Pages

21 April 2013

Kewajipan Mengundi Parti Politik Tertentu dalam Pilihanraya

Ketika kita menghampiri Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13), parti-parti politik di Malaysia semakin menampakkan keterdesakan mereka dalam mengemis undi rakyat. Mereka terpaksa memanfaatkan dan mempergunakan segala 'senjata' yang ada tidak cukup dengan melempar fitnah sewenang-wenangnya bahkan sehingga ke tahap memperalatkan hukum agama demi 'memaksa' rakyat mengundi mereka.

Umum mengetahui bahawa bangsa Melayu sangat sensitif terhadap isu agama. Meskipun telah ramai orang Melayu yang tersesat jauh daripada panduan Islam, ironinya Islam masih lagi menjadi suatu isu sensitif bagi kebanyakan daripada mereka.

Hal ini lantas diambil kesempatan oleh parti-parti politik untuk menjerat sokongan orang Melayu memandangkan rakyat Malaysia majoritinya adalah orang Melayu. Maka keluarlah cakap-cakap daripada golongan yang mendakwa diri mereka ini ulama' Islam, bahawa mengundi parti tertentu di dalam PRU 13 nanti adalah wajib dan mengundi selain daripada parti yang mereka nyatakan itu adalah haram.

Yang mendakwa diri mereka sebagai ulama' ini, sekiranya mereka adalah penyokong UMNO maka mereka akan berfatwa bahawa mengundi UMNO adalah wajib. Sebaliknya sekiranya mereka adalah penyokong PAS maka mereka akan fatwakan bahawa mengundi PAS itu wajib.

Saya tidak pasti apakah kaedah istinbath (pengeluaran) hukum yang diguna-pakai oleh kelompok ini semasa mengeluarkan fatwa. Namun sekiranya kita merujuk kepada kaedah Usul Fiqh, hukum wajib ataupun haram hanya boleh diletakkan sekiranya terdapat dalil yang jazam yakni jelas menunjuk ke arah kewajipan atau pengharaman sesuatu perkara itu.

Tambahan pula dalam soal siyasah (politik), tiada dalil khusus bagaimana suatu kerajaan itu mesti beroperasi melainkan kerajaan mestilah memenuhi prinsip-prinsip asas Islam seperti keadilan, syura, amar ma'ruf dan nahi mungkar.

Ketahuilah bahawa tiada manusia yang layak ditaati dalam soal agama dengan ketaatan yang mutlak melainkan Rasulullah. Justeru sekiranya seseorang itu berkata, "sekiranya kamu tidak mengundi aku maka ini bermakna kamu menolak Islam". Perkataan seumpama ini seolah-olah orang tersebut mendakwa dirinya adalah rasul yg wajib ditaati dan haram diingkari.

Sekiranya kita melihat kepada kedua-dua parti UMNO dan PAS, masing-masing terdiri daripada ahli yang beragama Islam dan masing-masing dipimpin oleh orang Islam. Setiap parti mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Kedua-dua parti bersekutu dengan orang bukan Islam dan jika dilihat secara realistiknya, kedua-dua parti belum ada kemampuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang sempurna. UMNO menerima tentangan daripada MCA manakala PAS menerima daripada tentangan daripada DAP.

UMNO memang lemah dan lembab dari segi mengislamkan undang-undang di Malaysia. Pemimpin-pemimpin UMNO tidak ramai yang celik agama Islam. UMNO bergelumang dengan masalah rasuah dan penyalahgunaan wang rakyat untuk kepentingan diri sendiri. UMNO memperalatkan media arus perdana untuk kepentingan parti mereka dan menyalahguna jentera kerajaan untuk mempromosikan parti mereka. UMNO tidak bersaing secara sihat dalam politik, fitnah dan dakwaan-dakwaan tak berasas tanpa bukti menjadi permainan orang UMNO. Adakah parti sebegini wajib diundi?

Orang PAS menyatakan bahawa UMNO telah memerintah lebih 50 tahun tetapi masih belum dapat memartabatkan Islam ke tempat yang sepatutnya. Namun persoalannya sekiranya diberi peluang memerintah, adakah PAS mampu memartabatkan Islam ke darjat yang layak baginya dalam pada kuasa pemerintahan diperoleh dengan bantuan orang-orang bukan Islam dalam PKR dan DAP? Dan dalam pada PAS yang belum berkuasa pun tidak mampu bertegas kepada DAP dalam beberapa isu seperti ketakendahan PAS terhadap tentangan terang-terangan Karpal Singh terhadap hukum hudud, ketaktentuan pendirian dalam isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam dan penggunaan lambang PAS oleh calon-calon DAP.

PAS mengatakan UMNO asyik menabur fitnah sedangkan orang-orang PAS juga sama. PAS mengatakan UMNO bergelumang dengan rasuah, adakah PAS 100% bebas daripada rasuah? PAS memperjuangkan konsep kebajikan tetapi PAS yang mengutip derma daripada rakyat untuk kempen pilihanraya. Adakah parti sebegini wajib diundi?

Hakikatnya dalam soal memartabatkan Islam, UMNO dan PAS adalah lebih kurang sama sahaja. Kedua-duanya dibelengu dek keberantungan mereka terhadap orang bukan Islam. Sekiranya ini berterusan maka selamanya Islam tidak akan termartabat. PAS menolak tawaran untuk bersama-sama dengan UMNO dengan alasan PAS sebelum ini pernah dipermainkan oleh UMNO dahulu. Kalaupun sejarah ini benar, bukahkah pemimpin UMNO yang sekarang sudah berbeza dan bukankah bersekutu dengan orang Islam itu jauh lebih baik daripada orang kafir? PAS beralasan kerana UMNO menolak Islam. Persoalannya adakah orang-orang kafir dalam PKR dan DAP menerima Islam? Sekurang-kurangnya orang-orang UMNO punya akidah yang sama dengan orang-orang PAS.

Betapa benci PAS terhadap UMNO (yang terdiri daripada orang Islam) tetapi betapa sayang PAS terhadap DAP (yang majoritinya orang bukan Islam) sehingga sanggup menawarkan lambang PAS untuk digunapakai oleh DAP dalam pilihanraya. Persoalannya adakah perbuatan PAS yang seperti ini sesuai dengan tuntutan Islam.

UMNO pula rata-ratanya tidak celik tentang Islam sehingga ada dalam kalangan mereka yang menolak undang-undang jenayah Islam. UMNO menolak bulat-bulat usaha PAS dalam menegakkan hukum hudud kononnya hukum hudud yang diusahakan PAS tidak menepati Islam. Walhal UMNO yang tidak celik Islam, Meski mungkin undang-undang yang digubal PAS tidak 100% tepat dengan Islam tetapi majoritinya bertepatan dengan Islam. UMNO asyik berdolak dalih kerana terbelenggu dek MCA dan MIC. Oleh sebab itu, UMNO perlu bimbingan, bantuan dan sokongan PAS.

Sekiranya kita mengatakan bahawa wajib mengundi UMNO dan haram mengundi PAS, ini seolah-olah kita menafikan keislaman PAS, Begitu juga sekiranyan kita mengatakan wajib mengundi PAS dan haram mengundi UMNO seolah-olah kita menafikan keislaman UMNO.

Hakikatnya, persoalan mengundi adalah perkara ijtihadi di mana setiap individu muslim boleh membuat keputusan parti yang mana lebih baik pada pandangan mereka untuk memerintah. Meletakkan hukum wajib mengundi salah-satu daripadanya adalah tidak wajar dan tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Jangan terpengaruh dengan fatwa-fatwa menyeleweng yang dikeluarkan oleh individu-individu tak bertanggungjawab  yang memperalatkan agama demi kuasa dan pengaruh. Wallahu'alam.


13 comments:

Anonymous said...

mengKLAIM Muslim tak semestinya dia Muslim...

politik malaysia penuh dengan klaim semata...

-farazdaq-

Anonymous said...

tertarik dengan statment tuan:

Tambahan pula dalam soal siyasah (politik), tiada
dalil khusus bagaimana suatu kerajaan itu mesti
beroperasi melainkan kerajaan mestilah memenuhi
prinsip-prinsip asas Islam seperti keadilan, syura,
amar ma'ruf dan nahi mungkar.

boleh jelaskan lebih????

apakah tuan memiliki akaun fb?

-farazdaq-

syfadh syed fadhil said...

Kpd saudara farazdaq,

Harap maaf saye tidak memiliki akaun fb.

Maksud saya adalah Islam tidak memperuntukkan suatu cara khusus bagaimana sebuah kerajaan itu harus beroperasi.

Tidak ada dalil menyebut bahawa demokrasi itu adalah wajib dan mengikut selain daripada demokrasi adalah haram. Bahkan demokrasi itu sebenarnya tidak 100% Islamik. Dan sebenarnya demokrasi itu tidak 100% sama dengan syura.

Justeru, sistem pemerintahan itu boleh jadi dengan cara yang pelbagai sama ada demokrasi, republik mahupun pemerintahan beraja asalkan asas pemerintahan itu berpaksikan ajaran Islam.

Begitu jugalah dengan pemilihan pemerintah. Islam tidak menyebut bahawa hanya suatu individu/parti politik khusus yang wajib menjadi pemerintah dan parti selainnya haram dipilih menjadi pemerintah.

Apa yang dituntut Islam ialah memilih seorang pemerintah yang muslim, adil, berpengetahuan, berakhlak mulia, disenangi rakyat, layak untuk jawatan pemerintah dan lain-lain ciri asas.

Oleh itu, terpulang kepada rakyat untuk membuat pemilihan pemerintah yang mana satu pada pandangan mereka mempunyai ciri-ciri yang dituntut oleh Islam untuk diangkat sebagai pemimpin.

Wallahua'alam.

Anonymous said...

owh..ok nampaknya sementara ni kita just komunikasi kat sini jelah..

kembali kpd pembahasan..

jika tuan xkeberatan boleh tuan terangkan lebih lg statment tuan yg ni:

''Tidak ada dalil menyebut bahawa demokrasi itu adalah wajib dan mengikut selain daripada demokrasi adalah haram. Bahkan demokrasi itu sebenarnya tidak 100% Islamik. Dan sebenarnya demokrasi itu tidak 100% sama dengan syura.''

jadi pertanyaan yg timbul dr statment ini...apa yg 100% islamik? atau memang xda sama sekali sistem 100% islamik????

dn juga statment tuan yg ini:
Apa yang dituntut Islam ialah memilih seorang pemerintah yang muslim, adil, berpengetahuan, berakhlak mulia, disenangi rakyat, layak untuk jawatan pemerintah dan lain-lain ciri asas.

Oleh itu, terpulang kepada rakyat untuk membuat pemilihan pemerintah yang mana satu pada pandangan mereka mempunyai ciri-ciri yang dituntut oleh Islam untuk diangkat sebagai pemimpin.

jadi klo apa yg sy saham dr kenyataan tuan ini bhw...rakyat mempunyai kuasa mutlak penentu pemimpin muslimin berdasarkan pandangan islam? betulkan?

jika salah harap d betulkan..

soalan terakhir menurut pandangan tuan apakah tugas seorang pemimpin islam itu?

-farazdaq-

syfadh syed fadhil said...

Kepada saudara farazdaq,

Demokrasi adalah suatu sistem yg berpaksikan suara majoriti. Dengan suara majoriti, segalanya mungkin termasuklah membelakangkan hukum Allah. Undang-undang yang didak menetapi hukum Allah tetap dikuat-kuasakan semata-mata kerana suara majoriti.

Kedua, dalam Islam, hal-ehwal orang Islam seharusnya ditadbir oleh mereka yang berpengetahuan agama. Tetapi dalam sistem demokrasi dapat kita lihat betapa ramai orang yang jahil tentang agama duduk di Parlimen menentukan masa depan orang Islam. Bahkan orang yang jahil agama ini dipilih sendiri oleh rakyat.

Inilah antara sebabnya mengapa saya katakan demokrasi itu tidak 100% Islamik.

Seterusnya, saya tidak menyatakan rakyat mempunyai kuasa mutlak dalam memilih pemimpin. Rakyat mesti memilih pemimpin yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki syara' supaya masa depan Islam terjamin.

Dalam konteks Malaysia kita harus memahami bahawa persoalan memilih pemimpin adalah perkara ijtihadi kerana berlaku pertembungan antara dua puak yang masing-masingnya adalah orang Islam. Maka dengan sebab itu tidak wajar kita menghukum bahawa mengundi satu diantaranya sebagai wajib dan satu lagi sebagai haram.

Lain ceritanya sekiranya hanya salah-satu daripada mereka adalah Islam maka kita tidak mempunyai pilihan melainkan memilih pemimpin Islam.

Wallahu'alam.

Anonymous said...

Kepada Tuan Syed Fadhil…

Sebenarnya sebelum saya menulis tulisan ini saya telah pon selesai tulis tulisan yg sama..Cuma pada akhirnya saya tersalah tekan..habis hilang semua..so terpaksa saya tulis kembali…huhuhu xpelah mngkin da baiknya…btw thanks coz sudi jelaskan kpd sy masalah pada tulisan tuan yg sebelum ni…

Back to the point….

Sebenarnya saya ada beberapa benda asas yg saya mmg kurang jelas….

Kalo xsilap saya dalam surah almaedah ayat 3 Allah swt da mengatakan bhw Dia telah menyempurnakan Islam dr segala sisi…

Dari sisi lain pula…berdirinya sebuah kerajaan atau pemerintahan adalah perkara urgent n asas bg manusia dalam memastikan kehidupan insan sebagai sebuah komuniti kekal harmoni dan seimbang dan agar masing2 mendapat hak mereka masing2.

Pada pandangan saya, keperluannya manusia kepada sebuah kerajaan untuk urus tadbir hal ehwal manusia adalah perkara asas fitrah insan…kerana jika kita ditanyakan apakah kita perlukan sebuah kerajaan untuk jaga kehidupan insan…tanpa pikir panjang pasti semua dari kita akan sepakat mengatakan YA kita perlu kpd kerajaan…bentuk kerajaan itu adlah masalah lain tapi kita sepakat kpd asas bhw nak tak nak kene ada kerajaan…

Pandangan saya ni dikuatkan lagi kalo kita teliti sejarah manusia dr zaman nabi adam hingga sekarang…terserah kita nak rujuk berdasarkan sejarah Islam atau sejarah Dunia…kerana kedua2 sejarah mencatat bahawa PADA SETIAP ZAMAN DAN SETIAP TEMPAT N SETIAP MASYARKAT ITU MEMPUNYAI KERAJAAN MEREKA MASING2 DEMI MENJAGA KEHARMONIAN KOMUNITI MANUSIA WALOPON system mereka berbeza tp fungsi mereka sama.

Kalo kita perhatikan pula….bahawa turunnya undang-undang islam atau lebih jelas FIQH ISLAM yg dibawa oleh nabi Muhammad saw bukanlah sekadar untuk dibahaskan di pondok2 je atau diamalkan secara personel krn dalam fiqh islam terdapat hokum kemasyarakatan seperti hokum muamalat, hokum nikah, hokum amal makruf dll yang perlu diaplikasikan ke dalam masyarakat…dan ini xkan dpt diaplikasi tanpa adanya kerajaan yg menguat-kuasakan undang2 islam itu di dalam system masyarakatnya.

Lihat saja pemerintahan islam muhammadi yg diasaskan oleh nabi Muhammad saw sendiri…tujuan baginda mendirikan kerajaan itu adalah untuk menguatkuasakan fiqh islam di dalam masyarakat..dan sekaligus dgn penerapan fiqh islam itu keharmonian komuniti muslimin tetap terjaga dan aman.

So semua dalil2 sy yg kat atas ini just nak membuktikan bahawa perlunya manusia kepada sebuah kerajaan merupakan asas fitrah insan dan islam juga memandang hal yg sama dan menitik beratkan masalah kerajaan atau pemerintahan ini.

Ok..jika kita sepakat bahawa Islam memandang serius atau mengatakan perlu dn penting wujud sebuah kerajaan..apakah logic untuk mengatakan bahawa Allah tidak menerangkan system kerajaan apa yg sesuai dgn islam dn system apa yg paling sesuai untuk memastikan agar hukum2 islam dapat diaplikasikan terus di dalam masyarakat???????

Dari sisi lain pula Allah mengatakan bahawa Islam telah sempurna dari segala sisi, nah apakah masalah cara masuk tandas islam terangkan dgn jelas tp masalah system kerajaan islam xjelaskan??? Apakah cara masuk tandas lebih penting dr sytem kerajaan sehingga Allah beri perhatian khusus tntgnya????

Kalo pon kita kata system kerajaan xsepenting cara masuk tandas…bukankah Islam telah sempurna dr segala sisi…so sytem kerajaan pon Allah kene jelaskan krn kalo x..blm sempurnalah Islam itu sperti yg Allah dakwakan????

So agak x logic kalo kita katakan bhw xda system kerajaan yg 100% islamik ataupon Allah xjelaskan kpd kita system kerajaan islam berdasarkan dalil2 diatas….Betul x?????

Ini just my personel opinion…harap tuan dapat betulkan jika ada yg salah...

-farazdaq-

Anonymous said...

Second point is bout ur statement:

“Seterusnya, saya tidak menyatakan rakyat mempunyai kuasa mutlak dalam memilih pemimpin. Rakyat mesti memilih pemimpin yg menepati ciri-ciri yang dikehendaki syara’ supaya masa depan Islam terjamin.”

On first side tuan kate “rakyat tidak memiliki kuasa mutlak” but on other side pulak tuan kate “Rakyat mesti memilih pemimpin yg menepati ciri2….”.

Statemnt ini mcm kurang jelas untuk saya krn apa yg tuan ingin sampaikan adalah islam menyerahkan kuasa pemilihan pemimpin kepada rakyat secara mutlak.

Rakyat yg berkuasa untuk memilih pemimpin siapa yg dia rasa sesuai untuk dijadikan pemimpin muslim….terlepas nanti rakyat perlu pilih pemimpin seperti apa berdasarkan hokum syara’ itu masuk dalam pembahasan panduan memilih pemimpin islam…tp asasnya adalah islam beri kuasa penuh pada rakyat for choose their own leader rite?????

Bukan tuhan tentukan pemimpin islam o malaikat o nabi…tp rakyat yg pilih….rite???

Akhir sekali tntg soalan sy yg belum terjwab…pada pandangan tuan apakah tugas pemimpin Islam???

Maaflah coz banyak bertanya n menyusahkan tuan….sy perlu banyak penjelasan lg..

Btw..moge allah memberkahi tuan coz sudi layan soalan2 saya ni…tq


-farazdaq-


syfadh syed fadhil said...

Kepada saudara Farazdaq,

Terima kasih di atas pandangan saudara. Begitu banyak soalannya sehingga saya tidak tahu mana yang perlu dijawab terlebih dahulu.

Sesetengah soalan memerlukan ulasan yang terlalu panjang jadi tak dapat saya jelaskan di sini.

Saudara membandingkan antara adab masuk tandas dan sistem pemerintahan dalam Islam. Ini adalah qiyas atau perbandingan yang tidak tepat.

Apabila Allah menyatakan yang Islam itu telah lengkap bukan bermakna segala hukum untuk setiap perkara telah diturunkan secara TERPERINCI. Jika inilah caranya maka tidak perlu kepada ijtihad dan ulama kerana semua hukum telah sedia jelas dan terperinci. Dan Al-Qur'an itu akan menjadi berjuta-juta mukasurat juga.

Apabila disebut bahawa Islam itu telah lengkap bermakna setiap PERKARA ASAS yang diperlukan oleh manusia untuk menguruskan kehidupan mereka sama ada dari segi kehidupan peribadi mahupun kehidupan bernegara telah diturunkan. Daripada perkara asas inilah manusia dituntut untuk mencorakkan kehidupan mereka supaya bersesuaian dengan kehendak syara'.

Sesetengah perkara didiamkan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah hikmah yang sangat besar dalam Islam. Antara hikmahnya ialah perkara yang didiamkan ini menyumbang kepada sifat Islam yang sesuai pada setiap masa dan zaman. Bayangkan sekiranya setiap perkara mempunyai hukum yang terperinci dan qat'ie, maka manusia tidak mempunyai pilihan ataupun rukhsah dan kehidupan mereka akan menjadi sukar dan ini bertentangan dengan kehendak syara' yang diutuskan sebagai rahmat dan mengangkat kesusahan manusia.

Saudara mungkin tidak bersetuju dengan saya tetapi pada pandangan saya sistem pemerintahan tidak dijelaskan SECARA TERPERINCI seperti adab ke tandas kerana sistem pemerintahan itu jauh lebih penting daripada adab ke tandas. Sistem pemerintahan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa masyarakat. Tidak seperti adab masuk ke tandas yang tidak perlu kepada perubahan.

Saudara bertanya kepada saya apakah yang 100% Islamik maka jawapan saya sistem pemerintahan yang 100% Islamik adalah sistem pemerintahan yang 100% mengikut ajaran Islam. Sistem demokrasi boleh menjadi 100% Islamik sekiranya suara majoriti itu dihadkan supaya tertakluk kpd hukum Islam maknanya, Islam mesti didahulukan dan bukannya suara majoriti. Begitu juga dengan penglibatan mereka yang menyuarakan suara-suara rakyat haruslah orang yang berkelayakan dari segi syara'.

Begitu jugalah sistem pemerintahan yang lain boleh jadi 100% Islamik dengan syarat Islam itu didahulukan. Saya sebutkan sebelum ini bahawa sistem demokrasi tidak 100% Islamik adalah berdasarkan amalan demokrasi yang kira amalkan sekarang.

Saya kira saudara mungkin salah faham terhadap maksud perkataan saya. Saya maksudkan bahawa sistem pemerintahan Islam itu tidak diterangkan secara TERPERINCI dan hanya DASAR-DASAR ASAS KENEGARAAN yang dijelaskan oleh syara'.

Benar baginda Rasulullah memerintah kerajaan Madinah semasa hayat baginda tapi harus kita tanya adakah keadaan Madinah 1400 tahun dahulu boleh kita aplikasikan secara bulat-bulat tanpa sebarang perubahan pada masa kini di Malaysia. Contohnya, Sahifah Madinah. Adakah sesuai kita "copy dan paste" Sahifah Madinah supaya menjadi Perlembagaan Malaysia? Maka dengan sebab itu saya berpendapat apa yang disyariatkan bukanlah untuk meniru bulat-bulat gaya pemerintahan Rasululullah tetapi sebaliknya kita perlu memahami hikmah dan kehendak syara' daripada cara pemerintahan baginda kemudian kita sesuaikan dengan keadaan semasa kita dan negara kita.

Wallahu'alam.

syfadh syed fadhil said...

Sekali lagi menemui saudara Farazdaq,

Apakah yang saudara faham daripada istilah 'kuasa mutlak'? Mungkin saudara menggunakan istilah yang berbeza tetapi berikut adalah maksud saya:

Apabila saya menyebut 'kuasa mutlak' saya bercakap tentang konteks kuasa yang tiada batasan dan tanpa perlu merujuk kepada mana-mana rujukan. Justeru saya katakan rakyat tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memilih pemimpin kerana daripada terjemahan saya sekiranya rakyat diberi kuasa mutlak maka rakyat boleh memilih dengan sesuka hati mereka tanpa perlu berpandukan ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki syara'.

Apa yang saya maksudkan ialah rakyat harus menggunakan kuasa memilih pemimpin bukan dengan sewenang-wenang sesuka hati mereka. Tetapi mereka perlu memilih pemimpin yang mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki syara'. Beginilah yang diamalkan oleh para sahabat selepas kewafatan Rasulullah. Mereka memilih pengganti daripada kalangan sahabat yang paling hampir dengan Rasulullah dan paling arif dalam kalangan mereka tentang Islam.

Begitu juga apabila kita menyebut rakyat mempunyai kuasa mutlak bermakna kita tidak menghiraukan keadaan rakyat yang memilih.

Bayangkan dalam sebuah negara Islam terdapat hanya 10% orang yang berilmu, 60% orang Islam tetapi cetek pengetahuannya dan 30% peratus orang kafir. Apakah kita memberi kuasa mutlak memilih pemimpin kepada rakyat yang majoritinya terdiri sebahagian daripada orang yang jahil dan sebahagian lagi orang kafir?

Justeru apabila terdapatnya batasan terhadap kuasa memilih pemimpin sebab itu saya katakan rakyat tidak mempunyai kuasa mutlak dalam memilih pemimpin.

Wallahu'alam.

Anonymous said...

Kepada Tuan Syed Fadhil…(moga allah memberkahi tuan)

Sebenarnya soalan yang cuba saya timbulkan hanya 3 je..dan alhamdulilah tuan telah menjawab 2 darinya cuma tinggal satu lagi yg saya masih menunggu jawapannya…

Saya fikir disini spy pembahasan ni tak keluar dr topic atau menjadi lebih luas tanpa menjawab persoalan sebelumnya so jika tuan x keberatan kita gunakan system nomber utk setiap soal jawab…so saya bangkitkan 3 persoalan asli maka setiap soalan akan diberi no 1 2 dan 3 dan setiap hujjah bg soalan masing2 masuk dlm no tu…saya harap tuan faham ngn system ni…simple je….

tp jika tuan ada system yg lebih advance silakan...

Disini saya listkan number soalan asli n soalan nye supaya lebih jelas…

S1: APAKAH ISLAM ADA MENETAPKAN SISTEM KERAJAAN ATAU TIDAK??

S2: APAKAH KUASA PEMILIHAN PEMIMPIN MUTLAK ADA DI TANGAN RAKYAT??

S3: APAKAH TUGAS SEORANG PEMIMPIN ISLAM???

So sy sambung kembali kepada permasalhan asli:

S1: Sebenarnya secara umum saya setuju dgn tuan terutamnya statment tuan berkaitan maksud islam itu sempurna:

“Apabila disebut bahawa Islam itu telah lengkap bermakna setiap PERKARA ASAS yang diperlukan oleh manusia untuk mengurus kehidupan mereka sama ada dari segi kehidupan peribadi mahupun kehidupan bernegara telah diturunkan.”

Inilah sebenarnya apa yg saya cuba sampaikan pada tulisan saya yg lepas, cuma gaya bahasa tuan lebih tersusun n cantik dr saya… bahawa jika Islam itu sempurna seperti dakwaan Allah..so semua perkara asas yg diperlukan manusia untuk sampai kepada tujuannya perlu ditunjuk ajar oleh Allah swt.

Betulkan???? So ALLAH WAJIB TUNJUK….

S2: apa yg saya maksudkan dgn “kuasa mutlak” adalah apa yg baru saja tuan terang..sama..

ok..tuan mengatakan bahawa kuasa memilih adalah ditangan rakyat tapi perlu berlandaskan hokum syara’…sekarang persoalan yg timbul jika seluruh rakyat di sebuah Negara 2 jahil tentang hokum syara’ apakah kuasa memilih tetap di tangan rakyat atau bagaimana???

S3: saya masih menunggu jawapan dr tuan….

-farazdaq-

syfadh syed fadhil said...

Kehadapan saudara Farazdaq,

Berikut adalah respon saya:

S1: Maaf saya tidak dapat bersetuju dengan saudara apabila saudara menyebut "Allah wajib tunjuk".

Harus kita fahami bahawa hukum taklifi hanya terpakai kepada mukallaf. Hukum-hukum taklifi tidak terpakai kepada Allah kerana Allah itu bukan mukallaf dan Dia juga tidak tertakluk kepada sebarang hukum. Bahkan Allah lah yang menentukan hukum. Ini adalah persoalan ilmu kalam jadi saye rasa tidak perlu saya panjang lebarkan.

Apa yang penting untuk kita imani ialah Allah telah menurunkan hukum dan panduan yang cukop bagi manusia untuk meneraju kehidupannya tidak kira masa, tempat dan zaman.

S2: Perlu kita fahami dalam soal hukum terdapat pembahagian antara hukum asal dan hukum dharurat. Hukum asal terpakai dalam keadaan biasa manakala hukum dharurat terpakai bilamana keadaan mendesak mengancam maqosid shariah.

Dalam situasi yang saudara katakan sekiranya dalam sebuah negara Islam seluruh penduduknya adalah orang yang jahil maka dalam masalah ini termasuk dalam kategori dharurat maka tidak boleh kita samakan dengan hukum asal.

Walaubagaimanapun, situasi yang saudara maksudkan ini insyaallah tidak mungkin terjadi kerana Rasulullah sendiri telah menjamin bahawa tidak akan ada suatu masapun yang di dalamnya tidak ada seorang ulama' pun yang mengajarkan manusia tentang kebenaran dan kebatilan.

S3: Saya sengaja tidak menjawab persoalan ini kerana ulama' menulis berbuku-buku menjelaskan tanggungjawab seorang pemimpin Islam jadi bagaimana dapat saya huraikan tanggungjawab pemimpin Islam dalam ruangan komen.

Namun saya yakin saudara sudahpun mempunyai idea dan maklumat berkenaan tanggungjawab seorang pemimpin Islam.

Wallahua'lam.

Anonymous said...

Kepada Tuan Syed Fadhil…(moga Allah memberkahi tuan)

Kembali kepada permasalahan asli:
S1: Mungkin ada salah faham sikit kat sini..ketika saya mengatakan “TUHAN WAJIB TUNJUK” bukanlah bermaksud meletakkan hokum taklifi ke atas tuhan atau dalam bahasa mudah bermaksud WAJIB KEATAS TUHAN tetapi tidak lain adalah bermaksud WAJIB DARI TUHAN…sebagai contoh Allah Maha Adil dan Allah tidak zalim so berdasarkan sifat itu wajib untuk setiap tindakanNya berlandaskan keadilan jika tidak akan jadi zalim dan Allah Maha Suci dari segala Kezaliman. Saya harap tuan faham dgn apa yg saya maksudkan..jika tidak saya akan terangkan lebih kepada tuan.

Dan memang saya mengimani bahawa berdasarkan sifat Allah yang maha mengetahui dan Adil so Allah pasti akan menurunkan segala keperluan asas bagi manusia tanpa sedikit kurang pun..jika tidak maka tindakan itu xsesuai dengan sifat Allah dan bertentangan dengan dakwaan Allah bhw Islam itu sempurna.

So nampaknya disini kita sepakat dan mengimani hal yang sama bahawa Islam itu sempurna dan segala hokum yang penting dan asas yang diperlukan manusia telah diterangkan jelas dalam Islam…

Ok..sekarang persoalan yang akan timbul.. APAKAH SISTEM PEMERINTAHAN MERUPAKAN ASAS KEPADA KEPERLUAN MANUSIA ATAU TIDAK????

S2: ok lah gini je…kita ambil contoh yang paling jelas dan yang sedang berlaku…Negara Amerika memiliki 300juta rakyat dan katekanlah sekarang penduduk muslim di Amerika sebanyak 5% dari 300juta…dan semuanya alim tntg hokum syara’….

Ok…skrg apakah pemilihan masih ditangan rakyat??? Atau Apa yg perlu dilakukan dalam keadaan dharurat seperti ini???apa hokum yg berjalan pada situasi darurat di amerika ni???

S3: owh…sebenarnya secara umum saya ada gambaran tntg tugas seoragn pemimpin islam Cuma saya ingin melihat dr kaca mata tuan…so kalo saya simpulkan tugasannya seorang pemimpin muslim dgn kalimah “MENYAMBUNG TUGASANNYA NABI MUHAMMAD YAITU MENYEMBARKAN, MENJAGA dan MENJALANKAN SYARI’AH ISLAM KEATAS UMAT MANUSIA”…apakah tuan akan setuju dgn simpulan ini?

-farazdaq

-akoi- said...

Hakikat yang pasti
Kalau kita tahu dan selidik di sebalik kedua-dua belah pihak
baru akan tahu siapa yang benar
dan siapa yang betul jalan nya
kita semua langsung tak ada kredibiliti untuk mengarah atau katakan sesuatu yang bukan dalam bidang ilmu dan pemikiran kita.
Penilaian mudahnya
kita lihat sahaja wujudnya situasi
"mereka timbulkan isu,berbincang sesama mereka dan buat keputusan sesama mereka"
Adakah itu satu kewajaran??
Tapi apa-apa pun,pada saya
biarlah kita sokong siapa pun
tapi yang penting yang menang
seharusnya jalankan tanggungjawab
tu yang penting
dan
tanpa undian untuk pilihanraya
sekalipun,tanggungjawab tetap
menjadi keperluan untuk setiap dari kita.
Saya bersetuju dengan coretan tuan,cuma ada beberapa perkara yang kurang kewajaran dalam coretan tersebut.
Tetapi kita sama-sama masih lagi lemah dan dalam proses pembelajaran
semoga yang baik itu ada dalam pendapat kita masing-masing.
-Senyumselalu-