Pages

28 December 2008

Blog Si Penghina Islam

Saya sempat menjengah sebuah blog yang mana url-nya diberi oleh rakan saya. Blog tersebut berisi caci-maki dan penghinaan terhadap agama Islam secara umumnya dan serangan peribadi terhadap Nabi Muhammad secara khususnya.

Saya tidak ingin berkongsi dengan para pembaca sekalian url blog tersebut kerana saya tidak mahu blog yang sedemikian mendapat sambutan ramai yang mana saya kira sebagai suatu yang ingin dicapai oleh penulis blog tersebut.

Atas nama keterbukaan minda dan kebebasan bersuara, berpendapat, menulis dan lain-lain maka wujudlah blog-blog liar sedemikian rupa.

Entah apa niat sebenar penulis blog tersebut memburuk-burukkan keperibadian Nabi Muhammad dengan perkara-perkara rekaan. Barangkali dia terlalu ingin akan perhatian atau sengaja suka mencari kemarahan orang.

Saya juga sempat membaca komen untuk beberapa post di dalam blog tersebut yang mana juga berisi caci-maki tetapi kali ini untuk si penulis blog. Saya berpendapat yang ini bukanlah suatu tindakan yang bernas.

Saya mengalu-alukan tindakan daripada pihak berkuasa tetapi bagi orang kebanyakan bagi saya perkara sebegini tidak perlu di layan. Kita sedia maklum mereka yang berbuat sebegini memiliki kedangkalan otak yang sangat serius. Lagi kita layan, mereka akan semakin menjadi-jadi. Maka adalah lebih baik kita tidak mengendahkan perilaku mereka itu bukannya kerana kita bersetuju dengan apa yang mereka suarakan tetapi kerana kita harus berfikir secara rasional. Selama manakah anjing akan menyalak bukit?

Lama-kelamaan sesudah anjing itu penat atau hilang suara maka dia dengan sendiri akan diam. Tetapi jika kita terus memberi layanan, ini akan menjadi mangkin yang menguja mereka untuk terus-menerus menghina Islam.

Tambahan pula, melayan orang yang bodoh bukankah turut menampakkan kita sebagai bodoh? Saya pasti anda semua tidak teringin untuk kelihatan bodoh. Si penulis menghina kita orang Islam, jika kita kembali menghina si penulis apakah bezanya kita dengan dia?

Diam kita bukannya kerana kita tidak mahu membela Islam. Cuma saya tertarik dengan tindakan datuk kepada Rasulullah, Abdul Mutalib ketika tentera bergajah Abrahah menyerang Ka'bah.

Kisahnya begini, ketika Tentera Abrahah menyerang Ka'bah, mereka merampas harta-benda penduduk Mekah. Maka Abdul Mutalib pun bersemuka dengan mereka untuk menuntut kembali harta beliau. Ketua angkatan tentera berkata kepada Abdul Mutalib, "Apakah kamu tidak mengendahkan keselamatan Ka'bah yang akan kami robohkan dan lebih mementingkan harta kamu?"

Abdul Mutalib menjawab, "Aku ingin memelihara hartaku sedangkan Ka'bah itu biarlah pemiliknya yang memeliharanya..."

26 December 2008

PAS dan Hudud

Pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu yang akan datang menyaksikan Parti PAS sekali lagi membangkitkan isu hudud sebagai suatu cogan untuk meraih undi rakyat.

Sebagaimana yang telah dijangka, pastinya puak-puak kafir menentang pelaksaan hukum hudud di Malaysia dan tidak kurang juga orang Islam yang turut menentang pelaksaan hukum ini dengan beribu alasan yang tercapai dek akal mereka.

Kita sedia maklum yang pelaksanaan hukum Islam secara menyeluruh sememangnya telah menjadi matlamat Parti Pas untuk sekian lama. Namun saya agak keliru dengan kaedah yang mereka gunakan demi mencapai matlamat ini.

Bukannya saya menentang usaha ke arah pelaksanaan hukum Islam cuma saya pelik dengan kaedah yang digunakan oleh PAS.

Pernah saya bertanya kepada guru saya yang merupakan penyokong tegar PAS, mengapa PAS tidak menjalankan usaha demi mencapai matlamat mereka itu melalui dalam UMNO itu sendiri. Lantas guru saya menjawab dengan memetik kata-kata Tuan Guru Nik Aziz yang bunyinya lebih kurang begini, "Sekiranya kita ingin membersihkan tong berisi tahi kita harus membersihkannya dari luar, bukannya masuk ke dalam tong tersebut kerana itu akan menyebabkan kita juga terkena tahi...".

Pada ketika itu jawapan tersebut agak memuaskan hati saya tetapi apa yang saya lihat sekarang PAS bukannya sekadar ingin membersihkan tong tahi tetapi ingin menghancurkan terus tong tahi tersebut. Dalam erti kata lain, PAS bukan sekadar ingin mencapai matlamat mereka yakni pelaksanaan hukum Islam tetapi sekaligus ingin meruntuhkan kerajaan sedia ada.

Kalaupun PAS masih berkata yang mereka sekadar ingin membersihkan tong tahi, saya pelik mengapa PAS menggunakan tahi untuk membersihkan tong tahi. Sungguh pelik pendekatan ini.

* Penggunaan istilah adalah kesinambungan daripada petikan kata-kata dan tiada unsur penghinaan atau provokasi

19 December 2008

Guru Itu Tidak Ma'sum

Di sekolah saya dulu tersebar suatu fahaman karut yang guru itu tidak boleh dibantah. Walaupon konon pada dasarnya guru berkata yang murid boleh mempersoalkan tindakan mereka melalui cara yang baik dan berhemah tetapi malangnya itu bohong belaka.

Saya berani mengatakan ini kerana saya sendiri telah melalui terlalu banyak aktiviti bangkangan terhadap tindakan para guru. Memang benar bukan semua guru yang menganuti fahaman karut ini. Ramai guru yang memiliki sifat toleransi tetapi saya percaya fahaman ini bukan sahaja terdapat di sekolah saya malah di sekolah-sekolah lain juga institusi pengajian tinggi.

Guru yang menganuti fahaman karut ini menganggap murid yang membantah atau mempersoalkan mereka sebagai kurang ajar, tidak berkat dalam pelajaran dan lebih teruk lagi mereka mengharamkan ilmu yang mereka ajarkan kepada pelajar tersebut.

Saya sendiri pernah dilabel sebagai wahabi, liberal dan sesat melalui beberapa tindakan saya. Tidak kurang juga kelompok pelajar yang menyokong fahaman tersebut dengan alasan guru lebih megetahui kerana mereka mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada pelajar. Namun akhirnya apabila diteliti semula jelas yang sebenarnya guru tersebutlah yang telah tersilap. Inilah yang berlaku kepada saya ketika di tingkatan 3 berkaitan isu solat dan di tingkatan empat berkaitan isu tahlil.

Sayang sekali sikap yang sedemikian bukanlah sikap seorang pendidik yang sejati. Ketahuilah yang guru itu tidak ma'sum dan mereka terdedah kepada kesilapan. Tidak kira setinggi mana kelulusan seorang guru itu, janganlah memandang rendah ilmu yang dimiliki oleh pelajar.

Ambil pengajaran daripada apa yang berlaku kepada saya. Seorang ustaz yang belajar nun jauh di Jordan mengatakan saya membawa fahaman Wahabi yang mana sebenarnya pendapat Imam Syafie, akhirnya terpaksa mengaku yang tersebut adalah pendapat Imam Syafie' namun tetap berdalih untuk tidak menerima pandapat tersebut.

Lebik buruk lagi apabila ada guru yang bertindak mengharamkan ilmu yang diajarkannya kepada pelajar. Inilah sikap seorang guru yang tidak sedarkan diri. Sejak bila pula ilmu Allah itu menjadi miliknya yang membolehkan dia senang-senang ingin mengharamkan ilmu tersebut daripada dipelajari oleh murid?

Insaflah wahai guru-guru yang berfahaman karut ini. Ingatlah yang anda tidak ma'sum dan ilmu anda juga tidak setinggi mana. Janganlah memperkecil ilmu yang dimiliki oleh murid anda kerana mana tahu mereka mengetahui apa yang tidak anda ketahui.

15 December 2008

Sekolah Berasrama vs Sekolah Biasa

Diam tak diam rupa-rupanya sudah hampir dua tahun saya meninggalkan zaman persekolahan saya. Sebagai seorang lepasan sekolah berasrama, saya ingin menceritakan kelebihan sekolah berasrama berbanding sekolah biasa (tidak berasrama).

Bukan niat saya untuk menafikan atau memperkecil kebaikan sekolah biasa namun sekadar memberi panduan kepada para pelajar dan juga ibubapa yang runsing dalam memilih sekolah yang sesuai untuk diri mereka mahupun anak-anak mereka.

Saya melihat pelajar sekolah berasrama sebagai mereka yang mempunyai peluang dan kemudahan yang lebih luas untuk berjaya dalam pelajaran mereka. Antara faktor yang mempengaruhi pandangan saya ini adalah suasana dalam kawasan sekolah itu sendiri.

Di sekolah berasrama, suasana persekitaran mewujudkan galakan kepada pelajar untuk belajar jika dibandingkan dengan tinggal di rumah. Di asrama, pelajar kurang bebas dan terkawal dari segi pergaulan juga tidak begitu terdedah kepada hiburan seperti tv, radio dan internet. Ini dapat membantu meningkatkan tumpuan mereka dalam pelajaran disebabkan kurangnya gangguan daripada media massa yang banyak membawa pengaruh buruk kepada generasi muda.

Pengurusan masa juga menjadi suatu kelebihan bagi mereka yang tinggal di asrama dimana mereka telah ditetapkan waktu persediaan (preparation period) untuk menyiapkan tugasan dan mengulangkaji pelajaran. Masa perjalanan antara tempat tinggal dan sekolah juga dapat dikurangkan.

Pelajar juga lebih dekat dengan kawan-kawan dan para guru yang mana memudahkan aktiviti ulangkaji dan rujukan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dalam pelajaran. Tidak dilupakan amalan ibadah yang lebih teratur terutamanya solat berjemaah.

Antara lain, guru-guru yang mengajar di sekolah berasrama juga lebih berpengalaman dan berkesan jika dibandingkan dengan sekolah biasa walaupun saya melihat ini sebagai tidak adil kerana meletakkan guru-guru terbaik bersama pelajar yang terbaik dan guru yang berprestasi kurang cemerlang bersama pelajar yang kurang cemerlang yang mana memberi hasil yang tidak seimbang. Yang bijak akan terus cemerlang manakala yang kurang bijak akan terus ketinggalan dan langsung tidak berdaya saing. Sungguh buruk sistem ini.

Berbalik kepada tajuk asal, yang menakjubkan saya adalah apabila saya melihat rakan-rakan saya dahulu di musim peperiksaan. Sungguhpun usaha mengulangkaji yang mereka lakukan tidak giat dan cuma ala kadar tetapi keputusan yang mereka raih adalah baik jika dibandingkan dengan usaha sedikit yang mereka curahkan. Mugkin kerana faktor-faktor yang saya telah nyatakan di atas.

Dengan ini saya berharap dapat membantu sedikit sebanyak para pelajar yang sedang memilih sekolah yang sesuai dengan diri mereka. Namun begitu anda harus ingat sebaik dan sebagus manapun sekolah anda tetapi jika anda sendiri yang tidak berusaha. Anda tetap akan gagal.

11 December 2008

Dah Kena Pun Masih Tak Sedar

Memandangkan setiap hari televisyen memaparkan berita kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, maka saya kali ini juga berkenan untuk membicarakan soal kejadian tanah runtuh tersebut.

Terus-terang saya katakan saya sebenarnya tidak begitu bersimpati kepada mangsa kejadian tanah runtuh jika dilihat kepada perihal kerugian harta benda yang mereka alami. Ini bukan bermaksud yang saya adalah seorang yang tidak berperikemanusiaan tetapi kerana saya percaya kejadian tersebut tidak begitu menjejaskan aset yang mereka miliki. Tetapi jika dikenangkan perihal kemalangan jiwa yang berlaku, sememangnya kemalangan tersebut amat dikesalkan.

Semalam saya menonton berita di tv di mana salah seorang mangsa membuat laporan polis hanya kerana kononnya salah seorang petugas di tempat kejadian mengeluarkan perkataan kasar kepadanya kerana membeli rumah di tempat kejadian.

Saya melihat kejadian tersebut amat lekeh sekali. Adakah hal remeh tersebut perlu kepada laporan polis dan liputan berita ke seluruh negara? Mengapa hal petugas yang berhempas-pulas bersusah payah membuat kerja-kerja menyelamat selama berhari-hari tidak dilaporkan dengan terperinci?

Saya percaya petugas yang terlibat dalan insiden tersebut pasti mempunyai sebab terhadap perbuatannya itu. Mustahil secara tak semena-mena dia hendak mengeluarkan perkataan kasar. Pasti ada kerenah yang dilakukan oleh pelapor tersebut ditambah lagi dengan keletihan yang telah mengundang kemarahan petugas.

Saya berharap agar mangsa kejadian bersikap mengenang budi dan memahami. Apakah mereka tidak lihat yang pertugas-petugas sudah keletihan. Janganlah bersikap hidung tinggi dan tak sedar diri hanya semata-mata anda tinggal di Bukit Antarabangsa. Cuba bayangkan sekiranya tiada petugas yang bertungkus-lumus di tempat kejadian saya pasti semua mangsa akan menghadapi kesukaran.

Inilah yang saya katakan di atas sudah kena pun tak sedar diri. Allah telah menurunkan bencana pun masih hendak menyombong diri. Saya faham mungkin dia tertekan dengan apa yang menimpa hartanya. Tapi dia perlu ingat yang kejadian tersebut bukan berlaku atas kehendak para petugas. Malah petugas yang tidak ada kena-mengena dengan mangsa dengan rela hati menghulurkan bantuan.

Hargailah jasa mereka. Janganlah dek kerana hal yang remeh dan lekeh sebegitu pun hendak dibesar-besarkan. Kawan saya memberitahu yang bapanya sudanh tiga hari tidak pulang ke rumah kerana bertugas di tempat kejadian. Lihat betapa besar pengorbanan para petugas yang sanggup meninggalkan keluarga dan memerah keringat demi mambantu para mangsa.

Tidak dilupakan juga berita penemuan bungkusan makanan yang masih elok dibuang dan kemudiannya dimakan oleh babi. Adakah ini kesudahan terhadap bantuan yang diberikan? Saya merasa pelik jika petugas yang memberi bantuan yang membuang 'bantuan' tersebut.

Semoga kejadian tanah runtuh tersebut menjadi pengajaran kepada semua. Bukan sekadar pengajaran yang tersurat tapi juga pengajarang yang tersirat. Tidak sekadar punca pembangunan di lereang bukit tetapi hikmah disebaliknya mungkin kerana perbuatan para mangsa sendiri.

Ingatlah yang sesungguhnya cubaan dan balasan Allah itu datang dalam perbagai bentuk.

Jika masih ada lagi yang menyombong diri, hanya satu perkara sahaja yang layak diberitahu kepada mereka. "Memang padanlah kamu kena bencana sebegini. Semuanya kerana kamu tidak sedar diri".

08 December 2008

Iduladha



Saya dengan berbesar hati ingin mengucapkan selamat menyambut Iduladha kepada seluruh umat Islam. Semoga dengan perayaan ini kita beroleh keampuanan dan redha daripada Allah. Saya juga berharap agar kita semua mendapat rahmat, keberkatan serta kasih sayang daripada Allah.

Beserta dengan ini juga saya ingin memohon ampun dan maaf kepada sesiapa sahaja yang pernah saya zalimi atau sakiti samaada di dalam blog ini ataupun melalui perlakuan, perkataan atau diam saya selama ini dan juga di masa-masa yang akan datang.

Selain itu saya berharap dapatlah kiranya anda menghalalkan kiranya terdapat hak anda yang saya terambil atau sengaja ambil.

07 December 2008

Mari Berkenalan Dengan Ka'bah

Bersempena dengan Iduladha, saya ingin berkongsi maklumat yang saya terima daripada sebuah email berkaitan Ka'bah yang menjadi pandu arah untuk ibadah atau lebih dikenali sebagai kiblat bagi umat Islam selain tempat menunaikan ibadah haji.

Sebagaimana yang anda sedia maklum, Ka'bah adalah suatu binaan batu yang berbentuk segi empat. Tiada apa yang istimewa tentang Ka'bah itu sendiri kerana Ka'bah adalah semata-mata batu yang tidak berdaya upaya untuk memberi kebaikan mahupun kemudharatan kepada sesiapa. Malangnya ada segelintir orang Islam yang tidak tahu akan hakikat ini lantas menjadikan mereka begitu ta'sub dengan binaan Ka'bah tersebut

Jika anda tidak percaya, silalah pergi ke Masjidulharam dan anda akan temui kelompok ini yang lebih rela bergayut-gayut di kelambu Ka'bah sambil menciumnya dan menangis teresak-esak daripada menunaikan ibadah sama ada tawaf atau ibadah lain. Ada juga yang merentap kelambu Ka'bah sehingga koyak. Inilah akibatnya jika kita tidak memahami kenyataan yang sesungguhnya Ka'bah itu hanyalah batu.

Saya pernah mendengar kisah yang orientalis cuba menggoyahkan akidah orang Islam dengan mewujudkan kekeliruan berkaitan peranan Ka'bah. Kelompok ini datang kepada orang Islam lalu bertanya, "Islam menolak amalan agama lain yang menjadikan patung-patung sebagai sembahan. Bukankah orang Islam juga menyembah batu (Ka'bah)?".

Bagi mereka yang tidak faham dengan peranan sebenar Ka'bah, soalan sebegini mungkin akan sedikit sebanyak menggoyahkan keyakinan mereka terhadap ajaran Islam.

Sebagaimana yang saya ulang sejak dari mula, Ka'bah itu adalah semata-mata sebuah binaan batu. Ka'bah itu bukan bahan sembahan. Allah tidak pernah sekali kali menyuruh manusia menyembah Ka'bah. Bahkan menyembah Ka'bah adalah perbuatan syirik kerana yang layak disembah itu hanyalah Allah.

Sebenarnya Ka'bah berfungsi sebagai penanda arah yang satu bagi seluruh umat Islam menghadap dalam Ibadah mereka. Ka'bah menjadi simbol perpaduan umat Islam dan simbol keesaan Allah yakni penyembahan hanya kepada satu arah dan tidak seperti agama-agama yang lain.

Umat Islam menyembah Allah dalam setiap ibadah mereka manakala Ka'bah itu hanyalah sebagai arah kita menghadapkan wajah kita khususnya dalam solat. Seruan ke arah menunaikan Haji di Mekah itu juga bukan bererti Ka'bah itu berperanan sebagai sembahan tetapi merupakan ujian dalam menepati perintah Allah.

Jika para pembaca sekalian masih lagi ragu dengan kata-kata saya yang Ka'bah itu hanyalah penunjuk arah, anda boleh buka Al-Qur'an dalam Surah Al-Baqarah ayat 115 di mana Allah memerintahkan sekiranya kita di dalam kesulitan dan tidak berdaya menentukan arah kiblat atau Ka'bah sedangkan sudah sampai waktu solat, maka kita boleh menghadap ke mana-mana arah kerana sesungguhnya Allah itu berada di mana-mana sahaja. Firman Allah:

ولله المشرك والمغرب فأينما تولوا فثم وجه الله إن الله واسع عليم
"Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat maka kemana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah, sesungguhnya Allah maha luas magi maha mengetahui."

Kini tibalah masanya saya berkongsi maklumat yang saya terima dalam email tersebut.
1) Kedudukan Pintu Ka'bah, Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim

2) Pintu Ka'bah dibuka. Biasanya hanya raja-raja dan para sheikh yang dibenarkan memasuki Ka'bah



3) Gambaran pusing keliling ketika tawaf yang dimulai disudut Hajarul Aswad



4) Pelan binaan Ka'bah serta Hijir Ismail



5) Gambaran bahagian dalam Ka'bah. Berikut adalah ciri-ciri Ka'bah:

1. Ada tiga batang tiang penyangga
2. Ada sebuah meja untuk tempat meletakkan minyak wangi
3. Lampu lantera tergantung di atas langit-langit
4. Ruangan Ka’bah cukup untuk dimasuki 50 orang
5. Tidak ada lampu elekrik
6. Lantai dan dinding dipasang marmar
7. Tidak ada jendela
8. Hanya ada satu pintu keluar masuk
9. Dinding baagian luar ditutup dengan tirai kain berwarna hitam, bersulam benang emas dengan kaligrafi Quran padanya, kain ini kemudian disebut dengan nama kiswah.


6) Penjuru-penjuru Ka'bah

04 December 2008

Kidung Kedurhakaan

Kidung Kedurhakaan

Aku yang telah lelah tetapi belum lagi sempat merasai jemu,
Memperolokkan hati-hati naif yang terdesak membutuhkan perlindungan,
Si fulanah yang tergoda lalu ternoda,
Tegar kulempar ke kaki-kaki lima,
Hanya setelah meredhakan dirinya mengisi kenihilan kalbu,

Puas yang sesaat itupun tetap kukejar,
Hingga tirakat dan tarakku tidak lagi mampu menghadirkan tuhan, mendatangkan iman,
Zikir dan pujiku pun hanya bertandang di pinggiran bibir,
Namun tidak pernah ingin bertamu di hati,

Biarpun aku sedar durhakaku merobek amal,
Langkah taat yang kukenal tidak pula terasa ingin kujejaki,
Ingatan dan pedoman kuhadiahkan dengan kerlingan di ekor mata,
Sambil tawa sinis yang mengundang kelindan hatta di hati suci,
Berserta senandung yang mencebik niat murni,

Gamaknya aku menantikan gempita sapta petala langit,
Yang mengajakku pulang ke negeri asalku,
Tapi pastinya waktu itu sudah telat,
Lantaran sarwa isi dunia bakal pulang barang,
Dan tirai gerbang kekesalan pun sudah tidak boleh dibolosi…

-syfadh-
Kg Baru8/10/08, 8.11 pm

01 December 2008

Sunnah Ibadah dan Sunnah A'dah

Saya berkenan untuk berkongsi sedikit ilmu dengan para pembaca berkaitan pembahagian sunnah.

Terlebih dahulu saya ingin memberi maksud kepada istilah sunnah. Sunnah diertikan sebagai kata-kata, perbuatan, persetujuan, sifat dan khabar yang disandarkan kepada Rasulullah. Sebagai maklumat tambahan, sunnah memainkan peranan yang amat besar dalam perundangan Islam yakni sebagai sumber kedua perundangan Islam selepas Al-Qur'an.

Adapun sunnah itu terbahagi kepada dua, sunnah ibadah dan sunnah 'adah. Sunnah ibadah boleh diterjemahkan secara mudahnya sebagai sunnah yang menjadi petunjuk kepada amalan agama dan terkandung padanya nilai dalam penentuan hukum syara'. Manakala sunnah a'dah atau apa yang orang Melayu sebut sebagai adat adalah semata-mata amalan kebiasan bagi Rasulullah dan tidak mengandungi nilai dalam penentuan hukum syara'.