti politik, komen anda tidak diperlukan di sini kerana saya cukup kenal dengan tabiat orang-orang taksub seperti anda. Asal saja perkara itu dibuat oleh mereka yang anda sokong benda haram pun boleh jadi halal. Kalau anda para pembaca tidak percaya, silalah berkunjung ke laman web tranungkite online. Bukannya saya ingin mempromosikan laman web ini tapi untuk menjadi bukti betapa bodoh orang yang taksub politik.

01 April 2009

Tarjih - Isu Rokok

Saya kini berada di ambang peperiksaan. Justeru saya meminta maaf kerana tidak dapat mengemaskini blog ini dengan kerap disebabkan terlalu banyak kerja yang perlu diselesaikan juga terlalu banyak mata pelajaran untuk dihafal. Tambahan pula, saya tidak dapat menulis dengan baik jika tidak berada dalam keadaan hati dan minda yang tenang. Saya berharap semoga para pembaca dapat mendoakan kejayaan saya dalam peperiksaan dan juga dalam kehidupan.

Sungguhpun begitu di waktu senggang yang ada ini saya berkenan untuk menulis sedikit sebanyak berkaitan dengan fiqh atau lebih khusus lagi dalam bab tarjih. Tarjih ini secara mudahnya boleh didefinasikan sebagai mengutamakan suatu pendapat lebih daripada pendapat lain dengan bersandarkan pada asas yang tertentu atau dalam Bahasa Inggeris kita boleh sebut sebagai preferance.

Misalnya, katakan terdapat beberapa pendapat berkenaan hukum sesuatu perkara maka kita menggunakan kaedah tarjih untuk memilih satu pendapat yang paling baik, paling kuat dan paling sesuai untuk diamalkan oleh kita tetapi harus kita ingat pemilihan ini haruslah bersandarkan asas yang kukuh.

Untuk penerangan lanjut, saya suka untuk mengupas dengan lebih mendalam isu rokok kerana ini lebih dekat dengan masyarakat dan lebih mudah difahami oleh para pembaca sekalian. Sebagaimana yang anda maklum (bagi mereka yang maklum) dan untuk pengetahuan anda (bagi mereka yang tidak maklum), sepanjang ingatan saya sebagaimana yang telah saya pelajari di sekolah menengah dahulu, ulama’ telah berbeza pendapat berkaitan dengan hukum merokok yang secara ringkasnya dapat kita sebutkan dalam tiga bentuk:
  1. Haram
  2. Makruh
  3. Harus


Melihat kepada tiga hukum yang disebutkan di atas, tidak dapat tidak untuk kita membuat pendirian dalam memilih salah satu daripada hukumnya. Semestinya bagi mereka yang benci kepada rokok akan memilih hukum haram manakala mereka yang merokok memilih hukum makruh atau harus bagi membenarkan mereka merokok.

Pada pendapat saya, cara yang sebegini adalah tidak tepat. Cara yang betul untuk melakukan tarjih adalah dengan melihat dalil yang dibawakan oleh ulama’ dalam mengeluarkan hukum-hukum tersebut. Tarjih bukan bermakna kita boleh memilih sesuka hati berdasarkan kehendak dan nafsu kita. Tarjih memerlukan sandaran yang diterima syara’atau istilahnya murajjih.

Bagi perokok, mereka pastinya memilih hukum harus atau makruh bagi menyedapkan hati mereka dan sebagai hujah yang mereka tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak manakala bagi yang benci akan rokok pastinya akan memilih hukum haram untuk menghindarkan rokok.

Saya agak keberatan untuk menulis pilihan saya di sini kerana khuatir ada dalam kalangan rakan-rakan saya yang tersinggung sungguhpun kebanyakan mereka berfikir yang saya ini tidak reti menjaga perasaan orang lain. Namun apakan daya saya perlu menjadikan sifat menyampaikan itu sebahagian daripada resmi saya. Jadi tetap saya akan merperkatakan sesuatu berkenaan dengannya kerana saya percaya bantuan Allah itu bersama-sama dengan hambanya yang mengajak kepada kebenaran.

Sepanjang pengamatan saya, saya tidak dapat melihat sebab musabab untuk mengguna-pakai hukum merokok itu harus atau makruh melainkan satu-satunya hukum yang sesuai dan layak baginya adalah haram. Walaupun terdapat bukti (yang saya tidak pesti benar atau tidak) yang menyatakan ada faedah yang boleh diperoleh daripada merokok seperti kononnya boleh melegakan selsema, manghangatkan badan dan lan-lain, bagi saya ini tidak dapat digunakan sebagai hujah kerana faedah yang sedikit itu tidak terbandingkan dengan mudharat yang banyak (rasanya tidak perlu saya senaraikan di sini). Sebagaimana yang telah disebut oleh Allah yang sesungguhnya di dalam arak itu ada manfaat dan keburukan tetapi tetap, hukum arak itu haram kerana mudharatnya lebih besar dariada manfaat.

Ada pula orang yang terlebih hebat pengetahuan agamanya ingin menggunakan kaedah usul fiqh: al-aslu kullu asyya’ ibahah (hukum asal kepada setiap perkara itu adalah harus) dan berhujah memandangkan tiada nas (keterangan) dalam Al-Quran atau sunnah yang menunjuk kepada pengharamannya. Sebab apa saya kata mereka ini terlebih hebat adalah kerana mereka terlepas pandang yang Al-Qur’an dan sunnah itu menggariskan panduan secara umum kerana jika semua perkara disebut di dalam Al-Quran maka naskhah Al-Quran itu akan lebih tebal daripada tingginya KLCC.

Jadi terpulang kepada anda, untuk menarjihkan mana-mana pendapat asal saja anda mempunyai asas yang diterima syara' bukan semata-mata untuk menghalalkan perbuatan anda. Saya tidak mempunyai masalah sekiranya anda tidak bersetuju dengan saya tetapi sila bawakan hujah anda supaya saya dapat bersetuju dengan anda.