Pages

25 May 2014

Fobia Hudud

Gempar, satu negara gempar bilamana Kerajaan Persekutuan yang diterajui UMNO mengumumkan bahawa kerajaan tidak menghalang perlaksanaan hudud di Malaysia khususnya di Kelantan. Bertambah gempar lagi apabila kerajaan Kelantan yang diterajui PAS memberi kenyataan balas untuk membuat pembentangan rang undang-undang persendirian (private bill) untuk membenarkan pelaksanaan dan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya pada tahun 2015.

Berikutan daripada kenyataan tersebut, langsung saja MCA, Gerakan dan DAP melenting menolak dengan sekeras-kerasnya perlaksanaan dan penguatkuasaan hudud di Malaysia tanpa mahu mendengar sebarang penjelasan dan tanpa membuka sebarang ruang rundingan. Antara alasan yang diberikan oleh mereka ialah kononnya hudud bertentangan Perlembagaan Persekutuan, hudud akan memecahbelahkan rakyat kerana kewujudan dua sistem perundangan yang berbeza dan hudud tidak praktikal. Alasan tambahan oleh DAP ialah hudud bukan agenda bersama pakatan rakyat.

Dalam post kali ini saya akan membincangkan alasan-alasan yang diberikan oleh MCA, Gerakan dan DAP yang menolak hudud.


Pertama, alasan hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Dalam 2 post yang lalu saya telah membincangkan perihal pelaksanaan hudud di peringkat persekutuan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan:

1) Perlaksanaan Hudud, Perlembagaan Tak Halang (Bahagian 1)
2) Perlaksanaan Hudud, Perlembagaan Tak Halang (Bahagian 2)

Walaubagaimanapun, sekiranya hudud ingin dilaksanakan di Kelantan sahaja, besar kemungkinan akan timbul persoalan dari segi kesamarataan di hadapan undang-undang (equality before the law) yang dipromosikan dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Akan berlaku ketidaksamaan di hadapan undang-undang bilamana seorang Muslim di Kelantan yang meminum arak boleh dihukum dengan 80 sebatan tetapi seorang Muslim yang minum arak di negeri lain dihukum dengan hukuman lain. Justeru, perkara ini perlu dibincang dan diselesaikan oleh jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti. 

Kedua, alasan yang menyatakan hudud bakal memecahbelahkan rakyat dan hudud tidak praktikal. Pada saya, alasan ini bersifat spekulatif lagi prejudis terhadap hudud, alasan yang tidak berpaksikan bukti melainkan lahir semata-mata daripada perasaan fobia terhadap hudud ataupun kebencian terhadap Islam. Tidak ada sebab mengapa hudud boleh menyebabkan rakyat berpecah-belah. Perlu diingat hudud hanya melibatkan 7 jenis jenayah sahaja dan hudud hanya dikenakan kepada penjenayah. Apa logiknya bilamana penjenayah dihukum tetapi tiba-tiba rakyat berpecah belah melainkan apabila rakyat menjadi pembela dan bersekongkol dengan jenayah.

Ketiga, alasan yang menyatakan hudud tidak praktikal. Fakta menunjukkan hudud masih lagi diamalkan di Arab Saudi. Ini sudah cukup untuk menyangkal dakwaan yang menyatakan hudud tidak praktikal. Jika hudud tidak praktikal, bagaimana hudud terbukti boleh dilaksanakan di negara tersebut.

Keempat, kenyataan dangkal yang dikeluarkan oleh Presiden MCA yang menyatakan MCA hanya menolak hudud dan bukannya Islam. Ini jelas menunjukkan betapa contoh dia seorang yang jahil tapi terburu-buru bercakap dan menunjuk pandai. Kenyataannya itu terlalu ganjil seolah-olah hudud itu adalah asing dan bukan sebahagian daripada Islam.

Kelima, Ketua Wanita Gerakan menyatakan hudud tidak adil kerana perogol akan mudah terlepas disebabkan sabitan jenayah zina dalam hudud memerlukan 4 orang saksi yang adil. Ini jelas menunjukkan kecetekan pemahamannya terhadap sistem undang-undang jenayah Islam yang tidak terhad kepada hudud sahaja tetapi merangkumi hukum ta'zir apabila kriteria ketat yang dikehendaki oleh prosedur pembuktian dalam hudud tidak dapat dipenuhi. 

Keenam, Sisters in Islam (SIS) and Women’s Aid Organisation (WAO) tampil untuk menampakkan kebodohan mereka dengan mengatakan mangsa rogol akan dikenakan hukum rejam sekiranya hudud dilaksanakan. Ini jelas menunjukkan yang mereka sekadar mengkritik secara membabi buta tanpa cuba memahami prinsip-prinsip keadilan dalam hudud yang antaranya menyatakan hudud gugur dengan sebab syubhah dan paksaan adalah suatu pembelaan dalam hudud.

Pada pandangan saya, alasan-alasan yang diberikan oleh majoriti penentang hudud adalah alasan yang tidak bermerit. Mereka menentang secara membabi buta tanpa memahami hakikat hudud yang sebenar. Mereka mengkritik tanpa ilmu tapi berpandukan perasaan fobia dan prejudis terhadap Islam dan undang-undang Islam. Mereka berselindung disebalik kononnya memperjuangkan hak asasi manusia, keadilan dan perpaduan kaum walhal alasan-alasan yang mereka berikan tidak logik akal dan hanya memperlihatkan kedangkalan ilmu pengetahuan mereka dan sifat mereka yang mengikut perasaan semata-mata.


No comments: