Pages

18 October 2013

Kenali Syiah, Bahaya dan Ancamannya Terhadap Islam

Antara isu bersifat keagamaan yang paling hangat di Malaysia pada waktu ini adalah tentang penyebaran ajaran Syiah. Baru-baru ini saya ada menyertai satu forum di UIAM yg dianjurkan untuk memberi pengetahuan tentang bahaya dan ancaman Syiah terhadap ajaran Islam di Malaysia secara khususnya atau di dunia secara umumnya. Justeru dalam post kali ini saya ingin berkongsi sedikit-sebanyak pengetahuan yang saya perolehi daripada forum tersebut. Namun terlebih dahulu saya perlu tekankan supaya para pembaca membaca dengan tekun setiap ayat satu demi satu supaya penulisan ini difahami mengikut konteks dan tiada salah faham berlaku kerana akidah Syiah sememangnya sangat mengelirukan.

Sebelum kita melanjutkan penulisan tentang ciri-ciri Syiah, terlebih dahulu perlu kita kenali apa itu Syiah dan siapakah orang-orang yang tergolong dalam kategori Syiah. Secara umumya Syiah diterjemahkan sebagai suatu golongan yang percaya dan meyakini bahawa Ali Bin Abi Talib adalah orang yang paling layak dan hak menjadi khalifah selepas Rasulullah. Meskipun ini adalah takrifan umum bagi Syiah, terdapat juga golongan pelampau (Al-Ghulat) dalam kalangan Syiah yang bersifat ekstrem sehingga mendakwa dan percaya bahawa Ali Bin Abi Talib merupakan orang yang sepatutunya menjadi rasul bukannya Muhammad Bin Abdullah (Rasulullah). Mereka mendakwa bahawa Jibril telah melakukan kesalahan ketika menyampaikan wahyu.

Syiah bukanlah suatu mazhab, tidak boleh sama-sekali dianggap sebagai suatu mazhab dalam Islam bahkan Syiah dianggap sebagai suatu kelompok pecahan daripada Islam. Pada hakikatnya, Syiah bukanlah daripada golongan orang Islam. Sebab terperinci yang menyatakan Syiah bukanlah sebahagian daripada Islam akan kita fahami melalui akidah yang dianuti oleh orang-orang Syiah sebagaimana yang berikut:

1. Mengkafirkan para sahabat

Sesuai dengan definisi Syiah sebagai golongan yang menyatakan Ali Bin Abi Talib sebagai orang yang paling layak dan hak menjadi khalifah selepas Rasulullah, golongan Syiah menafikan kekhalifahan 3 khalifah Islam sebelum Ali Bin Abi Talib, mendakwa mereka sebagai perampas kuasa bahkan mengkafirkan mereka. Tidak cukup dengan itu mereka mengkafirkan para sahabat yang menyokong kekhalifahan 3 khalifah Islam sebelum Ali Bin Abi Talib. Disebabkan ini, orang-orang Syiah meyakini bahawa semua sahabat Rasulullah telah murtad selepas kewafatan baginda kecuali beberapa orang sahabat sahaja.

Sebagai seorang Islam, harus kita fahami bahawa implikasi atau kesan daripada akidah mengkafirkan para sahabat ini sangatlah dahsyat. Ketahuilah bahawa perantaraan atau orang tengah antara kita dan Rasulullah adalah sahabat-sahabat Baginda. Justeru kita mewarisi Islam daripada Rasulullah melalui para sahabat. Jadi sekiranya sekalian sahabat dikafirkan kecuali beberapa orang sahaja, ini sekaligus bermakna Islam yang kita warisi sekarang bukanlah Islam kerana kita mewarisinya daripada para sahabat yang dituduh oleh orang-orang Syiah sebagai kafir.

Dalam masa yang sama, Al-Quran dan Sunnah yang mana kita berpegang kepada keduanya sebagai sumber perundangan Islam juga tidak boleh dipakai sama-sekali kerana kita juga mewarisi kedua-dua ini daripada Rasulullah melalui jalan para sahabat. Justeru secara kesimpulannya, sekiranya tuduhan Syaih ini diterima dan dibenarkan, ini bermakna Islam sebenarnya telah pupus setelah kewafatan Rasulullah. 

2. Memiliki Al-Quran versi Syiah

Apabila golongan Syiah mengkafirkan majoriti sahabat Rasulullah, ini secara langsung bermakna mereka juga menafikan kebenaran Al-Quran kerana Al-Quran diriwayatkan dan usaha pengumpulannya dilakukan oleh para sahabat. Orang-orang Syiah mendakwa Al-Quran yang dimiliki oleh orang-orang Islam sekarang bukanlah yang tulin. Mereka berpegang bahawa Al-Quran yang tulin, yang mana dipanggil Mushaf Fatimah mempunyai isi kandungan tiga kali ganda daripada Al-Quran yang ada sekarang. Mereka percaya bahawa Mushaf Fatimah ini disimpan oleh Ali dan Fatimah dan kemudiannya diwariskan kepada keturunan mereka.

Syiah juga mendakwa Al-Quran yang ada sekarang tidak direkod dengan betul dan ayat-ayat yang berkaitan dengan keagungan, kehebatan dan kekhalifahan Ali Bin Abi Talib telah dikeluarkan daripada Al-Quran yang ada sekarang.

Pada hakikatnya, Al-Quran versi Syiah itu telah diubah suai dan ditokok tambah oleh ulama-ulama Syiah mengikut hawa nafsu mereka. Apabila mereka menafikan kebenaran Al-Quran, ini bermakna mereka telah mengingkari firman Allah yang menyatakan Allah-lah yang memelihara ketulinan Al-Quran selama-lamanya. Maka dengan mengingkari firman Allah, secara automatik mereka telah menafikan kebenaran kalamullah (kata-kata Allah) dan sekaligus menjadikan mereka terkeluar daripada Islam.

3. Percaya kepada Imam yang Ma'sum

Sebenarnya golongan Syiah terbahagi kepada beberapa kelompok. Ada antaranya membahagikan mereka kepada empat kelompok besar yakni Al-Ghulat (pelampau), Al-Kaisaniah, Al-Imamiyah dan Al-Zaidiah. Akidah ini tertumpu kepada golongan Al-Imamiyah. Mereka percaya dan meyakini bahawa imam-imam mereka bersifat ma'sum yakni bebas daripada sebarang dosa. Ini kerana mereka meyakini bahawa imam-imam mereka dilantik atas dasar nas/wahyu.

Dalam Islam, sifat ma'sum hanya dinisbahkan kepada para nabi dan rasul dan bukannya orang kebanyakan tanpa mengira sama ada mereka itu imam atau tidak. Golongan Al-Imamiyah secara melampau mengangkat martabat imam-imam mereka setara dengan martabat para nabi dan rasul. Dan lagi, wahyu berhenti dengan kewafatan Rasulullah. Jadi tidak boleh sama-sekali dari sudut pandang Islam untuk kita menerima dakwaan bahawa imam-imam Syiah dilantik mengikut nas. 

4. Taqiyyah (Berpura-pura) pada Akidah

Satu lagi akidah Syiah yang menjadi ancaman kepada Islam ialah taqiyyah. Taqiyyah bermaksud pura-pura yakni orang-orang Syiah disyariatkan untuk berpura-pura atau berlakon dihadapan golongan Ahli Sunnah seolah-olah mereka adalah golongan Ahli Sunnah tetapi dalam masa yang sama menyebar fahaman mereka secara licik dalam kalangan Ahli Sunnah. 

Antara dalil yang mereka kemukakan berkenaan pensyariatan taqiyyah ialah mereka mendakwa Ali Bin Abi Talib memiliki Mushaf Fatimah tetapi Ali tidak mendedahkan Mushaf ini. Justeru orang-orang Syiah berpendapat jika sekiranya Ali sendiri beramal dengan taqiyyah maka apatah lagi orang-orang Syiah. Contoh lain, golongan Syiah mempergunakan nama Imam Jaafar yang merupakan guru kepada Imam Abu Hanifah untuk menyatakan kononnya golongan Syiah ini akrab dan hampir dengan Ahli Sunnah walhal Imam Jaafar sendiri telah menafikan sebarang hubung kait antara dirinya dan golongan Syiah. 

Akidah taqiyyah ini merupakan senjata utama golongan Syiah dalam menyebarkan fahaman mereka. Akidah taqiyyah ini jugalah yang menjadikan Syiah sukar dikesan dan dibanters.

Kesimpulan

Melihat kepada akidah Syiah yang teleh disebutkan di atas, tidak diragukan lagi bahawa Syiah bukanlah sebahagian daripada Islam. Mereka menafikan kebenaran Al-Quran, menokok tambah dan mengubah suai Al-Quran, mengkafirkan para sahat, membesarkan imam-imam mereka dengan martabat nabi dan membohong dalam agama. Tidak ada satupun akidah di atas selari dengan ajaran yang dibawa oleh Islam. Itu belum lagi dilihat dari segi penyelewengan yang dilakukan oleh Syiah dalam bab fiqh seperti nikah mutaah, jamak solat pada setiap keadaan dan Islam bukan syarat haji.

Oleh itu, diharapkan para pembaca memahami bahawa Syiah adalah suatu penyelewengan yang sangat dahsyat yang menjadikannya sebagai suatu agama baru yang tidak atas kaitannya dengan Islam. Oleh itu wajib kita memelihara diri, keluarga dan rakan-rakan daripada terjebak dengan fahaman karut golongan Syiah yang berlandaskan nafsu dan bukannya wahyu.

Pautan:
1) Prinsip pemikiran Syiah, Yahudi ada persamaan
2) Pendirian melampau Syiah
3) Pegangan Zaidiah mirip Ahli Sunah

No comments: