Pages

15 November 2012

Kebebasan Beragama (Bahagian 2)

Setelah kita melihat hakikat kebebasan agama dari sudut pandang Islam (Bahagian 1), dalam bahagian 2 ini kita akan membincangkan pula tentang kebebasan agama dalam perspektif perundangan Malaysia. Saya kira umum mengetahui bahawa kebebasan beragama diperuntukkan dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan:

"Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya..."

Perkara 11(1) menyatakan setiap individu mempunyai kebebasan untuk menganut, mengamalkan dan menganuti agamanya. Namun harus diingat bahawa kebebasan mengembangkan agama adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) yang memperuntukkan sekatan terhadap penyebaran agama-agama lain kepada orang-orang Islam.

"Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam."

Walaubagaimanapun, Perkara 11 tidak secara langsung memperuntukkan setiap individu dengan hak untuk memilih ataupun menukar agama. Justeru, sekiranya kita membaca Perkara 11 secara literal maka boleh kita katakan bahawa undang-undang Malaysia tidak memberikan kebebasan untuk menukar atau memilih agama.  Sebaliknya seseorang itu hanya mempunyai kebebasan untuk menganuti dan mengamalkan agama yang telah sedia dianutinya.

Sungguhpun begitu, melalui penelitian terhadap Perkara 11, kita dapat membuat tanggapan bahawa Perkara 11 memberikan kebebasan menukar agama dengan cara tidak langsung apabila Perkara 11(1) memperuntukkan kebebasan mengembangkan agama. Tidak seperti sebuah negara atau syarikat yang berkembang dengan pertambahan insfastuktur dan kekuatan kewangannya, agama berkembang dengan bertambahnya jumlah penganutnya. Oleh itu, kita dapat memahami bahawa dengan adanya kebebasan mengembangkan agama maka wujud jualah kebebasan menukar agama.

Dalam hal kebebasan menukar agama, pada kebiasaannya tidak menjadi isu apabila seorang yang bukan Islam menukar agamanya dan memeluk Islam. Namun apabila seorang Muslim menukar agamanya atau dalam kata lain murtad, seluruh komuniti Muslim di Malaysia akan tersentak dan merasakan kedudukan Islam telah diganggu-gugat. Perasaan sebegini bukanlah suatu perkara yang tidak rasional. Perasaan sebegini tercetus kerana komuniti Muslim rata-rata menyedari betapa murtad itu adalah suatu jenayah yang paling besar dan merupakan suatu pengkhianatan terhadap Islam. Tambahan pula dengan kewujudan undang-undang yang menyekat penyebaran agama lain kepada orang-orang Islam, tak tercapai dek akal bagaimana bole berleluasanya masalah murtad ini.

Dalam suatu kes yang saya kira sangat popular yakni kes Lina Joy, mahkamah telah diminta untuk memberi keputusan terhadap permohonan Lina Joy untuk mendaftarkan penukaran agamanya secara rasmi. Untuk sampai kepada keputusan yang diberikannya, mahkamah telah merujuk Perkara 160(2) berkenaan maksud 'Melayu':

"“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu..."

Berdasarkan maksud 'Melayu' yang diperuntukkan dalam Perkara 160(2), mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut kerana memandangkan si pemohon adalah seorang Melayu, tidak dapat tidak dia mesti kekal sebagai Islam kerana Perlembagaan memperuntukkan yang seorang Melayu mesti kekal sebagai seorang Islam.

Dalam suatu konferens undang-undang yang diadakan di USIM kira-kira 5 tahun yang lepas, saya berpeluang untuk bertanya kepada hakim yang mendengar kes Lina Joy di peringkat Mahkamah Tinggi berkenaan mengapa beliau menterjemahkan definisi Melayu dalam Perkara 160(2) sebagai suatu sifat tetap yang dilekatkan kepada seorang Melayu dan bukannya sebagai suatu syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang yang mahukan dirinya dikategorikan sebagai Melayu.

Mungkin anda tertanya-tanya apakah bezanya antara sifat yang dilekatkan dan syarat yang perlu dipenuhi. Bezanya adalah sekiranya definisi Melayu adalah sifat yang dilekatkan kepada seseorang Melayu sebagaimana yang digunapakai dalam kes Lina Joy maka dia mesti memiliki sifat-sifat tersebut dan tidak dapat lari atau meninggalkan sifat-sifat tersebut meskipun pada hakikatnya dia tidak memiliki sifat-sifat tersebut. Kesannya, seorang yang lahir dalam keluarga Melayu dan dicatatkan di dalam sijil beranaknya sebagai Melayu tidak akan bertukar menjadi bukan Melayu meskipun dia tidak memiliki sifat-sifat yang disebutkan dalam Perkara 160(2), meskipun dia tidak reti berbahasa Melayu dan meskipun dia tidak beragama Islam. Dia akan dianggap sebagai reti berbahasa Melayu dan beragama Islam hanya kerana sifat-sifat Melayu dilekatkan kepadanya berdasarkan Perkara 160(2).

Tetapi sekiranya definisi Melayu adalah suatu syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang yang mahu dirinya dikategorikan sebagai Melayu maka seseorang itu mempunyai pilihan untuk menjadi Melayu atau sebaliknya. Kesannya, seseorang yang lahir dalam keluarga Melayu tetapi tidak beragama Islam atau tidak reti berbahasa Melayu bukanlah seorang Melayu dari kacamata Perlembagaan walaupun surat beranaknya menyatakan yang dia adalah Melayu.

Namun malangnya persoalan saya ini tidak dijawab oleh hakim tersebut. Saya tidak tahu sama ada dia tidak faham soalan ataupun sengaja tidak mahu menjawab soalan.

Kita harus memahami bahawa meskipun Islam tidak membenarkan Muslim untuk murtad, ini tidak bermakna apabila seorang Muslim itu murtad, dia kekal sebagai Muslim. Islam tetap menghukumnya sebagai kafir. Lain pula halnya dengan pendekatan mahkamah dalam kes Lina Joy. Meskipun telah jelas dan nyata yang Lina Joy telah murtad, mahkamah tetap memutuskan yang dia Islam. Walaupun niat mahkamah tersebut boleh difahami sebagai suatu cara untuk menghalang orang Islam daripada murtad, pendekatan ini mempunyai kesan yang negatif (sila baca Is it the Court's Fault?).

Seterusnya, walaupun mahkamah telah memutuskan seorang Melayu tidak boleh menukar agamanya, ini tidak menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Melayu tidak boleh menukar agama walaupun pada hakikatnya dia telahpun menukar agama. Melayu tidak boleh menukar agama, bagaimana pula dengan orang Islam yang bukan Melayu? Alasan apa pula yang akan mahkamah berikan untuk menghalang seorang Islam yang bukan Melayu daripada menukar agamanya?

Sehingga kini, masalah ini belum ada penyelesaiannya. Masalah ini sebenarnya adalah masalah yang sangat serius yang menggugat kelansungan Islam di Malaysia. Lebih-lebih lagi di kala orang-orang Islam semakin giat menyebarkan fahaman mereka dan orang-orang Islam sendiri tidak begitu faham tantang agama mereka. Dalam pada ini, parti-parti politik yang Islam mahupun yang tidak berapa Islam sibuk berbalah merebut kuasa dan menjatuhkan satu sama yang lain tetapi hal-hal yang penting berkenaan orang Islam sebegini diabaikan dan tak dicari jalan penyelesaian.


No comments: