Pages

29 January 2013

Rasulullah dan Sunnah Panduan Hidup Muslim

Umat Islam baru sahaja meraikan hari kelahiran Rasulullah s.a.w. pada minggu lepas. Meski setelah lebih 1400 tahun kewafatan Baginda, Baginda masih senantiasa dalam ingatan sekalian umatnya. Begitulah hebat dan agungnya manusia bernama Muhammad Rasulullah s.a.w. Dalam suatu hadith Rasulullah menyebut:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu selama-lamanya tidak akan tersesat selagi kamu berpegang pada keduanya yakni Al-Qur'an dan As-Sunnah."

Namun di sebalik hadith di atas, terdapat sekelompok manusia yang menggelar dirinya Muslim tetapi enggan berpegang kepada Sunnah bahkan memandang enteng kepada Sunnah. Pelbagai alasan dan hujah yang mereka berikan semata-mata untuk membela pendirian mereka dan menghasut orang lain supaya memperlekehkan Sunnah. Untuk memudahkan penulisan, sesuai saya rasa jika kita rujuk golongan ini sebagai golongan anti hadith. Dalam post kali ini kita akan menyanggah tuduhan-tuduhan tak berasas dan hujah-hujah dangkal golongan anti hadith ini.

Pertama, golongan anti hadith mendakwa bahawa Rasulullah adalah manusia biasa sama seperti manusia yang lain. Justeru perkataan dan perbuatan baginda juga tiada bezanya seperti manusia yang lain. Hujah sebegini adalah tidak benar. Meskipun Rasulullah itu adalah manusia tetapi baginda tidaklah sama seperti manusia yang lain. Allah berfirman:

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ 
“Tidaklah Muhammad itu bapa bagi seseorang dari kalangan kamu akan tetapi dia adalah utusan Allah dan penutup para rasul”. 
(Surah Al-Ahzab: 40)

Ayat di atas menyebut bahawa Muhammad s.a.w. itu bukanlah sebarangan manusia tetapi seorang utusan daripada Allah. Sebagai utusan Allah, setiap perkataan dan perbuatan Rasulullah itu adalah berlandaskan wahyu yang diturunkan dan bukan berlandaskan nafsu dan akal sebagaimana yang dilakukan oleh manusia biasa. Firman Allah:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ
“Tidaklah (Rasullullah) berkata-kata mengikut hawa nafsunya melainkan apa yang telah diwahyukan kepadanya.” 
(An-Najm: 3-4)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, dapat kita fahami bahawa Allah sendiri mengiktiraf bahawa Rasulullah itu bukanlah manusia sebarangan sepertimana manusia biasa. Oleh itu tidak layak bagi kita menyamakan perlakuan dan perbuatan Rasulullah itu dengan manusia lain kerana setiap perbuatan dan perkataan Rasulullah itu adalah berdasarkan wahyu bukannya logik akal atau hawa nafsu.

Kedua, golongan anti hadith menyatakan bahawa Al-Qur'an itu sudah cukup lengkap sebagai panduan dan tidak perlu lagi merujuk kepada Sunnah. Mereka berhujah berdasarkan ayat Al-Qur'an:

مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ 
"Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini." 
(Surah Al-An'aam: 38)

Tafsiran yang dilakukan oleh puak-puak anti hadith terhadap ayat ini adalah tidak tepat. Kita tidak meragukan ayat Allah yang menyatakan bahawa Al-Qur'an itu mengandungi segala macam ilmu pengetahuan tetapi haruslah difahami bahawa, perkara-perkara yang disebut di dalam Al-Qur'an itu kebanyakannya datang dalam bentuk umum manakala penjelasan terperinci dan penerangannya dilakukan oleh baginda Rasulullah melalui Sunnah.

