Pages

25 November 2013

Hukum Derma/Jual Darah Manusia


Umum telah mengetahui apakah itu menderma darah. Justeru, tidak ada keperluan untuk kita menyebut pengertiannya dan langsung sahaja kita lihat perbincangan berkenaan hukum menderma darah di sisi Islam. Ulama' bersepakat bahawa tubuh dan setiap anggota badan manusia itu bukanlah barang milikan. Tidak dimiliki oleh tuan punya anggota badan apatah lagi orang lain. Oleh itu tubuh dan anggota badan manusia itu bukanlah suatu bahan yang boleh didagangkan, dijual beli ataupun didermakan.

Memandangkan darah manusia termasuk dalam kategori anggota badan manusia, ulama memperuntukkan suatu perbahasan khusus bagi membincangkan soal keharusan berurusan dengan darah manusia sama ada melalui jual beli mahupun derma. Memandangkan tiada nas yang jelas sama ada daripada Al-Quran mahupun Sunnah yang membincangkan secara langsung soal hukum menderma darah, para ulama terpaksa melihat dari sudut maslahah (kepentingan dan kebaikan) yang dibawa daripada aktiviti derma darah dan dinilai pula dengan dharar (keburukan dan bahaya) yang mungkin datang daripada aktiviti ini.


Dalam soal jual beli darah manusia, ulama' bersepakat tentang pengharamannya. Ini berdasarkan kaedah bahawa anggota badan manusia itu tidak dimiliki maka tidak harus pula urus niaga padanya. Hukum haram juga diletakkan kerana bahaya yang sangat besar boleh berlaku kepada manusia sekiranya darah manusia dijadikan barang dagangan berpandukan umum ayat yang melarang manusia mencampakkan dirinya ke arah kebinasaan:

"Janganlah kamu mencampakkan dirimu ke arah kebinasaan."
[Al-Baqarah: 195]

Misalnya, akan ada sebahagian manusia yang membahayakan nyawa mereka sendiri dengan menjual darah mereka demi mendapatkan wang dengan jalan yang mudah. Lebih serius lagi jenayah pemerdagangan orang dan penculikan akan berleluasa demi mendapatkan keuntungan daripada penjualan darah mangsa-mangsa jenayah tersebut. Selain itu darah juga dianggap sebagai najis maka tidak harus berjual beli pada barang yang najis.

Sebaliknya, dalam masalah derma darah, sebahagian besar ulama' zaman moden berpendapat bahawa hukumnya harus berdasarkan hujah-hujah berikut:

1) Darah yang didermakan dapat membantu menyelamatkan nyawa manusia lain. Ini bertepatan dengan maqasid syariah yakni memelihara nyawa dan juga bertepatan dengan konsep bantu membantu ke arah kebaikan.

"Dan hendaklah kamu saling membantu ke arah kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu saling membantu ke arah dosa dan permusuhan"
[Al-Maidah: 5]

2) Pada kebiasaannya, proses derma darah yang dilaksanakan oleh mereka yang bertauliah mengikut standard perubatan yang teruji selamat tidak akan membawa mudharat yang serius kpd penderma darah dan tidak pula mengancam nyawanya. Justeru kaedah yang digunakan ialah beramal dengan maslahah yang terbukti luas manfaatnya mengatasi dharar yang minimum. 

3)  Darah manusia adalah anggota yang boleh diperbaharui dengan sendirinya. Tidak seperti organ yang tidak boleh diperbaharui misalnya buah pinggang dan jantung. Oleh itu, proses semulajadi dalam badan berkemampuan mengganti semula darah yang keluar ketika proses pendermaan darah.

4) Proses pendermaan darah tidak memerlukan prosedur yang rumit dan tidak memerlukan pembedahan seperti proses pendermaan anggota badan yang lain. Proses pendermaan darah adalah mudah, hanya menggunakan jarum tidak memnyebabkan luka yang serius kepada tubuh badan. Risiko jangkitan kuman kepada penderma juga adalah minimum.

Walaubagaimanapun, hukum asal harus menderma darah boleh berubah kepada hukum yang lain. Contohnya, haram. Haram menderma darah bagi seseorang yang mengidap penyakit yang boleh memudharatkan si penerima darah misalnya penyakit HIV, siflis dan gonorrhoea. Begitu juga haram menderma darah sekiranya si penderma darah boleh mendapat mudharat yang serius contohnya si penderma mengidap penyakit kurang darah. Haram juga menderma darah sekiranya prosedur tersebut dilakukan oleh orang yang tidak bertauliah dan tidak mengikut standard piawaian yang terbukti selamat.




No comments: