Pages

27 July 2013

Al-Quran dan Hak Asasi Manusia

Hak asasi manusia kini adalah suatu fenomena global, dibincang dan diperdebatkan diperingkat tempatan mahupun antarabangsa. Hak asasi manusia dapat diterjemahkan sebagai suatu koleksi hak dan kebebasan yang patut dimiliki oleh setiap orang atas dasar sifatnya sebagai seorang manusia. 

Ramai golongan yang skeptikal terhadap Islam mendakwa Islam sebagai suatu agama yang bukan sahaja tidak mementingkan, bahkan menindas hak asasi manusia. Tanpa meneliti sumber-sumber perundangan Islam secara mendalam, pihak ini dengan sewenang-wenang menghentam dan mengutuk Islam sebagai suatu agama yang tidak berperikemanusiaan, mempromosikan kekerasan dan keganasan serta agama yang bersifat radikal. Justeru dalam penulisan kali ini kita akan melihat sejauh mana dahsyatnya pembohongan ini dengan cara meneliti salah-satu fungsi Al-Quran yakni sebagai instrumen hak asasi manusia.

Sedar atau tidak dalam pada ramai orang sibuk memperjuangkan hak asasi manusia dengan menjadikan Universal Declaration of Human Rights (UDHR) sebagai kitab panduan, mereka telah dengan sengaja atau tidak melupakan hakikat bahawa Al-Quran lah yang merupakan dokumen rasmi hak asasi manusia yang lebih awal daripada UDHR. Lebih daripada seribu tahun sebelum dunia barat mengenal hak asasi manusia, Al-Quran telah terlebih dahulu menghuraikan sama ada secara umum ataupun terperinci berkenaan hak dan kebebasan yang seharusnya dimiliki setiap individu dan tidak boleh dinafikan tanpa sebab. 

Berikut saya senaraikan sebahagian daripada hak dan kebebasan yang diiktiraf di dalam Al-Quran:

1. Hak untuk hidup. Umum mengetahui bahawa di zaman Arab Jahiliyyah, orang-orang Arab membunuh anak perempuan mereka dengan menanam mereka hidup-hidup semata-mata kerana takut miskin dan malu. Lalu Islam datang menghapuskan amalan kejam ini mengajarkan mereka tentang betapa bernilai nyawa manusia. Islam mendidik bahawa setiap anak itu adalah anugerah tanpa mengira lelaki mahupun perempuan. Demi memelihara hak setiap insan untuk hidup maka Islam menjadikan pembunuhan sebagai suatu dosa besar dan menetapkan hukuman yang sangat berat kepada mereka yang melanggar dan mencerobohi hak orang lain untuk hidup dengan ancaman hukuman mati (qisos). Firman Allah:

"Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar."
[Surah Al-Isra': 33]


"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman “Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh."
[Surah Al-Baqarah: 178]

"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar."
[Surah Al-Isra': 31]


2. Hak untuk berkahwin dan berkeluarga. Sesetengah agama menghalang para rahib atau ahli agama mereka daripada berkahwin (celebacy) kononnya sebagai cara mendekati tuhan dengan mengekang nafsu. Namun Islam sebagai agama yang memahami fitrah manusia bukan sahaja membenarkan, bahkan menggalakkan setiap orang supaya berkahwin sebagai salah satu tuntutan agama. Tidak cukup dengan itu, Allah menyediakan ganjaran pahala yang besar kepada mereka yang berkahwin dan melahirkan zuriat. Allah berfirman:

"Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja."
[Surah An-Nisa': 3]

3. Hak untuk memiliki harta. Sekiranya anda melihat dalam sejarah, terdapat sebahagian undang-undang yang melarang orang-orang tertentu daripada mamiliki harta. Sebagai contoh di dalam Common Law yang lama, seorang perempuan yang berkahwin tidak boleh memiliki harta di atas namanya sendiri bahkan setipa harta yang ingin dimilikinya diletakkan di atas nama suaminya. Ini sekaligus berupa suatu penindasan terhadap hak memiliki harta. Namun Islam tidak sekolot dan sejumud ini. Islam terang-terangan mengiktiraf hak setiap orang untuk memiliki harta termasuklah wanita dengan memperuntukkan hak mereka terhadap mahar, nafkah dan juga harta pusaka. 

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang zalim, kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu."
[Surah An-Nisa': 29]


4. Hak untuk belajar dan berfikir. Sejarah menunjukkan bagaimana sesetengah agama menghalang penganutnya daripada berfikir bahkan menghukum mereka keran berfikir dan belajar. Contohnya barat pada zaman gelap menghukum para saintis yang mengeluarkan teori yang bercanggah dengan pegangan gereja. Islam tidak takut kepada kemajuan bahkan Islam datang membawa kemajuan. Oleh sebab itu Islam menyuruh manusia menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah supaya manusia dapat mengecap dan memahami keagungan Allah melalui makhluk yang diciptakan Allah. 

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

[Surah Al-'Alaq: 1]

"Bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui."
[Surah An-Nahl: 43]

"Maka ambilah pelajaran wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya."
[Surah Al-Hashr: 2]

5. Hak untuk bekerja.

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."
[Surah Al-Jumu'ah: 10]


6. Hak untuk tidak dihukum bagi perkara yang bukan suatu kesalahan semasa perkara itu dilakukan. Sebagaimana yang terdapat di dalam undang-undang sivil, seseorang itu tidak boleh dihukum kerana melakukan suatu perbuatan yang pada masa perbuatan itu dilakukan, perbuatan itu belum dijadikan suatu kesalahan atau jenayah. Islam turut mengajarkan perkara yang sama. Sebagai contoh di awal sejarah Islam, arak bukanlah suatu minuman yang haram kemudian pengharaman arak turun secara berperingkat. Justeru sekiranya terdapat orang Islam yang meminum arak sewaktu arak belum lagi diharamkan, maka dia tidak boleh dihukum dengan hukuman yang diperuntukkan setelah arak diharamkan. Firman Allah:

"Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)."
[Surah Surah Al-Isra': 15]


7. Persamaan taraf setiap manusia. Sehingga awal kurun ke-20, perasaan diskriminasi antara kaum dan perbezaan antara warna kulit masih menebal dalam kalangan orang barat. Orang kulit hitam dianggap dan dilayan dengan layanan yang tidak sama dengan orang kulit puith. Orang kulit hitam dipandang hina dan di diskriminasi. Selain itu manusia di seluruh dunia membezakan antara orang kaya dan miskin. Orang yang kaya disanjung-sanjung dan orang miskin dipandang enteng. Islam menolak sekeras-kerasnya perbezaan antara manusia semata-mata kerana warna kulit, bangsa dan harta. Islam mengajar tentang persamaan taraf antara setiap manusia dan mulia atau hinanya seorang manusia adalah dinilai semata-mata atas dasar taqwanya kepada Allah. 

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan . Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)." 
[Surah Al-Hujrat: 13]

8. Kebebasan bergerak.

“Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
[Surah Al-Ankabut: 20]


9. Hak untuk didengar. Islam menekankan prinsip bahawa setiap orang itu tidak bersalah untuk apa-apa jenayah dan tidak pula menanggung apa-apa liabiliti melainkan dibuktikan sebaliknya. Dalam menekankan prinsip ini, Islam mendidik supaya setiap orang yang dituduh atas satu-satu kesalahan atau dituduh menanggung suatu liabiliti mesti diberi hak untuk didengar yakni hak untuk mempertahankan dirinya sendiri daripada tuduhan tersebut. Ini diajarkan oleh Al-Quran di dalam kisah Nabi Sulaiman dan burung hudhud ketikamana burung hudhud terlewat daripada mengadap Nabi Sulaiman apabila baginda memerintahkannya. Nabi Sulaiman memberi burung huhhud peluang untuk menjelaskan alasan daripada kelewatannya itu dan selepas mendengar alasan yang diberikan, Nabi Sulaiman tidak jadi untuk menghukum burung hudhud.

“Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir).”
[Surah An-Naml: 21]

10. Kebebasan beragama.

"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)."
[Surah Al-Baqarah: 256]

11. Kebebasan berpendapat dan berselisih pendapat. Sesetengah golongan menganggap perbezaan pendapat sebagai perkara yang terlarang lebih-lebih lagi apabila kita berbeza pendapat dengan orang yang dianggap mulia dan tinggi ilmu dalam kalangan masyarakat. tetapi Islam menolak sebarang bentuk taksub terhadap pendapat orang-orang tertentu bahkan Islam menerima perselisihan pendapat asalkan setiap pendapat itu berlandaskan hujah-hujah dan disiplin ilmu yang sah dan bukannya semata-mata logik akal dan hawa nafsu. Al-Quran sendiri menceritakan bahawa Nabi Sulaiman dan Nabi Daud pun pernah berselisih pendapat diantara mereka tetapi ini tidak menjadi sebab jatuhnya martabat salah seorang daripada mereka bahkan perselisih faham mengikut aturan yang ditetapkan Islam itu adalah suatu rahmat.

"Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka. Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu."
[Surah Al-Anbiya': 78-79]

12. Kebebasan berniaga dan muamalat.

Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. 

[Surah Al-Baqarah: 275]

13.Hak orang miskin untuk dibantu.

"Dan pada harta-benda mereka (orang yang kaya dan berkemampuan mengeluarkan zakat) ada hak orang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta." 
[Surah Az-Zariyat: 19]


“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”. (Al-Maidah: 2)

14. Hak untuk tidak dihukum atau dibebankan kerana kesalahan orang lain.

"Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain."
[Surah An-Najm: 38]

"Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat) maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya; dan sesiapa yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka kerjakan."
[Surah Al-Qasas: 84]
15. Hak terhadap penghakiman yang adil.

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.
[Surah An-Nisa': 58]

16. Hak untuk tidak dizalimi.


Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.
[Surah Yunus: 44]


"Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berbuat kezaliman, maka kamu akan diazab api neraka, dan tidak ada bagimu pemimpin selain Allah, kemudian kamu tidak akan ditolong." [Surah Hud:113]

Yang disenaraikan di atas hanyalah sebahagian daripada hak dan kebebasan yang dijamin oleh Islam melalui Al-Quran. Harus saya tekankan sekali lagi bahawa hak dan kebebasan diatas telah wujud lebih daripada seribu tiga ratus tahun sebelum UDHR yang diagung-agungkan oleh mereka yang kononnya jaguh hak asasi manusia. Justeru bagaimana Islam yang asas hak asasi manusianya seribu tiga ratus tahun lebih terkedepan dan maju daripada barat boleh dilempar dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas lagi karut. 

Hakikatnya orang yang tidak mahu membaca dan tidak mahu memahami Al-Quran tidak akan sedar tentang fakta ini. Yang mereka mahu hanyalah mereka-reka cerita dan memburuk-burukkan Islam dengan menggunakan khalayan mereka semata-mata. Dan semestinya orang yang tidak berilmu pengetahuan dan tidak membaca Al-Quran akan mudah terpengaruh dan terjerumus dalam lembah kebodohan dan kejahilan ini.

Orang-orang yang benci dengan Islam akan mencari apa jua jalan untuk menjayakan agenda mereka yakni memperdaya orang Islam supaya merasa ragu-ragu terhadap kebaikan Islam sekaligus memperdaya mereka supaya meninggalkan Islam. Kelemahan ilmu pengetahuan menjadikan orang Islam mudah digoyahkan dengan agenda licik ini. Bahkan tanpa tipu-daya orang kafir pun ada dalam kalangan orang Islam secara sendirinya ragu-ragu terhadap kebenaran Islam. Ini berlaku bukan kerana kelemahan ajaran Islam tetapi kerana ceteknya ilmu dan lemahnya pendirian individu tersebut sehinggan tidak berdaya memahami ajaran Islam yang sebenar. 

Justeru, bersempena dengan sambutan nuzul Quran bagi Ramadhan 1434H, marilah kita bersama kembali kepada Al-Quran dengan membaca, memahami, menghafal dan mengamalkan ajarannya. Semoga Al-Quran akan menjadi pembantu kita ketika di dunia ini, di alam barzakh serta di akhirat kelak.



No comments: