Pages

30 September 2008

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum,

Kelihatan tadi Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengishtiharkan di televisyen bahawasanya Hari Raya Aidilfitri telah ditetapkan pada hari Rabu, 1 Oktober 2008. Ini juga sekaligus membawa maksud bahawa hari ini adalah hari terakhir berpuasa. Ramadhan yang dicintai Rasulullah dan para orang soleh bakal meninggalkan kita semua. Pastinya mereka sekalian sedang bersedih meratapi pemergian Ramadhan, bulan penuh keberkatan dan rahmat.

Semoga Ramadhan tahun ini tidak berlalu begitu sahaja bagi diri saya dan anda semua. Moga-moga Allah menerima amalan kita yang tidak seberapa ini. Semoga sahaja Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan di tahun lepas.

Yang berlalu pastinya berganti, ganti Ramadhan adalah Syawal, bulan penuh kegembiraan di mana umat Islam merayakan kejayaan melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan.

Bagi yang gagal menunaikan tanggungjawab Ramadhan tanpa sebab yang dibenarkan syarak, tidak perlulah sibuk-sibuk ingin merayakan Syawal kerana anda tidak layak merayakannya, tiada apa-apa kejayaan untuk anda rayakan. Bahkan anda perlu bersedih mengenangkan kegagalan anda yang sungguh mengaibkan itu.

Sungguh tidak munasabah, sedangkan budak kecil pun mampu berpuasa penuh di Bulan Ramadhan mengapa ada dikalangan orang dewasa tidak mahu berpuasa? Yang lebih pelik, ada yang berpuasa tetapi tidak mengerjakan solat. Tidakkah mereka tahu bahawa solat adalah ibadah paling utama yang menentukan status ibadah lain. Jika elok ibadah solat maka eloklah ibadah lain dan begitulah juga sebaliknya.

Sungguh benar kata-kata (hadith kalau tidak silap saya), "Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang beriman".

Jadi dengan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada para pembaca sekalian. Beserta dengan ucapan ini saya ingin memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan daripada perbuatan, tutur-kata, tulisan dan diam saya yang mungkin telah menyakiti perasaan anda sekalian. Diharapkan anda dapat menerima permohonan maaf saya ini supaya saya tidak soal oleh Allah kelak berkaitan dosa-dosa saya terhadap anda semua.

Silalah berjimat-cermat ketika membeli keperluan berhari-raya. Kepada yang pulang ke kampung silalah berhati-hati di jalan raya. Sekian.

25 September 2008

Bekasnya Tetap Kekal

Cerita ini berlaku di suatu kampung di mana tinggal seorang ayah bersama anak lelakinya. Si ayah merupakan serang ahli ibadah yang begitu taat kepada Allah. Tetapi malang, usaha mendidik anak lelakinya yang seorang itu supaya turut menjadi seorang yang taat kepada Allah telah gagal meskipun pelbagai cara digunakan oleh si ayah.

Perwatakan si anak begitu berlawanan sekali dengan si ayah. Katakan saja apa bentuk maksiat semuanya telah dilakukan oleh si anak tanpa menghiraukan nasihat yang tidak putus-putus daripada bapanya yang taat.

Suatu hari si ayah mendapat ilham sebagai jalan terakhir untuk mendidik anaknya yang derhaka itu. Si ayah berkata, "Wahai anakku, mulai hari ini ayah akan pacakkan sebatang kayu di halaman rumah kita. Untuk setiap kemungkaran yang kau lakukan ayah akan pacakkan sebatang paku di batang kayu itu supaya kau boleh lihat sendiri betapa banyaknya dosa yang telah kau buat. Sebaliknya ayah akan cabut sebatang paku untuk setiap kebaikan yang kau lakukan".

Hari demi hari berlalu, masih tiada apa-apa perubahan. Si anak tetap dengan kemungkarannya. Si ayah tidak henti-henti memacak paku di batang kayu yang terdapat di halaman rumah sebanyak kejahatan yang dibuat oleh anaknya hinggalah hampir tiada ruang lagi di batang kayu itu.

Suatu pagi, si anak terlihat batang kayu yang dipenuhi paku itu, lalu datanglah keinsafan di hati si anak untuk bertaubat. Mulalah si anak mengerjakan ibadah untuk menzahirkan niatnya untuk kembali kejalan yang benar. Segala perkara mungkar tidak lagi diamalkan dan diganti dengan kebaikan.

Lama-kelamaan habislah semua paku yang sebelum ini terdapat pada batang paku itu dicabut oleh si ayah hingga tinggal tiada satu pun. suatu pagi si anak turun kehalaman rumah lalu dia terlihat batang kayu tersebut lalu menangis teresak-esak dan menggigil ketakutan.

Si ayah yang melihat gelagat anaknya itu merasa begitu pelik sekali lalu bertanya, "Wahai anakku apakah lagi yang engkau tangiskan? Bukankah semua amalan kejahatanmu dulu telah kau tebus dengan amal ibadah dan taubatmu kepada tuhan?"

Si anak dengan nada kesal menjawab, "Ya benar wahai ayahku semuanya telah kutebus dengan taubat dan amal ibadahku tapi ayah lihatlah sendiri batang kayu itu sungguhpun ayah telah cabutkan semua paku namun bekas lubang kesan paku itu masih kekal disitu dan tak akan kembali elok dan licin seperti sediakala. Begitulah juga hatiku ini yang dulu bergelumang dengan dosa tidak akan kembali suci dan bersih sebagaimana sebelum aku melakukan dosa dahulu walau dengan cara apa sekalipun aku menebusnya".

20 September 2008

Salasilah Keturunan Para Nabi dan Rasul

http://tentang-pernikahan.com/article/articleindex.php?aid=618

Sebentar tadi di masjid, saya terbaca sebuah iklan yang mana mencari sumbangan untuk meletakkan gambarajah salasilah keturunan para nabi dan rasul di masjid-masjid. Terdapat juga contoh gambarajah salasilah tersebut yang bermula daripada Nabi Adam sehinggalah ke Nabi Muhammad dengan begitu terperinci sekali (yang terpapar di atas adalah gambarajah ringkas, yang diiklankan tersebut adalah lebih terperinci).

Mungkin juga anda semua ada melihat gambar rajah seumpamanya di masjid-masjid lain kerana ini pun bukan pertama kali saya melihatnya. Disertakan juga nota yang bunyinya lebih kurang begini, "Dengan adanya salasilah ini, dapat memberi maklumat sedikit sebanyak maklumat kepada umat Islam tentang keturunan para nabi dan rasul".

Sebelum ini, seorang kawan saya pernah bertanya kepada saya. Apakah benar nama-nama yang tercatat di dalam salasilah tersebut? Daripada manakah sumbernya? Bagaimana mungkin penulis gambarajah tersebut mendapat salasilah keturunan nabi-nabi dan rasul-rasul yang telah wafat beribu-ribu tahun yang dulu?

Lantas timbul keraguan di hati saya. Ada logiknya juga pertanyaan kawan saya itu. Di dalam Al-Qur'an mahupun hadith (sepanjang pengetahuan saya) tiada pun menceritakan salasilah tersebut secara begitu terperinci sebagaimana yang terdapat di dalam gambarajah tersebut. Yang ada pun secara ringkas sahaja.

Ya benar, orang Arab memang begitu teliti dalam menjaga salasilah keturunan mereka. Namun bukan semua para nabi berasal daripada bangsa Arab.

Yang saya takutkan, apa yang tercatat di dalam gambarajah itu adalah rekaan semata-mata atau lebih teruk lagi datang dari kisah-kisah Israeliyyat yang direka-reka para Orientalis untuk menyesatkan umat Islam. Na'uzubillahi min zalik.

Berikut adalah sisipan daripada buku Sirah Nabawiyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) di laman web:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

Nasab Keturunan Nabi s.a.w

* Terdapat tiga peringkat bagi nasab Nabi s.a.w di mana satu peringkat disepakati oleh ahli sejarah dan salasilah iaitu salasilah keturunan baginda hingga kepada ‘Adnan.
* Satu peringkat lagi menjadi perselisihan di kalangan mereka di mana ada mereka yang menerimanya dan ada yang bertawaqquf (tidak mengambil sebarang pendirian), iaitu salasilah keturunan Nabi dari ‘Adnan hingga Ibrahim a.s.
* Peringkat seterusnya tidak diragui lagi bahawa ia memuatkan fakta-fakta yang tidak sahih iaitu salasilah baginda dari Ibrahim a.s hingga kepada Adam a.s. Kami telah menyebutkan sebahagian salasilah ini dan di sini akan dibentang secara terperinci tiga peringkat salasilah yang tersebut:
  1. Peringkat pertama: Muhammad bin Abdullah bin Abd. al-Muttalib (nama sebenarnya ialah Syaybah) bin Hashim (nama sebenarnya ialah ‘Amru) bin Abdu Manaf (nama sebenarnya ialah al-Mughirah) bin Qusay (nama sebenarnya ialah Zayd) bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihr (yang digelar dengan gelaran Quraisy dan melaluinya dinisbahkan kabilah Quraisy) bin Malik bin al-Nadr (namanya ialah Qays) bin Kinanah bin Khuzaymah bin Mudrikah (nama sebenarnya ialah ‘Amir) bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma‘ad bin ‘Adnan.
  2. Peringkat kedua: Iaitu salasilah di atas ‘Adnan, iaitu ‘Adnan bin Ad bin Humaysa’ bin Sulaiman bin ‘Aus bin Buz bin Qumwal bin Ubay bin ‘awwam bin Nashid bin Haza bin Baldas bin Yadlaf bin Tabikh bin Jahim bin Nahish bin Makhi bin ‘Ayd bin ‘abqar bin ‘Ubayd bin Da’a bin Hamdan bin Sinbar bin Yathribi bin Yahzan bin Yalhan bin Ar‘awa bin Ayd bin Dishan bin ‘Aysar bin Afnad bin Ayham bin Muqsir bin Nahith bin Zarih bin Sumay bin Muzay bin ‘Audah bin ‘Iram bin Qaydar bin Ismail bin Ibrahim a.s.
  3. Peringkat ketiga: Iaitu salasilah di atas Ibrahim a.s, iaitu Ibrahim bin Tarih (nama sebenarnya Azar) bin Nahur bin Saru’ -- atau Sarugh - bin Ra‘u bin Falikh bin Abir bin Shalikh bin Arfakhsyad bin Sam bin Nuh a.s bin Lamik bin Mutawshalakh bin Akhnukh (dikatakan beliau ialah Nabi Idris a.s) bin Yazid bin Mahla’il bin Qaynan bin Anushah bin Shith bin Adam a.s.

Maka seharusnya kita berwaspada dan jangan terlalu mudah percaya. Bukannya kita tidak tahu yang orang-orang yang benci akan Islam begitu licik sekali dalam rencana mereka untuk memusnahkan Islam.

12 September 2008

Memperlekehkan Orang Yang Beribadah

Mendukacitakan, itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan sikap keji segelintir umat Islam. Diri sendiri tak mahu beribadah tapi memperlekehkan pula orang yang ingin beribadah. Inilah yang telah berlaku semaktu saya singgah di tempat belajar saya minggu ini. Selesai sahaja berbuka puasa, beberapa rakan saya bersiap-siap untuk berterawikh. Ada yang ingin berterawikh di bilik sahaja dan ada pula yang ingin berterawikh di masjid.

Tiba-tiba kedengaran suara sumbang. Intipatinya kononnya ingin menasihati rakan saya yang ingin berterawikh di masjid supaya tidak perlu berterawikh tiap-tiap malam di masjid. Dalil yang dibawa adalah perbuatan Rasulullah yang tidak melakukan terawikh di masjid setiap malam. Lagi pula terawikh bukannya benda wajib jadi tidak perlu diberat-beratkan. Lalu kedengaran juga suara yang menyokong. Namun saya tetap berdiam diri. Bukannya apa, kerana saya tidak ingin memulakan perdebatan yang tidak perlu tambahan pula waktu Isyak sudah dekat.

Ya memang benar, Rasulullah tidak menunaikan terawikh di masjid setiap malam. Tapi kita harus paham bahawa tujuannya adalah supaya umat Islam tidak menganggap Solat Terawikh itu wajib. Jika kita ingin sesuaikan dengan diri kita di zaman ini untuk melarang orang pergi menunaikan Terawikh setiap malam di masjid, persoalannya, adakah tindakan kita ke masjid setiap hari akan menyebabkan Solat Terawikh menjadi wajib?

Makanya dengan sebab itu kita harus faham dan jangan mentafsirkan suatu perbuatan Rasulullah itu sebagai menepati kehendak peribadi kita. Memang tiada keraguan bahawa solat Terawikh itu hukumnya sunat. Namun hukum sunat tidak bermakna kita harus memperlekeh dan tidak mengambil berat ibadah ini. Bukannya kita tidak tahu akan keagungan bulan Ramadhan yang menjanjikan balasan baik yang berlipat ganda daripada Allah.

Seterusnya hujah yang tadi disambung, sedangkan solat yang wajib pun kita tidak lakukan di masjid setiap hari maka kenapa perlu berterawikh di masjid setiap hari. Inilah gaya pemikiran orang yang dangkal akalnya. Apakah salahnya jika kita berbuat sedemikian? Tidak bermakna kita mengagungkan solat sunat lebih daripada solat fardhu. Namun mungkin pada waktu sedemikian kita lapang dan berasa rajin untuk solat di masjid jadi tidak mungkar jika kita melakukannya. Dan bersempena dengan bulan Ramadhan kita mengambil kesempatan yang telah dikurniakan Allah.

Selesai solat Tarawikh kedengaran pula orang bercerita, ada yang berkata kepada sekumpulan pelajar yang ingin berterawikh, "Ha syurga la tu" (dapat syurga la kalau pergi terawikh di masjid). Ini lagu satu masalah. Entah mengapa hatinya tidak senang melihat orang pergi berterawikh. Apa yang saya tahu, kelompok yang tidak senang melihat orang pergi beribadah adalah syaitan tapi yang mengucapkan itu manusia. Entahlah. Tempelak untuk kata-kata sedemikian adalah, "Sedangkan kami yang pergi berterawikh belum tentu dapat syurga, apatah lagi kamu yang memperlekehkan orang yang beribadah adakah pasti meraih syurga?"

Mengapa tidak membandingkan dengan tindakan diri sendiri? Sudahlah malas berterawikh nak memperlekehkan orang yang berterawikh pula. Kesempatan yang diberikan oleh Allah di bulan Ramadhan dibiarkan berlalu sahaja tapi entah mengapa merasa tidak senang dengan orang yang mengejar kelebihan Ramadhan. Pelik tapi benar, kalau benar anda 'alim sangat, mengapa anda sendiri malas berterawikh? Tak kisahlah di bilik atau di masjid. Ini dibilik pun tak berterawikh. Inikah sikap seorang Muslim?

08 September 2008

Hadith Fadhilat Ramadhan

Hari ini genap lapan hari berpuasa. Alhamdulillah kelihatannya jumlah pengunjung masjid ketika solat Tarawikh masih lagi ramai berdasarkan pengamatan saya di Masjid Jamek Kg Baru, Madrasah Rajaiah, Kg baru dan Masjid Bandar Baru Nilai. Semoga keadaan sebegini akan kekal sehingga ke akhirnya dan moga-moga bakal bertambah baik.

Kelihatannya di kaca televisyen tiada lagi paparan tentang fadhilat-fadhilat menunaikan solat Tarawikh sebagaimana tahun-tahun lalu. Mungkin sudah ada kesedaran yang kebanyakan hadith-hadith tentang fadhilat Ramadhan yang didaparkan tersebut bersifat dhaif(lemah) dan ada juga yang maudhu'(palsu) . Manakan tidak, salah satu sifat hadith dhaif adalah menceritakan ganjaran yang amat besar untuk ibadah yang sedikit. Sebagai contoh, dikurniakan pahala sebagaimana orang yang membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Qur'an bagi mereka yang solat Tarawikh pada malam sekian.

Dahulu-kala, terdapatnya segelintir orang yang mereka-reka hadith sendiri bertujuan untuk menggalakkan orang mengerjakan iabadah. Maklum saja manusia sememangnya sangat mudah tertarik kepada ganjaran yang besar. Niat mereka murni namun sayangnya mereka lupa atau terlalai bahawa di dalam Islam terdapatnya prinsip 'Matlamat Tidak Menghalalkan Cara". Barangkali juga mereka tidak bertemu hadith mutawatir daripada Rasulullah yang berbunyi [riwayat Bukhari dan Muslim]:

من كذب عليا متعمدا فليتبوء مقعده من النار
"Barangsiapa yang berbohong ke atas aku maka tempahlah tempat duduknya di neraka"

Tidak kira apa jua matlamatnya, sungguhpun baik, mereka-reka suatu perkara yang tiada dalam agama itu adalah terlarang. Kepada kita semua, amalan yang terbaik adalah yang bertujuan semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Kerana syurga itu adalah hasil belas ihsan-Nya kepada hamba-Nya.

03 September 2008

Makna Seorang Perempuan

Makna Seorang Perempuan

Perempuan itu,
Dicintai kerana malunya,
Disayangi kerana maruahnya,
Dikahwini kerana agamanya,

Wanita itu,
Dihargai kerana budinya,
Dihormati kerana santunnya,
Diingati kerana kasihnya,

Tapi sebaliknya seorang betina,
Dikeji kerana rakusnya,
Dibenci kerana mengada-ada,
Dilaknati kerana gedikannya,

Lalu bagaimana aku bisa mencinta?
Menjaga dan memelihara?
Apabila sekalian yang kujumpa,
Ternyata bukan perempuan atau wanita,
Tetapi betina semata-mata...
-syfadh-

Puisi di atas pernah saya paparkan di profile Friendster saya yang mana telah menimbulkan reaksi kurang senang terutama daripada golongan Hawa. Pun begitu saya tidak merasakan sedikit pun terjejas dengan komen ataupun rasa tidak puas hati yang mereka luahkan. Bagi saya barangkali mereka tidak memahami apa sebenarnya yang saya ingin sampaikan di dalam puisi di atas.

Adalah cukup buruk tabiat memandang serong terhadap penulis sedangkan diri sendiri yang tidak berdaya memahami mesej yang mahu di sampaikan oleh penulis tersebut dan inilah yang telah berlaku. Rata-rata wanita yang membaca puisi ini merasakan bahawa saya menghina mereka. Cukup singkat sekali tahap pemikiran mereka yang sedemikian atau mungkin mereka tidak berupaya memahami Bahasa Melayu.

Apa yang cuba saya sampaikan di dalam puisi di atas adalah perbezaan kemuliaan perempuan sejati dan kehinaan perempuan yang tidak bermoral yang saya gelar sebagai betina. Sumber inspirasi saya ialah dialog Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam filemnya berjudul Musang Berjanggut:

“Perempuan memelihara maruah, tetapi betina menjual maruah”

Nah begitu sebenarnya tema yang saya ingin sampaikan. Tapi entah kenapa kaum hawa yang membaca puisi ini begitu mudah terngadah. Barangkali terkena pada batang hidung mereka agaknya seperti kata pepatah:
“Siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya”.

Lihatlah bagaimana saya memulakan puisi dengan memuja-muji ketinggian martabat wanita yang berperibadi mulia. Disayangi, dicintai dan dinikahi. Dihargai, diingati dan dihormati. Sedikit pun tiada maksud dihati saya untk menghina kaum wanita dan persoalannya untuk apa? Emak saya juga wanita. Kakak, nenek, pengasuh dan saudara mara saya ramai yang wanita. Adakah dengan tidak semena-mena saya ingin mengutuk mereka? Pastinya itu tindakan yang bodoh lagi tidak berakal.

Kemudian lihatlah bagaimana penghinaan kepada kaum Hawa yang tidak berakhlak. Rasanya tidak salah penggunaan perkataan betina tersebut. Memang benar perkataan itu sangat kasar tapi sengaja saya gunakan bagi memberi impak besar terhadap kepada pembaca tentang betapa hinanya manusia yang tidak memelihata maruahnya.

Al-Qur'an sendiri membandingkan orang yang tidak mahu memahami, mendengar dan melihat kekuasaan Allah sebagai lebih sesat daripada binatang. Jadi jika perumpamaan yang saya gunakan di atas adalah biadap jadi bagaimana harus ayat Al-Qur'an tersebut dikategorikan?

Lalu dengan sebab itu wahai sekalian pembaca terutama kaum Hawa, jika anda tidak mahu dihinakan maka berakhlaklah dengan akhlak Islam. Seterusnya, jika anda tidak berkelakuan buruk sebagaimana yang disebutkan dalam puisi di atas anda sepatutnya tidak merasa marah atau tersinggung malah menyokong apa yang saya katakan.

Adakah tidak wajar pujian untuk orang-orang yang mulia dan kutukan kepada orang-orang yang hina? Hendaklah kamu berlaku adil dengan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya.

Atau mungkin di sisi anda pujian itu selayaknya bagi orang yang hina dan kutukan kepada orang yang mulia? Dukacita sekali jika ini berlaku.