Pages

18 November 2014

Gurindam Selasa

Kalau mencari pada yang salah, 
Manakan temu ke mana arah,

Kalau mengharap pada yang lewa, 
Tiada mendapat selain kecewa,

Kalau menunggu yang belum pasti, 
Bagai diseksa tak mati-mati,

Kalau berhenti sebelum ketemu, 
Manakan jumpa apa yang mahu,

Kalau mengingat pada yang lupa, 
Bersusah payah yang sia-sia,

Kalau enggan untuk berubah, 
Apa dirungut hidupmu susah,

Kalau menumpang ayah dan ibu, 
Apa dibongkak yang bukan milikmu,

Kalau mahumu menggunung, 
Gerakkan tekad bukan termenung,

Kalau dirimu tak cukup baik, 
Apa diumpat yang orang jelik,

Kalau ilmumu penuh didada, 
Masakan orang dihina-hina,

Kalau malu berkata suka, 
Apa dikesal orang bahagia,

Kalau sayang kepada diri, 
Apa dibiar tidak beristeri,

Kalau mengungkit budi-budimu, 
Apalah sibuk datang membantu,

Kalau mengharap bantuan orang, 
Jangan berbuat ikut sembarang,


25 May 2014

Fobia Hudud

Gempar, satu negara gempar bilamana Kerajaan Persekutuan yang diterajui UMNO mengumumkan bahawa kerajaan tidak menghalang perlaksanaan hudud di Malaysia khususnya di Kelantan. Bertambah gempar lagi apabila kerajaan Kelantan yang diterajui PAS memberi kenyataan balas untuk membuat pembentangan rang undang-undang persendirian (private bill) untuk membenarkan pelaksanaan dan penguatkuasaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya pada tahun 2015.

Berikutan daripada kenyataan tersebut, langsung saja MCA, Gerakan dan DAP melenting menolak dengan sekeras-kerasnya perlaksanaan dan penguatkuasaan hudud di Malaysia tanpa mahu mendengar sebarang penjelasan dan tanpa membuka sebarang ruang rundingan. Antara alasan yang diberikan oleh mereka ialah kononnya hudud bertentangan Perlembagaan Persekutuan, hudud akan memecahbelahkan rakyat kerana kewujudan dua sistem perundangan yang berbeza dan hudud tidak praktikal. Alasan tambahan oleh DAP ialah hudud bukan agenda bersama pakatan rakyat.

Dalam post kali ini saya akan membincangkan alasan-alasan yang diberikan oleh MCA, Gerakan dan DAP yang menolak hudud.

26 April 2014

Jika Aku Manusia


Jika Aku Manusia

Jika aku manusia,
Aku mahu jadi yang peka,
Jadi yang cakna,
Jadi yang punya jiwa,

Jika aku manusia,
Aku mahu rasa suka,
Rasa duka,
Rasa rasa yang luar biasa,

Jika aku manusia,
Aku mahu jatuh cinta,
Aku mahu jatuh luka,
Mahu jatuh dan bangun semula,

Jika aku manusia,
Aku mahu bijaksana,
Salah kerana cuba,
Mahu tidak diam sahaja...

-syfadh-
24 April 2014
8.30pm

02 April 2014

Memperlihatkan Kesan Nikmat Allah


Ketahuilah sesungguhnya salah-satu daripada tanda bersyukur itu adalah dengan menampakkan nikmat Allah yang kita terima atau tahaddus bi an-ni'mah. Allah berfirman:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ 
"Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau tampakkan."
[Surah Ad-Dhuha: 11]

Diriwayatkan juga dalam suatu kisah di mana seorang sahabat pernah datang menemui Rasulullah saw dengan berpakaian lusuh dan kumal serta berpenampilan yang membuat sedih orang yang memandangnya. Melihat keadaan demikian, Rasulullah bertanya, “Apakah kamu memiliki harta?” Sahabat tersebut menjawab, “Ya, Alhamdulillah, Allah melimpahkan harta yang cukup kepadaku.” Maka Rasulullah berpesan, “Perlihatkanlah nikmat Allah tersebut dalam penampilanmu.” [Syu’abul Iman, Al-Baihaqi].

Lantas timbul persoalan, sebagai seorang Muslim kita diperintahkan supaya bersifat zuhud, merendah diri dan tidak takabbur tetapi dalam masa yang sama kita dituntut pula untuk menampakkan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Justeru bagaimana untuk kita mengharmonikan antara dua tuntutan yang pada zahirnya bertentangan antara satu sama yang lain ini.  

16 March 2014

Ayat Ruqyah: Sakit Kepala & Migrain


Ini adalah post pertama berkenaan ayat ruqyah. Apakah itu ayat ruqyah? Ayat ruqyah adalah petikan ayat daripada Al-Quran yang mana boleh kita amalkan sebagai suatu usaha untuk merawat penyakit tidak kira sama ada penyakit itu adalah penyakit fizikal ataupun yang bersifat spiritual atau rohani.

Sebagai seorang muslim, kita beriman bahawa Al-Quran itu adalah Kalamullah dan mukjizat kepada Nabi Muhammad. Di dalamnya terkandung ilmu pengetahuan, khasiat dan keajaiban yang tidak terhitung jumlahnya dan diantara keajaiban itu adalah sebagai penawar kepada penyakit manusia sebagaimana firman Allah:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا
"Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua."
[Al-Isra': 82]

20 February 2014

Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 2)

Dalam post Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 1) saya telah menyebutkan tentang perselisihan pendapat dalam kalangan ulama' di Malaysia berkaitan hukum melabur di ASB dan ASN. Sebahagiannya berpendapat bahawa hukumnya harus manakala sebahagian yang lain mengatakannya haram. Dalam post tersebut juga saya telah menimbulkan persoalan tentang pendapat mana yang perlu kita pegang sama ada harus atau haram. Berikut adalah sambungan daripada bahagian 1:


Terus terang saya katakan persoalan ini bukanlah suatu yang mudah untuk dijawab. Lebih-lebih lagi apabila perkara ini melibatkan wang ringgit dan kita tahu bahawa wang ringgit adalah perkara yang sensitip dan berupaya melemahkan orang yang paling beriman sekalipun. Saya bukanlah individu yang layak untuk memberi fatwa dan di dalam penulisan ini saya tidak menidakkan hak para pembaca untuk memilih pendapat yang anda kira lebih menepati kehendak syara'. Sebaliknya saya sekadar mengutarakan pandangan peribadi saya berkenaan dengan perdebatan yang tidak berkesudahan ini.

1. Pendapat yang mengatakan ASB dan ASN halal

Jika kita lihat daripada hujah-hujah yang diberikan oleh golongan yang berpendapat bahawa hukum pelaburan di ASB dan ASN adalah harus, mereka tidak menafikan bahawa hukum asal pelaburan di kedua entiti tersebut adalah haram TETAPI disebabkan faktor-faktor luar (yang mereka anggap sebagai dharurat) menjadikannya harus. Justeru hukum harus yang diberikan boleh saya kategorikan sebagai bukan harus lizatihi (kerana hakikat skim pelaburan itu sendiri) tetapi harus lighairihi (yakni kerana faktor-faktor luaran).

15 February 2014

Dilema Hukum Melabur di ASB dan ASN (Bahagian 1)

Perdebatan yang tak sudah tentang hukum melabur di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) kembali hangat lebih-lebih lagi apabila Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (COMANGO) membangkitkan isu ini yang sejak kebelakangan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.



Keresahan yang timbul rata-ratanya berpunca daripada tindakan sesetengah pendakwah bebas yang mengatakan hukum melabur dalam ASB dan ASN adalah haram. Ini ditambah lagi dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang menyatakan bahawa ASB dan ASN 'tidak patuh Shariah' atau haram kerana sebahagian daripada dana yang dimiliki oleh kedua-dua entiti ini dilaburkan dalam bidang yang haram dan syubhah antaranya seperti berikut (rujuk laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31/12/2012):

1) Maybank Berhad (termasuk perbankan ribawi) - 23.23%
2) British American Tobacco Berhad - 0.69%
3) Fraser and Neave Holding Bhd (termasuk pengilangan beer) - 0.71%

23 January 2014

Isu Kalimah "Allah"


Beberapa bulan kebelakangan ini isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam kembali hangat lebih-lebih lagi apabila isu ini dieksploitasi oleh sesetengah pihak yg ketandusan modal politik untuk menarik perhatian masyarakat terhadap mereka. Ditambah pula para agamawan yang gila populariti terburu-buru mengeluarkan pendapat dan fatwa tanpa betul-betul melihat kepada keadaan semasa masyarakat Malaysia. Walhal hakikatnya perkara ini bukanlah suatu isu yang nyata tetapi sengaja diapi-apikan untuk menimbulkan suasana tegang antara masyarakat berbeza agama supaya ada nanti yang kononnya boleh muncul sebagai 'hero'.

Persoalan yang sebenar dan sepatutnya menjadi fokus utama adalah adakah orang-orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah "Allah" dalam penulisan dan penerbitan mereka untuk merujuk kepada maksud 'tuhan' (god) dan bukannya merujuk kepada Allah yang sebenar yakni tuhan yang diperakui dan diimani oleh oleh orang-orang Islam. Persoalan sebenar ini harus difahami setiap individu yang mahu membicarakan soal penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim dan bukannya melalut tanpa hala. Kegagalan untuk fokus terhadap isu sebenar ini telah menyebabkan ramai orang yang terkeliru dan menggeluarkan pendapat-pendapat yang tidak bijak termasuklah golongan agamawan sendiri.

Sehubungan dengan itu, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam untuk merujuk kepada Allah yang sebenar yakni tuhan yang diperakui dan diimani oleh oleh orang-orang Islam bukanlah suatu isu yang diperdebatkan.