Contoh mudah yang biasa diberikan oleh ustaz-ustaz ialah seperti solat. Dalam Al-Qur'an sememangnya ada menyebut tentang kewajipan menunaikan solat tetapi Al-Quran tidak memberi maklumat terperinci tentang solata seperti jumlah rakaat dalam solat dan rukun-rukun solat. Sekiranya kita tidak membaca Al-Quran bersama-sama Sunnah bagaimana mungkin kita mengetahui tentang kaedah solat. Begitu juga dengan ibadah haji. Al-Qur'an hanya menyebut tentang kewajipan haji tetapi tidak memberi penjelasan lanjut mengenai manasik, rukun dan wajib haji. Sekiranya kita mengabaikan Sunnah, tidak mungkin kita dapat menunaikan tuntutan yang disebut di dalam Al-Qur'an. 

Ketiga, puak anti hadith menyatakan bahawa Sunnah Rasulullah hanya relevan ketika baginda hidup dan tidak lagi relevan selepas baginda wafat kerana berlakunya perkembangan zaman dan tamadun. Hujah ini tidak benar sama sekali. Allah berfirman:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا 
“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu teladan yang baik; Bagi barangsiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Kemudian dan yang banyak ingat kepada Allah.” 
(Surah al-Ahzab: 21)

Dalam ayat di atas, Allah menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. itu adalah contoh teladan yang baik tanpa menyebut tempoh masa bila Rasulullah itu mesti dijadikan contoh. Ini bermakna, Rasulullah itu adalah contoh teladan tanpa menira masa dan tempat, tanpa mengira sama ada baginda hidup ataupun telah wafat. Baginda adalah contoh yang sentiasa relevan sepanjang zaman.

Keempat, golongan anti hadith berhujah bahawa dalam Al-Qur'an Allah mengulang-ulang tuntutan supaya berpegang dan merujuk kepada Al-Qur'an dalam segenap aspek jadi tidak perlu lagi rujukan kepada Sunnah. 

Tidak dinafikan bahawa Al-Qur'an mengulang-ulang tuntutan supaya merujuk kepada Al-Qur'an tetapi dalam masa yang sama, Al-Qur'an juga mengulang tuntutan supaya merujuk kepada Sunnah. Antaranya firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ ۖ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا 
"Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulny dan ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan rasulnya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih baik bagimu dan lebih baik akibatnya." 
(Surah An-Nisa': 59)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَوَلَّوْا عَنْهُ وَأَنْتُمْ تَسْمَعُونَ 
"Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Qur'an yang mewajibkan taatnya)."
(Surah Al-Anfal:20)

Ayat-ayat di atas jelas menyatakan bahawa menjadi kewajiban setiap Muslim bukan sahaja untuk mentaati Allah tetapi untuk mentaati Rasul-Nya juga. Tidak disebut dalam mana-mana bahagian ayat tersebut yang tuntutan mentaati Rasul hanyalah sewaktu Baginda hidup. Justeru kewajiban tersebut kekal walaupun setelah Rasulullah wafat. Firman Allah:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا 
"Dan apa yang dibawa oleh Rasul kepada kamu hendaklah kamu ambil dan apa yang ditegahnya hendaklah kamu jauhi." (Surah Al-Hasyr: 7) 

Berdasarkan perbincangan di atas, adalah jelas bahawa dakwaan-dakwaan golongan anti Hadith yang Sunnah itu bukan sumber rujukan orang Islam adalah salah sama sekali. Tuntutan mentaati Rasulullah diulang banyak kali di dalam Al-Qur'an dan sekiranya golongan anti Hadith ini benar-benar membaca Al-Qur'an nescaya mereka akan memahami tuntutan mengikut Sunnah. Firman Allah:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَٰئِكَ رَفِيقًا 
"Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang Siddiqiin, dan orang yang syahid, serta orang yang salih. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang yang taat)."
(Surah An-Nisa’:69)

Kesimpulannya, Al-Qur'an mesti dibaca bersama-sama Hadith kerana tanpa Hadith tidak jelaslah ayat-ayat Al-Qur'an dan tanpa Al-Qur'an pincanglah Hadith.



No comments: