Pages

28 November 2008

Majlis Raja-raja Sumber Perundangan Islam Terbaru?

Saya merasakan begitu hairan dan 'maha kagum' (bukan niat sebanar) dengan amalan hukum Islam di Malaysia. Terbaru adalah berkenaan soal pengharaman senaman yoga bermentera oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Sebagaimana yang diuar-uarkan di akhbar, fatwa ini hanya akan digunapakai setelah mendapat ‘perkenan’ Majlis Raja-raja.

Peristiwa ini amat aneh sekali. Sejak bila pula Majlis Raja-raja diiktiraf kedudukannya oleh Allah sebagai salah-satu sumber perundangan Islam? Nabi palsu mana yang datang membawakan wahyu baru dari tuhan yang mengatakan suatu hukum itu perlu mendapat perkenan Majlis Raja-raja sebelum boleh diamalkan umat Islam?

Jika dilihat dari sudut kelayakan mengeluarkan ijtihad ataupun fatwa, tiada satupun ahli Majlis Raja-raja yang berdarjat mujtahid ataupun mufti. Jika dilihat daripada kedudukan sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu, sepanjang pengetahuan saya tiada pula disebut di dalam Al-Qur'an mahupun hadith yang menyatakan suatu hukum itu perlu mendapat kelulusan ketua sebelum boleh dikuatkuasakan.

Sekiranya hendak dikatakan ada wahyu baru yang turun untuk memberi arahan ini, saya tertanya siapakah rasul yang membawa wahyu itu sedangkan sudah muktamad tentang kewafatan rasul terakhir 1400 tahun yang dahulu.

Walau apapun alasannya, kalaupun ini hanyalah semata-mata suatu prosedur, jelas yang bahawasanya yang sedemikian adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Petunjuk ke arah kebenaran atau larangan terhadap suatu amalan itu adalah hak Allah yang diperjelaskan oleh-Nya melalui saluran Al-Qur'an dan sunnah yang hanya layak diistinbatkan kandungan hukumnya oleh orang-orang yang merupakan ahli dalam bidang tersebut. Sabda Rasulullah:

إن الْعُلُمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ، إِنَّ اْلأَنْبِياَءَ لَمْ يُوَرِّثُوْا دِيْناَرًا وَلاَ دِرْهَماً إِنَّمَا وَرَّثُوْا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.”

Hadith di atas menyebut ulama' sebagai pewaris para nabi. Raja itu bukan pewaris nabi melainkan yang ulama' dikalangan mereka. Sungguhpun begitu, haruslah difahami yang istilah ulama' yang didalam hadith tersebut adalah yang arif lagi pakar dalam bidang agama Islam bukan sekadar arif dalam bidang lain tetapi tidak mahir dalam bidang agama.

Apabila jelas Al-Qur'an atau hadith memberi kebenaran untuk pelaksanaan sesuatau amalan, maka kebenaran itu berkuatkuasa serta merta tanpa perlu lampu hijau daripada sesiapa. Sebaliknya apabila jelas Al-Qur'an atau hadith menunjukkan larangan terhadap pelaksanaan suatu amalan, maka larangan itu juga berkuatkuasa serta-merta tanpa perlu arahan daripada sesiapa.

Soalan saya, apakah kebenaran atau larangan yang diperintahkan oleh Allah itu lebih rendah statusnya dan kurang utama daripada perkenan Majlis Raja-raja?

Wahai Raja kepada sekalian raja! Demi belas kasihan dan keagungan-Mu, selamatkanlah kami daripada fitnah ini.

24 November 2008

Kiamat Versi Orientalis

Saya menerima sepucuk email daripada saudara saya yang bertajuk, 'Gambaran Orientalis Barat Tentang Azab Di Hari Kiamat'. Di sini saya paparkan gambar-gambar yang terdapat dalam email tersebut. Bukan untuk menyesatkan pembaca sekalian dengan rekaan orientalis tetapi sebagai peringatan kepada diri saya dan juga para pembaca sekalian.

Ketahuilah sesungguhnya azab akhirat itu adalah suatu perkara yang pasti. Namun sudah semestinya tidak seperti apa yang digambarkan oleh para orientalis sebagaimana yang terdapat di dalam gambar yang bakal anda lihat tetapi yang pasti azab yang disediakan oleh Allah di hari kiamat itu lebih dahsyat dan amat memeritkan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, setiap amalan yang baik itu ganjarannya adalah kebaikan dan bagi setiap amalan buruk tersedia siksaan yang memedihkan. Daripada itu bersama-samalah kita memelihara diri daripada azab siksaan Allah.

Firman Allah Ta'ala:

"Adakah orang-orang yang beriman itu sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah sama. Adapun yang beriman dan beramal soleh beroleh syurga sebagai ganjaran kepada amalan yang mereka kerjakan. Sebaliknya orang-orang yang fasik bagi mereka neraka sebagai tempat pembalasan, setiap kali mereka ingin keluar daripada neraka mereka dikembalikan ke dalamnya serta dikatakan kepada mereka, "Rasailah azab neraka yang mana kamu dustakan dahulu". [Surah As-Sajdah: 18-20]


19 November 2008

Bukan Riya'-lah, Itu Namanya Takabbur

Orang Melayu sering saja mempunyai fahaman yang salah tentang maksud riya'. Menurut penggunaan mereka sehari-hari, riya' membawa maksud bercakap besar, bongkak atau membesar-besarkan diri walhal ini bukan maksud sebenar perkataan riya'. Sifat mazmumah yang tesebut jika diterjemahkan dalam istilah yang tepat adalah takabbur dan bukannya riya'.

Riya' jika didefinasikan dengan bahasa yang mudah adalah menunaikan atau mempertontonkan kebaikan atau ibadah di hadapan orang lain dengan niat menunjuk-nunjuk, mendapat kepujian daripada orang yang melihat atau dengan apa sahaja niat selain daripada Allah.

Jika perlu digambarkan melalui peristiwa saya memberi contoh sebagaimana yang berikut: Badru (bukan nama sebenar) memberi 'sumbangan ikhlas' di sebuah majlis dengan niat untuk mendapat pujian daripada tetamu yang hadir ataupun menunjukkan kekayaannya.

Dalam gambaran lain, Syarikat Maju Jaya (bukan nama sebenar) bersetuju untuk membiayai perbelanjaan Rumah Anak Yatim Sang Pendeta syfadh (semoga menjadi kenyataan, amin) dengan niat untuk mengurangkan bayaran cukai.

Nah inilah maksud dan gambaran sebenar bagi istilah riya' yang telah disalahertikan oleh masyarakat masa kini. Maka dengan sebab itu sifat riya' ini dikategorikan di dalam Islam sebagai suatu bentuk syirik kerana si pelaku menunaikan kebaikan atau ibadah bukan kerana Allah padahal yang selayaknya ditujukan segala ibadah itu hanyalah Allah.

Ketahuilah sifat riya' itu merosakkan amal. Sesungguhnya Allah itu amat cemburu dan murka apabila Dia diduakan oleh hambanya. Firman Allah:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu membatalkan pahala sedekah kamu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti sebagaimana orang yang mendermakan hartanya kerana menunjuk-nunjuk kepada manusia dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat..." [Surah Al-Baqarah: 264]

Firman Allah lagi:

"Mereka jua memberi makan barang makanan yang disukai dan dihajatinya kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan, (sambil berkata dengan lidah atau hati): sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu mahupun ucapan terima kasih..." [Surah Al-Insan: 8-9]

Dengan sedikit sebanyak penerangan yang di atas saya harap para pembaca akan dapat memperbetulkan sekiranya terdapat kesalahan dalam penggunaan istilah riya' dan takabbur.

14 November 2008

Perihal Video Sajak Kematian


Saya merujuk kepada perihal video Sajak Kematian yang diberhentikan penayangannya atas arahan Menteri Pelajaran dengan alasan tayangan video tersebut menyandungi unsur yang menakutkan dan tidak sesuai untuk ditonton oleh pelajar tahun satu dan dua.

Beginilah bunyinya kata-kata beliau, "Saya sungguh tidak bersetuju kerana kita hendak mendidik mesti secara berhemah dan pendekatan yang menakut-nakutkan lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yang usianya cukup muda, saya rasa ia tidak akan membawa manfaat".

Sebagaimana yang dimaklumkan oleh media, video Sajak Kematian tersebut memaparkan gambaran seksaan kubur yang dilalui oleh manusia selepas dikebumikan menurut kepercayaan dalam agama Islam.

Bukan sahaja mendapat larangan daripada menteri malah ada segelintir ibu bapa dan pelajar yang menentang penayangan video tersebut dengan pelbagai hujah.

Pada saya, penolakan terhadap video tersebut adalah tidak wajar jika alasannya adalah kerana video tersebut menyandungi paparan yang menakutkan. Sebabnya kita harus peka bahawa amalan memberi pengajaran melalui jalan menakut-nakutkan itu adalah amalan yang digunapakai di dalam Al-Qur'an dan Hadith itu sendiri.

Saya yakin pendekatan yang sedemikian adalah sesuai dengan fitrah manusia justeru itu Al-Qur'an dan Hadith menggambarkan pelbagai siksaan dan balasan buruk terhadap amalan kejahatan dan kemungkaran. Tujuannya sudah tentu untuk menakut-nakutkan manusia supaya mereka menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang memungkinkan mereka menerima balasan yang buruk lagi menyeksakan.

Berkenaan hujah kononnya video tersebut tidak sesuai ditayangkan kepada murid tahun satu dan dua berikutan tahap pemikiran mereka yang masih muda, hemat saya menyatakan alasan yang sedemikian adalah tertolak dan tidak dapat diterima.

Bukankah orang-orang Melayu sudah terbiasa mendidik anak mereka dengan cara menakut-nakutkan mereka. Saya beri contoh di mana orang Melayu mendidik anak mereka yang masih supaya jangan keluar atau bermain di luar rumah pada waktu maghrib kerana itu adalah waktu mambang-mambang berkeliaran. Bukankah ini juga menakutkan?

Adakah mendidik anak-anak melalui ketakutan kepada syaitan adalah lebih sesuai dengan tahap pemikiran mereka yang masih kecil dan lebih wajar berbanding mendidik mereka dengan ketakutan kepada siksaan Allah?

Saya faham terdapat ibubapa yang merasa bertanggungjawab melindungi anak-anak mereka tetapi saya rasa sudah sampai masanya ibubapa bersikap tidak terlalu melindungi anak-anak mereka kerana sikap 'terlalu melindungi' ini akan menyebabkan perkembangan minda terbantut. Maka dengan sebab itu saya rasa minda generasi cilik kini lambat matang dan terlalu bergantung kepada ibu bapa.

Lihat saja ilmuan masa lampau bagaimana mereka menghabiskan usia muda mereka dengan pengembaraan untuk menuntut ilmu sekaligus terdedah dengan pelbagai gelagat manusia dan kerenah makhluk tuhan yang lain telah berjaya menjadikan mereka manusia ulung yang dikenang sepanjang zaman.

Tidakkah ibubapa masa kini menginginkan yang sedemikian terjadi kepada anak-anak mereka? Saya yakin semua ibubapa yang beriman mahu anak mereka menjadi manusia yang terbaik.

13 November 2008

Siapa Makan Cili, Dia Yang Merasa Pedas

Saya suka untuk menulis post ini walaupun tidak begitu menggambarkan kecerdikan akal. Rasanya tidak perlu saya terjemahkan tajuk di atas kerana saya yakin mereka yang tidak mahir berbahasa Melayu pun biasa dengan penggunaan peribahasa ini.

Telah saya tulis dalam post yang lalu, mereka yang menggunakan blog sebagai medan untuk bercerita hal-hal peribadi adalah mereka yang lemah ketahanan mental dan kurang motivasi diri.

Ada pihak melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap saya kerana menulis yang sedemikian. Hujahnya ialah tidak semestinya orang yang menulis hal-hal peribadi adalah orang yang lemah ketahanan mental dan motivasi kerana kadang-kadang mereka sekadar berkongsi pengalaman atau meluahkan apa yang mereka rasa.

Dalam post-post yang lalu banyak saya ceritakan pengalaman peribadi saya mengenai perbincangan, perbualan mahupun debat antara saya dan rakan mahupun guru saya. Bezanya adalah antara menulis pengalaman atau perasaan yang sia-sia, membuang masa dan menggambarkan kedangkalan akal dengan pengalaman yang mampu memberi faedah atau pengajaran kepada orang lain.

Setidak-tidaknya tulisan tersebut mempunyai unsur jenaka atau santai kalaupun tidak mengandungi unsur pengetahuan kerana sekurang-kurangnya dapat juga memberi faedah dengan mengurangkan ketegangan dan tekanan.

Jadi dengan itu saya ingin menambah sindiran saya kepada orang ini supaya jangan hanya pandai membaca tetapi haruslah juga pandai memahami. Maka di sinilah pentingnya bahagian pemahaman dalam subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mahupun Bahasa Arab. Gunakahlah sebaiknya ilmu tersebut bagi memahami tulisan saya mahupun tulisan sesiapa saja.

Dengan sebab itu saya gunakan peribahasa siapa makan cili dia yang terasa pedas. Jika benar tulisan anda itu adalah tulisan yang mempunyai nilai tidak kiralah sama ada bernilai ilmu pengetahuan, pengajaran mahupun jenaka, adalah tidak wajar untuk anda merasa terpukul ataupun terhina dek tulisan saya itu melainkan memang benar anda cuma pandai merapu dalam penulisan anda.

Akhir sekali supaya jelas dan tidak lagi menimbulkan keraguan, sebab saya mengatakan menulis post ini tidak begitu menggambarkan kecerdikan akal adalah kerana seolah-olah saya melayan kata-kata yang dilontarkan oleh golongan yang hanya pandai membaca tetapi tidak pandai memahami.

Nasihat saya adalah amalan membaca perlulah disertakan dengan akal yang waras dan bukannya emosi yang membunuh kewajaran fikiran.

10 November 2008

The Da Vinci Code

Atas cadangan seorang rakan melalui komennya di post Salasilah Keturunan Para Nabi dan Rasul, saya pun menonton filem The Da Vinci Code. Pada asalnya dia mencadangkan supaya saya membaca novel tetapi malangnya saya tidak memilikinya. Jadi rasanya agak memadai untuk saya memahami sedikit sebanyak perkara yang diperkatakan olehnya dengan menonton filem tersebut.

Menurut pemahaman saya setelah dua kali menonton, filem yang menyentuh hal-ehwal Kristian ini pada awalnya berkisar tentang pencarian the Holy Grail, makam batu yang dikatakan menempatkan jasad Mary Magdelene, isteri kepada Jesus yang telah sekian lama dilindungi oleh pertubuhan rahsia, the Priory of Sion yang bertanggungjawab melindungi rahsia kewujudan kerabat Jesus yang masih hidup.

Tujuannya, untuk menafikan ketuhanan Jesus (kerana bersifat dengan sifat kemanusiaan seperti berkahwin dan beranak) supaya pihak gereja tidak lagi dapat mempergunakan ketuhanan Jesus sebagai alasan untuk menindas manusia sejagat.

Sebaliknya, filem ini berakhir dengan penemuan Sophie, watak yang mencari the Holy Grail itu sendiri sebagai keturunan terakhir Jesus yang masih hidup dan dengan kesimpulan yang Jesus adalah bersifat ketuhanan dan seorang manusia yang unggul dalam masa yang sama.

Filem ini hendak mengetengahkan kononnya Jesus pernah berkahwin dengan Mary Magdelene dan mempunyai zuriat sebelum disalib dan kerabatnya berlangsung hingga kini atau secara mudahnya pada zaman ini terdapat kerabat Jesus yang masih hidup.

Haruslah diingat, walauapapun kisah yang berlaku kepada Jesus (samaada benar kisah di atas ataupun rekaan semata-mata) tidak ada kena mengena langsung dengan Nabi Isa. Jesus dan Nabi Isa adalah dua orang yang berbeza. Perbezaan paling ketara adalah Nabi Isa tidak disalib sebagaimana yang berlaku kepada Jesus.

Malah sepanjang pengetahuan saya tidak pernah pula berjumpa dengan ayat Al-Qur'an ataupun hadith yang menceritakan tentang perkahwinan Nabi Isa apatah lagi mempunyai anak. Yang ada kisah ajaib Nabi Isa yang lahir dari rahim seorang dara, Maryam, kisah baginda bercakap ketika masih bayi, kisah baginda diangkat ke langit demi menyelamatkan baginda daripada dibunuh oleh orang kafir.

Jadi selagimana tidak dibuktikan dengan Al-Qur'an atau Hadith, apapun kisah yang berlaku pada zaman silam tidak boleh diyakini oleh umat Islam apatah lagi apabila cerita tesebut cuba dikaitkan dengan para Nabi Allah.

07 November 2008

Hubungan Islam-Barat, Adakah Ruang Perdamaian?

Siapa kata muslimun tidak boleh berdamai dengan kafirun? Jika tidak, pasti tidak termerainya Perjanjian Hudaibiyyah dan tiadalah istilah kafir zimmi mahupun kafir musta'man. Namun peristiwa Perjanjian Hudaibiyyah telah berkurun lamanya berlalu. Yang perlu kita persoalankan sekarang adalah keadaan semasa.

Mungkin agak sedikit terlewat bagi saya untuk mengulas kemenangan Barrack Obama dalam Pilihanraya Presiden AS baru-baru ini. Rata-rata melihat Obama sebagai manusia yang bakal membawa perubahan besar terhadap episod perjalanan dunia di masa akan datang. Lantas kemenangannya dirai oleh segenap penduduk dunia.

Bagi saya kemampuan Obama untuk mengembalikan kestabilan ekonomi AS dan secara tidak langsung ekonomi dunia adalah kurang penting jika dibandingkan dengan pendiriannya terhadap hubungan Islam-Barat.

Manakan tidak, hubungan keruh Islam-Barat yang diwujudkan oleh Presiden Bush Laknatullah melalui tindakannya menyerang negara-negara Islam seperti Afghanistan dan Iraq dan pendiriannya yang menyokong tindakan zalim Zionis terhadap penduduk Pelestin bukan sahaja telah menghuru-harakan keamanan dunia, menyebabkan berjuta-juta bilangan kematian dan juga pelarian bahkan turut menyebabkan lonjatan harga minyak yang mendadak sekaligus menjadi punca kepada krisis ekonomi dunia beberapa ketika dahulu.

Namun persoalannya adakah hubungan Islam-Barat ini akan damai semasa Obama memegang tampuk pemerintahan nanti?

Saya bukanlah penganalisis politik atau ekonomi, namun saya berpendapat selagimana orang yang memegang jawatan nombor satu AS bersifat pro Yahudi, misi perdamaian Islam-Barat tidak akan tercapai. Mungkin keadaan akan berubah baik sedikit tetapi pada dasarnya krisis tersebut tidak pernah akan selesai.

Tambahan pula keadaan kucar-kacir yang ditinggalkan oleh si Bush laknatullah ini kelihatannya seakan-akan hampir kepada mustahil untuk diselesaikan. Tambahan pula dengan helah Israel yang sentiasa menzalimi rakyat Palestin tidak pernah memperlihatkan jalan penyelesaian. Jadi sehebat mana pun Obama, saya tidak fikir dia mampu menjernihkan kembali hubungan Islam-Barat yang telah terjejas maha dahsyat ini.

Saya amat berharap yang jangkaan saya ini meleset. Supaya dunia boleh kembali aman dan tenteram juga manusia mampu hidup tanpa ketakutan.

Tapi bagaimana dengan janji Allah yang menyatakan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah senang hati dengan Islam?

ولن ترضى عنك اليهود ولن النصرى حتى تتبع ملتهم
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani itu tidak sekali-kali akan senang dengan kamu sehingga kamu mengikut ajaran agama mereka..."
[Surah Al-Baqarah: 120]

Nampaknya harapan cuma akan tinggal harapan selagimana Muslimun tidak mengembalikan Islam ke kedudukan gemilang dan teratas. Wahai Allah, bilakah bantuan-Mu akan sampai?

06 November 2008

Ceriteraku... 2

Setelah berfikir kembali rasanya kenyataan yang saya keluarkan dalam post bertajuk sama yang lalu agak keterlaluan. 'This kind of people do not deserved life'.

Entah bagaimana saya boleh menyatakan orang-orang yang dihidupkan oleh Pencipta itu tidak layak hidup sedangkan Sang Pencipta sendiri merasakan yang mereka layak untuk hidup (jadi mereka pun diciptakan Allah).

Mungkin juga kerana saya terlalu beremosi ketika menulis post tersebut kesan daripada membaca artikel-artikel yang begitu mengarut sekali di blog kenalan saya.

Lantas saya menarik balik kenyataan saya berkaitan perkataan 'do not deserved live' dan memohon maaf di atas ketelanjuran penulisan saya.

Sungguhpun begitu saya tetap dengan pendirian bahawasanya menggunakan blog untuk bercerita hal-hal peribadi, membuka aib orang lain dan diri sendiri serta lain-lain perkara yang tidak berfaedah adalah amalan yang buruk dan bukan daripada kebiasaan orang-orang cerdik pandai. Malah mencerminkan kelemahan motivasi diri dan ketumpulan akal. Dengan itu saya mengutuk golongan yang sedemikian.

Ketahuilah, saya memberi nasihat kepada diri saya dan kepada anda semua sesungguhnya Allah itu menjadikan manusia dengan fungsi dan tanggungjawab yang berat dan bukannya untuk mensia-siakan kehidupan itu dengan perkara yang tidak berfaedah kepada diri sendiri mahupun orang lain. Allah berfirman:

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, mereka yang khusyuk dalam solat mereka, dan mereka yang menjauhi perkara yang sia-sia, dan mereka yang menunaikan zakat, dan mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki sesungguhnya mereka tiadalah bersalah, barang siapa yang berkehendak melebihi daripada itu maka merekalah golongan yang sesat, dan mereka yang mereka yang menunaikan amanah dan berpegang janji, serta mereka yang menjaga solat mereka, merekalah golongan pewaris, yang mewarisi syurga lagi kekal di dalamnya..."

03 November 2008

Defensive, Argumentative and Judgemental

It is very hard to keep tranquility in our social life. Being so defensive makes people hate you because they will regard you as egoist. I cannot deny that I am a defensive type of person which sometimes makes people uneasy with me. Denying this fact will make my friends very mad at me. Usually, people like those who do not know how to argue more than especially when they always 'lose' in argument.

The question is why I am acting in such a manner? It is simply because I cannot bear people's thought that to keep silent when someone question you means that you are wrong. You do not have to tell me that that is not the perception of everyone in this world seems that I am only making a general statement.

Being an argumentative type of person also put me in trouble. I always have interest in listening to debates happened between my friends especially when it involve religious matters. But most of the debates will end up with me as the one of the debater even I am not when those debates start due to the interruptions that I made during the debate session. Thus, now I would like to refrain myself from talking while listening other people debating so I will not be facing any trouble.

I was also told by my friends not to judge others. The most annoying and irritating question I ever 'gifted' with was, "who are you to judge other people?". At that very time I just want to say, "My dear learned friend, it is not the matter of judging other person but are you fool enough until you unable to differentiate between right and wrong?" But luckily my 'frankness' has some limitation.

I do accept the fact that I am just a human being which always commit sins and mistakes. But please do not say to me "do not judge other" when 'the other' has done something which is obviously wrong.

I believe that readers especially my friends will take this post as an invitation to 'attack' me. But as The Rock (former wrestler, currently actor) used to say when he is still a wrestler, "it doesn't matter" and "just bring it" since tranquil environment is sometimes quite boring.

01 November 2008

Minyak - Naik - Minyak

Minyak naik dan naik minyak, dua perkataan yang memberikan makna yang begitu berbeza. Minyak naik adalah singkatan kepada 'harga minyak naik' manakala naik minyak bermakna marah atau mengamuk.

Apabila minyak naik secara automatiknya masyarakat akan naik minyak. Kenyataan ini memang jelas kerana kenaikan harga minyak akan menyebabkan kenaikan harga barang. Jadi tidak ada sebab mengapa masyarakat tidak perlu marah.

Tetapi saya rasa mungkin terdapat situasi sebaliknya berlaku, iaitu minyak turun tetapi ada pihak yang naik minyak. Mengapa? Mungkin kerana penyusutan harga minyak telah menggagalkan rancangan pihak berkenaan untuk mengambil kesempatan dengan menjadikan isu kenaikan harga minyak sebagai batu loncatan untuk meraih keinginan mereka.

Tidak terkecuali, penyokong-penyokong tegar pihak tersebut. Hati mereka hancur luluh ibarat kaca yang terhempas ke batu apabila harapan yang mereka taruhkan terhadap pihak yang mereka sokong tanpa berbelah bagi tidak tercapai.

Disamping itu, saya melihat kemelesetan ekonomi global sebagai sesuatu yang membawa hikmah kepada Malaysia. Manakan tidak pergolakan dan kekecohan politik seakan reda sementara ramai pihak memberi lebih fokus kepada usaha-usaha untuk memastikan ekonomi Malaysia tidak terjurus sama ke dalam kemelesetan yang serius.

Tapi saya tidak pasti jika ada pihak tidak berhati perut yang tetap ingin mengambil kesempatan di masa yang sangat genting sebegini yang mana saya agak jika berlaku bakal membawa malapetaka besar seakan membuat ramuan sebati antara masalah ekonomi dengan masalah politik yang pastinya maha sukar untuk dirungkaikan.

Berbalik kepada situasi yang berlaku kepada 'pihak berkenaan dan penyokong-penyokongnya', saya rasa kalau kita minta komen dari orang-orang Indonesia mereka akan berkata, "kasihan amat ini anak". Kalau kita minta komen orang-orang yang sezaman dengan allayarham Tan Sri P Ramlee mereka akan berkata, "aduh, kasihan!" (filem Madu Tiga).

Mujur saja saya menjadi orang yang di atas pagar. Jadi dalam hal ini, tidak perlulah saya dikasihankan.