Pages

23 January 2014

Isu Kalimah "Allah"


Beberapa bulan kebelakangan ini isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam kembali hangat lebih-lebih lagi apabila isu ini dieksploitasi oleh sesetengah pihak yg ketandusan modal politik untuk menarik perhatian masyarakat terhadap mereka. Ditambah pula para agamawan yang gila populariti terburu-buru mengeluarkan pendapat dan fatwa tanpa betul-betul melihat kepada keadaan semasa masyarakat Malaysia. Walhal hakikatnya perkara ini bukanlah suatu isu yang nyata tetapi sengaja diapi-apikan untuk menimbulkan suasana tegang antara masyarakat berbeza agama supaya ada nanti yang kononnya boleh muncul sebagai 'hero'.

Persoalan yang sebenar dan sepatutnya menjadi fokus utama adalah adakah orang-orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah" dalam penulisan dan penerbitan mereka untuk merujuk kepada maksud 'tuhan' (god) dan bukannya merujuk kepada Allah yang sebenar yakni tuhan yang diperakui dan diimani oleh oleh orang-orang Islam. Persoalan sebenar ini harus difahami setiap individu yang mahu membicarakan soal penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim dan bukannya melalut tanpa hala. Kegagalan untuk fokus terhadap isu sebenar ini telah menyebabkan ramai orang yang terkeliru dan menggeluarkan pendapat-pendapat yang tidak bijak termasuklah golongan agamawan sendiri.

Sehubungan dengan itu, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam untuk merujuk kepada Allah yang sebenar yakni tuhan yang diperakui dan diimani oleh oleh orang-orang Islam bukanlah suatu isu yang diperdebatkan.


Sebagai seorang muslim, kita tidak sedikit pun meragui yang bahawasanya Allah itu adalah tuhan sekalian alam. Satu-satunya tuhan yang layak disembah dan satu-satunya tuhan yang wujud. Tiada tuhan selain-Nya. Justeru kita tidak menafikan hak golongan bukan Islam untuk menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada Allah sebagaimana yang difahami dan diimani berasaskan konsep tauhid ini.

Tetapi apakah "Allah itu tuhan sekalian alam" boleh dijadikan hujah bagi mengatakan orang bukan Muslim harus menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan yang diperakui oleh mereka sedangkan umum sedia maklum bahawa tuhan yang diimani oleh orang bukan muslim bukanlah Allah sebagaimana yang diimani, diperakui dan disembah oleh orang-orang muslim. 

Saya secara peribadi berpendapat menggunakan "Allah tuhan sekalian alam" sebagai hujah keharusan orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan yang mereka akui adalah suatu hujah yang tidak bijak kerana "Allah tuhan sekalian alam" itu adalah Allah yang diimani dan diperakui oleh orang Islam manakala Allah yang cuba dimaksudkan oleh orang-orang bukan Islam dalam tuntutan mereka bukanlah "Allah tuhan sekalian alam". Oleh itu menggunakan hujah sedemikian adalah tidak bertepatan dengan konteks dan maksud penggunaan kalimah Allah itu sendiri.

Sesetengah agamawan merujuk kepada penggunaan kalimah Allah di negara-negara Arab untuk mengharuskan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Sekali lagi saya tidak bersetuju dan mengatakan hujan ini adalah hujah yang tidak bijak. Dalam mengeluarkan fatwa atau pendapat, adalah sangat penting untuk merujuk kepada fiqhul waqi' yakni keadaan semasa ataupun perihal golongan yang mahu diberikan fatwa. Justeru, hukum yang digunapakai oleh orang-orang di negara Arab belum tentu sesuai dengan masyarakat Malaysia. Maka dengan sebab itu kaedah fiqh menyebut hukum itu berubah dengan berubahnya masa, zaman dan tempat. Tambahan pula hukum yang digunapakai oleh negara Arab itu tidaklah dalam setiap masa hukum yang ideal. Misal contoh, perempuan diharamkan memandu di sebahagian negara Arab jadi mengapa agamawan yang menggunakan hujah ini tidak berpegang kepada fatwa yang sama?

Seterusnya apakah pandangan Islam dalam isu ini? Meski mungkin kerana kejahilan saya dalam bidang agama, saya tidak dapat menemukan sebarang dalil yang khusus dan jelas merujuk kepada keharusan atau pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam untuk merujuk kepada tuhan selain Allah. Namun bagi saya, paling tidak isu ini dapat dikategorikan di dalam bab siyasah syar'iyyah yakni isu-isu yang tiada dalil khusus tentangnya di dalam Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas.  

Dan apabila kita aplikasikan prinsip-prinsip siyasah syar'iyyah dalam isu ini saya cenderung kepada pendapat yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan kalimah Allah digunapakai oleh orang bukan Islam untuk merujuk kepada tuhan selain daripada tuhan yang diimani dan diyakini oleh orang-orang Islam. Hujah-hujah saya dalam menyokong pandangan Majlis Fatwa adalah seperti berikut:

1. Menggunakan kaedah Sad al-Dzarai' yakni mencegah jalan yang boleh menyebabkan kesesatan dan kekeliruan orang-orang Islam terhadap agama Islam. Umum mengetahui masalah keruntuhan akidah muda-mudi muslim pada zaman sekarang dan betapa lemahnya pegangan akidah mereka terhadap Islam. Tambahan pula akhbar-akhbar melaporkan berapa ramai golongan muda-mudi muslim yang murtad kerana terpengaruh oleh anasir barat dan juga gerakan mubaligh. Itu belum lagi penulisan dan penerbitan bukan muslim menggunakan kalimah Allah dan mengelirukan orang-orang muslim yang cuba berjinak-jinak memahami Islam. 

Bayangkan apabila tersebar luas penulisan dan penerbitan bukan muslim menggunakan kalimah Allah merujuk kepada tuhan yang mereka akui dan penulisan dan penerbitan ini dibaca oleh golongan yang cetek pendidikan agama bukankah ini boleh membawa kepada kekeliruan dan kesesatan. Jangan kata yang cetek pengetahuan agama, mereka yang dalam pengetahuan agamanya pun terdedah kepada kekeliruan dan penyelewengan kerana kita sedia maklum betapa liciknya golongan mubaligh bukan Islam ini dalam merencana strategi mereka untuk menyesatkan dan memurtadkan orang-orang Islam.

Terdapat sesetengah individu yang mengatakan penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam tidak akan memberi kesan kepada Islam. Saya memandang perkataan mereka ini sebagai suatu langkah menegakkan benang yang basah dan sekadar suatu penafian semata-mata. Hakikatnya mereka gagal menilai, tidak mahu menerima dan menutup sebelah mata tentang keadaan situasi semasa muda-mudi muslim yang kebanyakannya sekadar Islam atas nama dan sekadar Islam kerana ibu bapa mereka Islam.

2. Golongan bukan muslim tidak menerima sebarang bentuk mudharat daripada pengharaman tersebut. Ini kerana tuhan yang mereka akui dan imani bukanlah Allah sebagaimana yang diimani dan diperakui oleh orang Islam. Saya merasa tuntutan mereka untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan dan penulisan mereka sebagai suatu tuntutan yang berniat buruk kerana sesungguhnya mereka tidak ada kepentingan sama-sekali untuk menggunakan kalimah Allah. Masyaraka kristian, budha, hindu dan apapun sekali agama mereka tidak akan tersesat daripada agama mereka sekiranya mereka tidak menggunakan kalimah Allah kerana sememangnya mereka tidak menyembah Allah sebagaimana yang diimani oleh orang Islam.

Terdapat segelintir yang berhujah mengatakan golongan bukan Islam di Sabah dan Sarawak telah lama menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan dan penulisan mereka. Jadi mengapa tidak perkara sama dilakukan di Semenanjung. Jawapan saya ialah berterusan melakukan perkara yang salah tidak menjadikan perkara tersebut sebagai benar. Meski mungkin amalan ini telah lama bertapak di Sabah dan Sarawak ini tidak bermakna ia tidak boleh dihalang dan disekat lebih-lebih lagi apabila ia memberi ancaman terhadap orang-orang Islam.

3. Prinsip pememeliharaan agama dalam maqasid shariah merupakan maksud dan prinsip yang paling penting dipelihara oleh Islam. Salah-satu daripada kaedah memelihara agama adalah dengan menghalang gerakan irjaf yakni gerakan yang bermatlamat menggoyahkan kepercayaan dan keimanan orang Islam terhadap Islam. Ini boleh berlaku dengan penyebaran risalah yang mengelirukan orang Islam terutama mereka yang kurang pemahaman agama supaya mereka tidak dapat membuat perbezaan jelas antara Allah dan tuhan yang disembah oleh orang bukan Islam. Kita sedia maklum gerakan irjaf ini sememangnya bergerak aktif secara diam-diam dan mengharuskan penggunaan kalimah Allah oleh mereka akan memperkasakan lagi gerakan ini dan akan menyebabkan lebih ramai orang Islam terkeliru.

Dalam bidang siyasah syariah ulama mengharuskan hukuman kepada golongan mubtadi' (pereka bid'ah) dan golongan yang cuba menyesatkan orang Islam dengan hukuman berat ada yang sehingga membenarkan hukuman bunuh. Jika ini harus, apatah lagi pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam untuk merujuk kepada tuhan yang mereka akui.

4. Prinsip maslahah atau kepentingan umum umat Islam menuntut supaya orang bukan Islam dihalang daripada menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan yang mereka akui. Ini bagi menghapuskan sebarang bentuk ancaman terhadap umat Islam sama ada dengan cara terancang atau tidak terancang. Barangkali gerakan mubaligh tidak berniat memesongkan aqidah orang-orang Islam (yang mana merupakan kebarangkalian yang paling jauh dan husnuzzhan yang paling suci) tetapi kemungkinan mudharat yang serius yang terhasil daripada penggunaan kalimah Allah bukan pada tempatnya itu sudah cukup sebagai suatu alasan untuk menghalang perkara tersebut. 

Ini disokong oleh 'amal (perbuatan) sahabat di mana Uthman radiallahu 'anhu pernah memerintahkan supaya mushaf Al-Quran selain daripada Resam Uthmani dibakar supaya sekalian umat dikumpulkan pada suatu mashaf sahaja dan tidak berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam tentang Al-Quran. Sekiranya apa yang dilakukan oleh Uthman ini harus maka apatah lagi mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam untuk merujuk kepada tuhan yang mereka akui.

Meski mungkin kalau kita katakan hukum asal penggunaan kalimah Allah adalah harus, kaedah fiqh menyebut penggunaan perkara harus adalah tertakluk kepada ketiadaan mudharat. Justeru apabila adanya kemungkinan mudharat dengan kemungkinan yang rajih maka menghalang perkara tersebut adalah dibenarkan oleh Islam. 

5. Islam menganjurkan penggunaan kaedah ihtiyati yakni berjaga-jaga dalam mengeluarkan hukum. Dalam konteks isu ini kedah ihtiyati ialah berjaga-jaga dalam memelihara akidah umat Islam, kitab-kitab serta teks agama daripada diselewengkan.

Golongan yang mengatakan pengharaman ini adalah suatu bentuk pelanggaran hak asasi manusia sebenarnya adalah sedangkal-dangkal manusia kerana tuntutan mereka tidak lain dan tidak bukan seolah-olah menuntut hak supaya seseorang yang namanya Ahmad tetapi dipanggil Salim. Apakah ini hak? Memanggil batu itu besi apakah ini hak?



Apakah erti salahguna? Bukankah menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada tuhan selain Allah itu salahguna? Bukankah mensyirikkan kalimah Allah itu suatu salahguna? Apakah pula erti menterjemahkannya ke dalam bahasa lain? Bukankah menterjemahkan god dalam Bible kepada Allah itu tergolong dalam kategori ini? Sebenarnya pandangan Mailis Syura Ulama' PAS ini selari dengan pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan cuma saya pelik mengapa ulama' PAS tidak berani berterus-terang dan bersikap straight to the point dalam isu ini sebaliknya menggunakan kiasa-kiasan yang tidak perlu dan berpotensi mengelirukan sehingga ramai ahli PAS sendiri yang keliru dengan kenyataan ini.

Akhir kalam saya ingin mengajak para pembaca untuk melihat kepada firman Allah:

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ ” Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
[Al-Maidah: 116]

Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?
[At-Taubah: 30]

Dan apabila Allah sendiri menafikan seseorang itu digelar dan disamakan dengan Diri-Nya yang Maha Agung lagi Suci bagaimana bolah seorang muslim mengharuskan kalimah Allah digunakan untuk merujuk kepada selain daripada Allah yang sebenar?

Wallahua'lam.

No comments: