Pages

02 April 2014

Memperlihatkan Kesan Nikmat Allah


Ketahuilah sesungguhnya salah-satu daripada tanda bersyukur itu adalah dengan menampakkan nikmat Allah yang kita terima atau tahaddus bi an-ni'mah. Allah berfirman:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ 
"Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau tampakkan."
[Surah Ad-Dhuha: 11]

Diriwayatkan juga dalam suatu kisah di mana seorang sahabat pernah datang menemui Rasulullah saw dengan berpakaian lusuh dan kumal serta berpenampilan yang membuat sedih orang yang memandangnya. Melihat keadaan demikian, Rasulullah bertanya, “Apakah kamu memiliki harta?” Sahabat tersebut menjawab, “Ya, Alhamdulillah, Allah melimpahkan harta yang cukup kepadaku.” Maka Rasulullah berpesan, “Perlihatkanlah nikmat Allah tersebut dalam penampilanmu.” [Syu’abul Iman, Al-Baihaqi].

Lantas timbul persoalan, sebagai seorang Muslim kita diperintahkan supaya bersifat zuhud, merendah diri dan tidak takabbur tetapi dalam masa yang sama kita dituntut pula untuk menampakkan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Justeru bagaimana untuk kita mengharmonikan antara dua tuntutan yang pada zahirnya bertentangan antara satu sama yang lain ini.  

Ada segolongan manusia yang dikurniakan Allah dengan rezeki namun dia berketerampilan seolah-olah dia terpinggir daripada nikmat Allah dengan alasan dia mahu bersifat zuhud dan merendah diri. Pakaiannya selekeh, penampilan tidak teratur, kusut masai, pakai baju dan seluar yang "bertahi lalat", koyak atau warnanya telah begitu pudar sekali, pakai kasut yang betul-betul sudah haus. Makan makanan yang begitu dhaif sekali sedangkan dia ada duit. Buat kenduri lauk sejenis sahaja sedangkan dia berkemampuan. Rela berpanasan di rumah sedangkan mampu membeli penghawa dingin. Rela naik kenderaan yang sering rosak dan bermasalah sedangkan dia mampu membeli kenderaan baru. Sanggup bersempit-sempit dalam rumah yang kecil sedangkan berupaya membeli rumah besar. Apakah amalan sebegini yant dimaksudkan dengan zuhud?

Hakikatnya, tidak ada tuntutan agama yang bertentangan antara satu sama yang lain kerana sumber segala tuntutan ini adalah satu yakni Allah. Sebaliknya kita yang harus memahami maksud sebenar daripada tuntutan-tuntutan ini supaya kita tidak terkeliru. Bagi membezakan antara dua tuntutan ini, beberapa faktor perlu kita fahami:

1. Batasan agama

Kayu ukur pertama dalam menentukan sesuatu perbuatan itu berupa menampakkan nikmat Allah atau takabbur ialah batasan agama. Selagi mana kita menggunakan nikmat yang kita terima dalam lingkungan batasan agama maka yang tersebut tergolong dalam kategori menampakkan nikmat yang kita terima.

Justeru, adalah tidak salah jika kita membeli rumah yang besar, kereta yang cantik, makanan yang sedap, pakaian, aksesori dan gajet baru dan canggih untuk kegunaan kita dan bergaya dengannya. Tetapi apabila kita melangkaui batas yang ditetapkan agama misalnya berhias dengan perhiasan yang haram seperti memakai emas dan sutera bagi lelaki ataupun melakukan pembaziran maka kita tidak lagi dikira sebagai menampakkan nikmat sebaliknya menjadi takabbur dan menunjuk-nunjuk.

2. Niat

Sebagaimana yang kita sedia maklum niat memainkan peranan penting dalam percakapan dan perbuatan seorang muslim. Sekiranya kita melakukan sesuatu dengan niat untuk bersyukur kepada Allah, memanfaatkan nikmat yang diberikan kepada kita dan berhias supaya kelihatan cantik dan kemas maka tidak menjadi masalah sama-sekali.

Sebaliknya apabila kita berniat untuk membesar-besarkan diri, memandang hina orang lain, ingin dipuja-puji oleh orang ramai dan menunjuk-nunjuk kehebatan diri maka sekaligus kita telah terjerumus dalam sifat takabbur yang tercela.

Namun perlu diingat bahawa niat dan perbuatan itu perlulah selari dan seiring. 

3. Adat

Faktor ketiga yang memisahkan antara menampakkan nikmat Allah dengan sifat takabbur ialah adat. Adat menjadi penanda aras bahawa suatu perkara itu menjadi kebiasaan manusia atau tidak. Suatu perkara yang diterima sebagai adat bermaksud perkara tersebut adalah normal, tidak kurang dan tidak pula melampau.

Misalnya, adat kebiasaan bagi majlis perkahwinan adalah dua kali kenduri, sekali dipihak perampuan dan sekali di pihak lelaki. Oleh itu, adalah biasa apabila pasangan mempelai mengadakan dua kali kenduri. Tetapi apabila pasangan pengantin membuat tiga kali kenduri sebelah perempuan dan tiga lagu kenduri sebelah lelaki maka bukan lagi dianggap menampakkan nikmat sebaliknya berlebih-lebihan. 

Contoh lain kebiasannya adat wanita memakai perhiasan serba satu (misalnya) jadi tiada masalah apabila seorang wanita berhias sedemikian. Tetapi apabila seorang perempuan memakai gelang emas sampai ke siku ataupun rantai emas umpama sauh kapal, maka tidak lagi dianggap menampakkan nikmat sebaliknya takabbur.

4. Kemampuan

Apa yang dianggap sebagai menampakkan nikmat kurniaan Allah itu adalah melakukan sesuatu dalam lingkungan kemampuan seseorang. Terdapat segolongan manusia yang hidup berlandakan pepatah biar papa asal bergaya. Sanggup berhutang semata-mata untuk kelihatan segak dan bergaya. Perbuatan sebegini bukanlah yang dimaksudkan dengan menampakkan nikmat yang terima sebaliknya berlagak dengan cara yang sangat bodoh.

Semoga kita semua menjadi hamba yang bersyukur, bukan hamba yang takabbur. Wallahua'lam.



 

No comments: