Pages

10 July 2013

27 Hari di Jogjakarta

Alhamdulillah saya dan beberapa orang teman dari UIAM baru sahaja selesai mengikuti program pertukaran pelajar antara UIAM dengan Universitas Islam Indonesia, Jogjakarta. Program yang berlangsung hampir sebulan ternyata suatu pengalaman yang sangat indah lagi bermakna. Sepanjang tempoh itu juga saya belajar banyak perkara baru, berkenalan dengan teman-teman baru dan merasai pengalaman baru yang tidak ternilai. Sememangnya suatu perjalanan hidup yang saya kira tak dapat dilupakan.


Bagi saya secara peribadi, bumi Jogjakarta itu tidak asing dan tidak terlalu banyak bezanya dengan bumi Malaysia. Orang-orangnya juga lebih kurang sama dengan orang-orang Melayu Malaysia seperti kata orang kitakan serumpun. Cuma saya kira kelembutan dan keramahan orang-orang di Jogja melayan tetamu itu lebih baik berbanding di Malaysia. Mungkin kerana nilai-nilai budaya mereka masih utuh tak seperti orang Malaysia yang ghairah mengejar kemajuan sehingga meninggalkan adat dan budaya.

Namun yang ingin saya coretkan di sini bukanlah kisah lawatan saya ke Candi Borobudur, Malioboro, Beringharjo, Gunung Merapi, Taman Sari, Gunung Kidul, Jakarta, Bandung dan lain-lain lawatan tetapi saya ingin menceritakan sedikit sebanyak pelajaran yang telah saya timba di tempat orang untuk dibandingkan dengan realiti di Malaysia.

Sebagaimana Malaysia, Indonesia juga masih menerapkan sistem undang-undang penjajah yang diubah suai supaya menepati keadaan setempat. Kalau di Malaysia kita berpandukan undang-undang Inggeris, Indonesia berpandukan undang-undang Belanda. Meski Malaysia mengishtiharkan dirinya sebagai negara Islam dan meski Indonesia selaku negara berpenduduk Islam paling banyak di dunia, Shariah atau undang-undang Islam masih belum menjadi undang-undang asas dan hanya digunapakai dalam hal-hal yang terhad. Pada saya, punca sebenar bukan kerana Malaysia dan Indonesia itu negara berbilang bangsa dan agama, tetapi sebab sebenarnya ialah keinginan dan usaha yang tidak memadai olah orang Islam di kedua-dua negara ini untuk menegakkan undang-undang Islam.

Walaupun kedua-dua negara ini sudah lebih 50 tahun merdeka dari sudut penjajahan fizikal, namun kesan penjajahan minda itu masih begitu kental dan sukar dilunturkan. Ini jelas terlihat apabila rata-rata rakyat kedua-dua negara ini begitu menjadikan dunia barat sebagai idola yang ideal dan logik akal sebagai sumber kebenaran yang teragung. Kalau di Indonesia itu, selain isu rasuah, isu hak asasi manusia adalah antara perkara yang paling hangat diperdebatkan. Kemana-mana saja anda pergi akan ada perbualan tentang hak asasi-manusia. Kemana-mana anda pergi, anda akan ditanyakan tentang hak asasi manusia. Hak asasi manusia seolah-olah suatu agama yang dianuti bagi sebahagian manusia di Indonesia meski bukan semua.

Sebenarnya bukan di Indonesia sahaja, bahkan Malaysia juga mempunyai segolongan pejuang fanatik hak asasi manusia dan menganutnya seolah-olah sebuah agama. Malangnya kefahaman dan keinginan mereka terhadap hak asasi manusia itu adalah sebagaimana yang diimani dan dipelopori oleh dunia barat. Hak yang mutlak, hak yang tak terbatas. Oleh sebab itu mereka terus-menerus merasakan Shariah atau undang-undang Islam itu tidak adil dan sentiasa menyatakan bahawa Shariah itu menafikan hak asasi manusia.

Oleh kerana terlalu asyik mengagumi konsep hak asasi versi barat, mereka lalai untuk mengerti betapa lebih 1000 tahun sebelum barat kenal akan hak asasi manusia, Islam telah terlebih dahulu mengajar manusia tentang hak asasi manusia. Tetapi hak asasi manusia yang diajarkan oleh Islam adalah hak yang terbimbing, hak yang dibatasi oleh batas-batas syara' supaya tidak merosakkan dan membinasakan manusia. Contohnya,  lebih seribu tahun sebelum barat menghapus perbezaan antara orang kulit putih dan kulit hitam, Islam terlebih dahulu mengajar persamaan taraf antara setiap manusia. Lebih 1000 tahun sebelum barat mengiktiraf hak wanita, Islam terlebih dahulu mengajar manusia supaya menghargai dan menghormati wanita.

Namu fakta-fakta ini tak mampu dilihat oleh mereka yang fanatik dengan dunia barat. Bagi mereka apa yang dipelopori barat itulah yang terbaik dan bertaraf antarabangsa. Mereka menggelar diri mereka seorang yang merdeka tetapi hakikatnya akal pemikiran mereka terjajah sehingga tidak dapat lagi melihat kebenaran.

Tulisan ini bukanlah suatu kritik khusus kepada orang-orang Indonesia ataupun Malaysia tetapi suatu panggilan kesedaran kepada kita semua sebagai Muslim. Harapan saya semoga suatu hari nanti Islam akan dimartabatkan di bumi Malaysia dan Indonesia sehingga jika dunia Arab tidak lagi mampu memartabatkan Islam, Malaysia dan Indonesia mampu menjadi pusat pembangunan semula Islam. Ameen. 


No comments: