Pages

01 September 2013

Merdeka Minda


Rakyat Malaysia baru sahaja meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-56. Saya teringat tema khutbah Jumaat pada hari Jumaat yang lalu yang berkisar tentang kemerdekaan. Dalam khutbah tersebut sang khatib ada membacakan suatu hadith Rasulullah yang mafhumnya seperti berikut:

Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat terdahulu sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan sekiranya mereka masuk ke lubang biawak sekalipun akan kamu ikuti. Lantas sahabat baginda bertanya, adakah kaum itu Yahudi dan Nasrani lalu Rasulullah mengiyakan tekaan sahabat itu.
[Mafhum hadith]

Ketika mendengar hadith tersebut saya terus terfikir apakah yang cuba Rasulullah sampaikan apabila baginda menyebut yang umat Islam di akhir zaman akan mengikut orang-orang Yahudi dan Nasrani walaupun mereka masuk ke lubang biawak sekalipun. Terlebih dahulu harus saya katakan yang saya bukanlah orang yang layak untuk mentafsir hadith tetapi apa yang saya ceritakan dalam post ini akan berupa pandangan peribadi dalam menyesuaikan apa yang saya fahami daripada hadith tersebut dengan situasi yang berlaku pada zaman sekarang.

Secara kasarnya daripada hadith itu kita dapat kita fahami bahawa Rasulullah telah memberi amaran awal tentang keadaan umat Islam di akhir zaman yang goyah pegangan jati diri mereka sehinggakan mereka mudah terikut-ikut dengan budaya, cara pemikiran dan tindak-tanduk orang-orang bukan Islam. Betapa umat Islam di akhir zaman semakin ragu dan hilang keyakinan terhadap apa yang mereka pelajari daripada Islam sehinggakan mereka dengan mudah membelakangkan ajaran Islam dan mengikut amalan orang-orang Yahudi dan Nasrani.

Pada hemat saya frasa "lubang biawak" itu bolehlah kita terjemahkan sebagai perkara yang buruk, yang keji dan kotor. Dan apabila Rasulullah menyebut perihal orang Islam akan menurut orang Yahudi dan Nasrani kalaupun mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, apa yang dapat saya fahami ialah bagaimana orang Yahudi dan Nasrani berjaya mempengaruhi dan secara halus 'merasuk' pemikiran orang Islam supaya merasakan yang 'lubang biawak' itu adalah suatu hala tuju yang murni dan patut diikuti. Dengan pelbagai helah dan cara orang-orang Yahudi dan Nasrani berjaya memperlihatkan segala apa yang dipelopori dan dimulakan oleh mereka sebagai indah, terbaik dan ideal untuk diamalkan oleh orang Islam.

Ternyata apa yang telah disebut oleh Rasulullah itu telahpun terbukti berlaku pada zaman kita sekarang. Apabila orang-orang bukan Islam mempelopori konsep hak asasi manusia yang tak terbatas, ramai dalam kalangan orang Islam yang terpengaruh. Mereka merasakan teori-teori yang dikemukakan oleh orang-orang bukan Islam sebagai teori yang terbaik yang paling sesuai diaplikasi secara universal dalam dunia moden ini. Terdapat sebahagian golongan daripada umat Islam yang dengan berani mencabar dan mencemuh hukum-hakam dalam Islam kerana terpengaruh dengan cara pemikiran orang-orang bukan Islam. 

Sebagai contoh terdapat orang Islam yang menyokong perkahwinan sejenis dan pembedahan penukaran jantina kononnya atas dasar hak asasi manusia. Ada juga yang mencemuh hukum berhijab bagi kaum wanita dan mengatakan hukum tersebut sebagai suatu diskriminasi terhadap wanita. Ada yang mengutuk hukum-hakam berkaitan harta pusaka atas alasan kononnya hukum tersebut bersifat berat sebelah dan mengutamakan kaum lelaki. Ada pula yang mengasaskan dan menganut ajaran-ajaran sesat atas nama kebebasan beragama. 

Daripada situ dapat kita lihat yang sebenarnya ramai daripada kalangan umat Islam yang mindanya terjajah. Betapa dahsyat penjajahan minda yang dikenakan ke atas mereka ini sehingga mereka tidak lagi dapat melihat hakikat sebenar kebaikan dan keburukan. Apabila disebutkan suatu teori atau idea yang dipelopor oleh orang bukan Islam, mereka secara automatik akan percaya yang perkara tersebut adalah terbaik dan ideal tanpa melihat secara terperinci isi kandungan perkara tersebut. Sebaliknya, apabila disebutkan hukum-hakam Islam mereka secara automatik mereka akan bersifat prejudis dan merasakan perkara tersebut sebagai jumud, ketinggalan zaman dan mendiskriminasi manusia sejagat.

Justeru apa yang perlu diusahakan oleh umat Islam kini ialah memerdekakan diri mereka daripada penaklukan dan penjajahan minda. Selagimana umat Islam terus terbelenggu dalam penjajahan minda ini selama itulah umat Islam tidak dapat mengembalikan kegemilangan yang pernah mereka capai suatu masa dulu. Sebabnya, kegemilangan Islam itu terhasil daripada keyakinan umat Islam terhadap ajaran Islam. Tetapi apabila umat Islam hilang keyakinan dan menjauh daripada ajaran Islam, dalam tidak sedar mereka telah menjauhkan diri mereka daripada kejayaan dan kemajuan. 

1 comment: