Pages

20 February 2014

Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 2)

Dalam post Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 1) saya telah menyebutkan tentang perselisihan pendapat dalam kalangan ulama' di Malaysia berkaitan hukum melabur di ASB dan ASN. Sebahagiannya berpendapat bahawa hukumnya harus manakala sebahagian yang lain mengatakannya haram. Dalam post tersebut juga saya telah menimbulkan persoalan tentang pendapat mana yang perlu kita pegang sama ada harus atau haram. Berikut adalah sambungan daripada bahagian 1:


Terus terang saya katakan persoalan ini bukanlah suatu yang mudah untuk dijawab. Lebih-lebih lagi apabila perkara ini melibatkan wang ringgit dan kita tahu bahawa wang ringgit adalah perkara yang sensitip dan berupaya melemahkan orang yang paling beriman sekalipun. Saya bukanlah individu yang layak untuk memberi fatwa dan di dalam penulisan ini saya tidak menidakkan hak para pembaca untuk memilih pendapat yang anda kira lebih menepati kehendak syara'. Sebaliknya saya sekadar mengutarakan pandangan peribadi saya berkenaan dengan perdebatan yang tidak berkesudahan ini.

1. Pendapat yang mengatakan ASB dan ASN halal

Jika kita lihat daripada hujah-hujah yang diberikan oleh golongan yang berpendapat bahawa hukum pelaburan di ASB dan ASN adalah harus, mereka tidak menafikan bahawa hukum asal pelaburan di kedua entiti tersebut adalah haram TETAPI disebabkan faktor-faktor luar (yang mereka anggap sebagai dharurat) menjadikannya harus. Justeru hukum harus yang diberikan boleh saya kategorikan sebagai bukan harus lizatihi (kerana hakikat skim pelaburan itu sendiri) tetapi harus lighairihi (yakni kerana faktor-faktor luaran).

Jadi saya yang faqir ilmu ini secara peribadinya berpendapat adalah tidak adil untuk mereka meletakkan hukum secara sekali harung (lump sum) yakni halal melabur dan halal mengambil KESEMUA dividen dan bonus yang diperoleh sedangkan dalam masa yang sama mereka MENGAKUI bahawa sebahagian daripada dananya dilaburkan dalam bidang yang haram. Kalaupun hujah yang digunakan mereka adalah berpandukan dharurat, bukankah kaedah fiqh memperuntukkan bahawa "dharurat itu tertakluk kepada kadarnya". Justeru, memberi hukum secara sekali harung tanpa menghiraukan kaedah ini adalah tidak wajar.

Saya tidak menafikan hak Majlis Fatwa Kebangsaan untuk memaksikan pendapat mereka atas dasar apa yang mereka kira sebagai dharurat, tetapi apa yang patut daripada pandangan peribadi saya adalah untuk mengeluarkan hukum yang lebih cermat dan terperinci dengan mengambil kira aspek halal dan haram dalam skim pelaburan tersebut. 

Antaranya, PNB perlu bertanggungjawab dalam mengishtiharkan peratusan sebenar jumlah pelaburan yang patuh shariah dan jumlah sebenar peratusan yang tidak patuh shariah, keuntungan yang diperoleh daripada setiap satu darinya dan kaedah pembahagian keuntungan kepada para pelabur. Daripada peratusan ini, Majlis Fatwa perlu mengeluarkan hukum yang jelas mengenai hukum keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan halal dan hukum keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan haram.

MISAL kata, sekiranya jumlah pelaburan halal adalah 70% manakala jumlah pelaburan haram adalah 30%, adalah tidak adil untuk mengatakan keuntungannya 100% halal kerana hukum sebegini jelas membelakangkan disiplin dalam pengaplikasian dharurat. Perlu diingat bahawa sewenang-wenang menghalalkan yang haram atas alasan 'dharurat' yang tidak menepati maksud sebenar dharurat adalah salah-guna dharurat untuk menghalalkan yang haram.

Seterusnya, suatu perbezaan yang jelas perlu dibuat untuk memisahkan yang halal dan haram di mana keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan yang halal adalah halal dan boleh diguna-pakai oleh para pelabur manakala keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan yang haram perlu disalurkan mengikut cara membelanjakan harta haram yang telah disebutkan oleh para ulama'. Jangan jadikan alasan 'susah dan rumit' sebagai suatu hujah untuk mengeluarkan hukum sambil lewa kerana persoalan halal dan haram adalah hal yang serius tambahan pula umat Islam di Malaysia bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Selain daripada itu, status dharurat yang digunapakai oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai hujah pengharusan ASB dan ASN perlu dipantau oleh badan yang sama dari masa ke semasa kerana adalah tidak munasabah dikatakan bahawa keadaan dharurat itu akan berlangsung selama-lamanya tanpa berkesudahan. Apakah ada inisiatif diambil oleh ASB dan ASN untuk mengurangkan peratusan pelaburan yang tidak patuh Shariah secara berperingkat ataupun ASB dan ASN mengeksploitasi fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan untuk bersenang-senang dan berterusan dalam pelaburan yang tidak patuh Shariah.

2. Pendapat yang mengatakan ASB dan ASN haram

Dalam pada itu, golongan yang berpendapat bahawa melabur di ASB dan ASN hukumnya haram pula perlu berlapang dada dan tidak mengambil pendekatan yang begitu ketat dan ekstrim. Yang saya maksudkan adalah sebahagian daripada mereka yang memberi pendapat bahawa pelabur tidak boleh mengambil sebarang peratusan daripada keuntungan yang diperolehi daripada ASB atau ASN dan mesti menyalurkan 100% melalui cara membelanjakan harta haram menurut pandangan ulama'. Saya kira pendapat ini agak keras kerana mereka sendiri mengakui yang bahawasanya bukan 100% pelaburan yang dilakukan oleh ASB dan ASN adalah haram malah majoriti daripada pelaburannya adalah halal.

Tambahan pula, ramai pelabur yang telah bertahun-tahun melabur di ASB dan ASN dan ada sebahagian daripada mereka yang memiliki keuntungan pelaburan melebihi jumlah modal yang dilaburkan. Dan sebagaimana yang saya sebutkan di awal tadi, hal berkaitan dengan wang ringgit adalah hal yang sensitif dan berupaya menggoyahkan iman manusia lebih-lebih lagi apabila jumlahnya banyak.

Justeru, untuk mengharamkan 100% keuntungan yang diperoleh akan memberi kesusahan kepada pelabur sekaligus menjadikan mereka lebih keberatan dan enggan mengambil pendapat yang menyatakan hukumnya haram. Bukankah salah satu daripada maksud-maksud Shariah itu meringankan dan menghapuskan kesusahan yang tidak perlu. Tambahan lagi dalam masalah khilafiyyah sebegini, pendapat yang keras dan ekstrim bukanlah suatu pendekatan yang ideal sebaliknya mencari jalan untuk keluar daripada khilaf adalah lebih bijaksana.

Kesimpulan

Memandangkan masalah ini adalah masalah ijtihadi, adalah tidak patut untuk kita melabelkan satu pandangan sebagai betul dan satu lagi sebagai salah. Sebaliknya, pendapat mana yang lebih baik antara dua pendapat ini. Saya secara peribadi memandang bahawa menjauhkan diri daripada yang haram dan yang syubhah itu lebih baik. Ini sesuai dengan maksud hadtih:

Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. 
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Allahu'alam.

Pautan:

No comments: