Pages

15 February 2014

Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 1)

Perdebatan yang tak sudah tentang hukum melabur di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) kembali hangat lebih-lebih lagi apabila Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) membangkitkan isu ini yang sejak kebelakangan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.



Keresahan yang timbul rata-ratanya berpunca daripada tindakan sesetengah pendakwah bebas yang mengatakan hukum melabur dalam ASB dan ASN adalah haram. Ini ditambah lagi dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang menyatakan bahawa ASB dan ASN 'tidak patuh Shariah' atau haram kerana sebahagian daripada dana yang dimiliki oleh kedua-dua entiti ini dilaburkan dalam bidang yang haram dan syubhah antaranya seperti berikut (rujuk laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31/12/2012):

1) Maybank Berhad (termasuk perbankan ribawi) - 23.23%
2) British American Tobacco Berhad - 0.69%
3) Fraser and Neave Holding Bhd (termasuk pengilangan beer) - 0.71%

Sebagai tindak balas, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 14/02/14 sekali lagi mengulang dan menegaskan bahawa hukum melabur dalam ASN dan ASB adalah harus (di sini) sebagaimana yang telah diputuskan sebelum ini. Tidak cukup dengan itu, Majlis Fatwa Kebangsaan juga menyatakan bahawa dividen dan bonus yang diperoleh daripada kedua-dua pelaburan ini adalah harus (halal).

Berikut adalah keputusan majlis fatwa negeri-negeri tentang isu ini:

1) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Harus

2) Terengganu: Tidak Haram atau Harus

3) Negeri Sembilan: Harus

4) Kelantan: Harus

5) Selangor: Haram

6) Pulau Pinang: Haram

Sebelum kita pergi lebih lanjut, perlu kita fahami bahawa isu ini termasuk dalam kategori masalah-masalah ijtihadi yakni yang mana harus berselisih faham tentangnya. Justeru masyarakat terutama orang Islam perlu berlapang dada dalam menghadapi perselisihan pendapat ini.

Haram

Golongan yang mengatakan hukumnya haram berpaksikan kepada hakikat skim pelaburan itu sendiri yakni penggunaan sebahagian dana oleh kedua-dua entiti tersebut dalam bidang yang tidak dihalalkan syara'. Analoginya ringkas, apabila wang yang dilaburkan digunakan untuk perkara yang haram maka melabur untuk tujuan tersebut dan sebarang hasil daripadanya juga haram.

Kaedahnya, setiap apa yang pasti membawa kepada yang haram adalah haram dan setiap yang terhasil daripada yang haram adalah haram. Selain itu, akad yang tidak jelas dan modal pelaburan pelanggan yang dijamin oleh PNB turut mengundang masalah daripada pandangan syara' yang mana menjadikannya seolah-olah suatu pinjaman yang menjanjikan keuntungan dan bukannya pelaburan.

Halal

Sebaliknya, golongan yang berpendapat bahawa hukumnya harus tidak menafikan hakikat yang kedua-dua entiti ini mengaplikasikan sebahagian dana yang mereka terima dalam bidang yang haram tetapi sebaliknya meletakkan hukum harus selepas mengambil kira perkara-perkara luaran yang bukan semata-mata skim pelaburan tersebut. 

Antara hujah yang digunapakai oleh golongan ini adalah maslahah yakni kepentingan umat Islam dari segi pegangan mereka terhadap ekonomi negara. Mereka berpandangan bahawa kepentingan ini termasuk dalam kategori dharurah iaitu kepentingan yang mendesak kerana kelansungan ekonomi umat Islam di Malaysia bergantung kepadanya.

Menurut mereka, sekiranya PNB melepaskan pegangan di dalam Maybank maka ini akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoritya Melayu muslim, memberi kesan negatif kepada ekonomi negara serta menggugat peluang pekerjaan lebih daripada 15,000 orang Islam. Majlis Fatwa Kebangsaan turut menyatakan bahawa adalah jelas yang ASB dan ASN tidak melabur dalam sektor berkaitan judi dan arak. Seterusnya, mereka berhujah bahawa jumlah pelaburan halal adalah melebihi jumlah pelaburan yang haram dan syubhah.

Disamping itu, mereka melihat bahawa terdapat keperluan bagi institusi bumiputera untuk menguasai sektor kewangan dalam negara yang mana merupakan sektor nadi kepada mana-mana negara di dunia. Oleh itu, PNB memainkan peranan untuk menguasai Maybank yang merupakan salah-satu institusi kewangan yang terbesar di rantau Asia Pasifik yang mana memiliki anak syarikat yang juga merupakan salah-satu institusi kewangan Islam terbesar di Asia Pasifik. Peranan ini lebih kurang sama dengan peranan institusi bumiputera lain sebagaimana Lembaga Tabung Haji menguasai Bank Islam, Lembaga Tabung Angkatan tentera menguasai Affin Bank dan Khazanah Nasional menguasai CIMB Bank.

Setelah melihat kepada kedua-dua pandangan di atas, persoalan yang timbul adalah pendapat yang mana satu yang perlu dipegang? Sekiranya kita berpegang kepada hukum haram bermakna sesiapa yang belum membuka akaun dan berniat untuk membuka akaun perlu melupakan hasrat mereka dan sesiapa yang sudah mempunyai akaun perlu menutup akaun mereka dan hanya mengambil modal mereka sahaja. Sebarang hasil daripada pelaburan perlu disalurkan menurut pendapat ulama' berkenaan dengan cara membelanjakan harta haram.

Sebaliknya sekiranya kita berpegang pada pendapat yang mengatakan harus, maka sesiapa yang berhajat membuka akaun boleh meneruskan hajat mereka dan sesiapa yang sudah mempunyai akaun boleh terus menambah pelaburan dan menikmati hasil pelaburan mereka.

Persoalan ini akan saya bincangkan menurut pandangan peribadi saya dalam post akan datang, Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 2).

Pautan:

1) Perbincangan Hukum Pelaburan ASB : Kemaskini (Zaharuddin.net)

2) ASB: PNB perlu ishtihar peratus pelaburan Shariah (Harakah Daily)

3) Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 2).



No comments: