Pages

12 March 2013

Caretaker Government


Dalam sistem pemerintahan berasaskan demokrasi, tidak dapat tidak sesebuah kerajaan itu perlu 'memperbaharui' mandat daripada rakyat untuk membolehkan kerajaan terus memerintah. Proses pembaharuan mandat ini dilaksanakan melalui pungutan suara/undi yang dinamakan sebagai pilihanraya. 

Sekiranya anda mengikut perkembangan politik tanah air, pasti ada akan terbaca istilah "caretaker government" di mana-mana lebih-lebih lagi dalam pada negara kita semakin menghampiri pilihanraya. Caretaker goverment (CG) mempunyai perkaitan rapat dengan pilihanraya. Sebelum pilihanraya boleh diadakan, Parlimen mestilah telah terbubar ataupun dibubar terlebih dahulu. Parlimen terbubar dengan sendirinya apabila genap suatu tempoh yg ditetapkan oleh perlembagaan. Di Malaysia tempohnya adalah 5 tahun menurut Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Sungguhpun begitu, Parlimen boleh dibubarkan lebih awal sebelum tamat tempoh 5 tahun tersebut oleh Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) atas permintaan Perdana Menteri menurut Perkara 55(2). Selepas Parlimen terbubar atau dibubarkan, pilihanraya mesti dijalankan dalam masa 60 hari selepas pembubaran menurut Perkara 55(4).

Pada hakikatnya, apabila Parlimen terbubar atau dibubarkan, jawatan yang dipegang oleh para ahli parlimen, Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet turut gugur/terbatal dengan sendirinya bersama pembubaran Parlimen. Namun begitu, sebuah negara perlu ditadbir dan diurus, justeru mereka yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri masih perlu melaksanakan tugas mereka dalam mengurus-tadbir negara. Mereka inilah yang digelar sebagai caretaker government (CG).

CG bertindak sebagai pengurus negara semasa ketiadaan Parlimen. Ini sangat penting kerana tanpa kerajaan, negara akan terdedah kepada ancaman dari segi keselamatan, ketenteraman, ekonomi dan lain-lain. Perlu diingat bahawa caretaker government hanyalah sebagai pelaksana dan hanya mempunyai kuasa eksekutif. CG tidak mempunyai kuasa legislatif untuk menggubal undang-undang. Ini kerana apabila tiadanya Parlimen maka tiadalah juga 

Terdapat isu berkenaan soal adakah CG wujud setelah genap tempoh lima tahun daripada tarikh pilihanraya sebelumnya ataupun adakah CG wujud setelah pembubaran parlimen. Situasi ini boleh berlaku kerana Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tempoh lima tahun bagi pembubaran Parlimen dikira bermula daripada tarikh kali pertama Parlimen bersidang dan Parlimen mesti bersidang untuk kali pertama dalam masa 120 hari daripada tarikh pembubaran Parlimen (sila rujuk Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan).

Dalam konteks Malaysia, pilihanraya terdahulu diadakan pada 8 Mac 2008 tetapi Parlimen bersidang untuk pertama kalinya pada 28 April 2008. Jadi persoalan yang timbul adakah kerajaan yg ada sekarang bertindak sebagai CG pada tanggal 8 Mac 2008 atau perlu kepada pembubaran parlimen terlebih dahulu.

Saya cenderung menyatakan bahawa CG hanyalah wujud setelah pembubaran Parlimen walaupun telah berlalu tempoh lima tahun daripada tarikh pilihanraya terdahulu. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan yg tempoh hayat Parlimen bermula daripada tarikh kali pertama Parlimen bersidang dan bukannya tarikh kerajaan menang pilihanraya.

Selain itu, selagi pembubaran Parlimen tidak berlaku, kerajaan yang sedia ada kekal sebagai kerajaan yang dipilih secara sah dan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang. Adalah salah untuk mengatakan bahawa kerajaan yang boleh menggubal undang-undang sebagai CG.

Timbul juga persoalan bagaimanakah undang-undang boleh diluluskan dalam ketiadaan Parlimen sekiranya undang-undang tersebut perlu diluluskan secepat mungkin dan tidak dapat menunggu sehingga selesai pilihanraya. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang menggunakan sistem raja beperlembagaan, terdapat pendapat menyatakan kuasa meluluskan undang-undang dalam masa ketiadaan Parlimen tertakluk di bawah apa yang disebut sebagai "reserved powers of YDPA". Oleh itu, sekiranya keadaan mendesak supaya undang-undang digubal dalam tempoh ketiadaan Parlimen maka YDPA lah yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang. Namun undang-undang ini akan luput sebaik sahaja Parlimen kembali bersidang melainkan sekiranya Prlimen bersetuju untuk mengekalkannya.

CG luput fungsi dan kuasanya apabila selesainya pilihanraya dan terdapat parti politik yang berjaya membentuk kerajaan. Melalui sistem inilah sesebuah negara dapat mengekalkan kelangsungan demokrasi sebagai sistem pentadbiran negara.


No comments: