Pages

07 November 2012

Kebebasan Beragama (Bahagian 1)

Yang terkini menjadi bualan ramai adalah berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan dengan isu kebebasan beragama di Malaysia. Berikut adalah kenyataan kontroversi beliau:

(sila ambil perhatian bahawa apa yang saya ingin paparkan melalui tayangan di atas hanyalah ucapan yang disampaikan oleh YB Nurul Izzah. Sebarang mesej tambahan yang terkandung dalam video yang dibuat oleh tuan punya video tidak sama sekali menggambarkan pendapat saya terhadap isu ini)

"and when you ask me there is no compulsion is religion... how can anyone really says, "sorry this only applies to non-Malays", it has to apply equally. In the Qur'an there is no specific term for the Malay this is how it should be done..."

Anda juga bolah merujuk kenyataan beliau dalam laman web rasmi beliau:


Saya tidak mahu memberi 'hukuman' terhadap kenyataan di atas kerana saya tidak begitu pasti dalam konteks apakah sebenarnya dia menjawab soalan yang diberikan. Adakah dari sudut pandang Islam, sudut pandang Perlembagaan Persekutuan, pandangan peribadi beliau ataupun beliau sendiri tidak faham apa yang dikatakannya dan sekadar menjawab soalan tanpa berfikir secara mendalam.

Disebabkan itu, post kali ini akan membincangkan isu ini secara ilmiah tanpa menyerang peribadi ahli parlimen tersebut kerana apa yang disebut oleh ahli parlimen tersebut adalah tidak penting dan yang penting adalah hakikat sebenar kebebasan beragama dalam sudut pandang Islam dan juga situasi di Malaysia. 

Saya akan membahagikan post ini kepada 2 bahagian di mana dalam bahagian 1 kita akan lihat apakah pandangan Islam berkenaan kebebasan beragama manakala dalam bahagian 2 kita akan melihat undang-undang Malaysia berkenaan kebebasan beragama. 

Umum mengetahui tentang ayat popular yang sering dibaca oleh cerdik-pandai agama mahupun mereka yang pura-pura cerdik pandai dalam agama yakni Surah Al-Baqarah ayat 256:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ 
"Tiada paksaan dalam beragama..."

Meskipun ayat di atas tidak menyatakan sama ada ayat tersebut terpakai kepada orang Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam, dalam memahami maksud sebenar ayat di atas kita haruslah merujuk kepada pandangan para pentafsir Al-Qur'an.

Sebagaimana yang ditafsirkan oleh para pentafsir Al-Qur'an, ayat di atas bermaksud bahawa seorang yang bukan Islam itu TIDAK BOLEH dipaksa sama ada oleh individu Muslim mahupun Kerajaan Islam untuk memeluk Islam. Ayat ini terpakai kepada semua orang yang bukan Islam tanpa mengira bangsa termasuklah orang Melayu yang bukan Islam. Kesan daripada ayat ini, seorang Islam tidak boleh meletakkan pedang atau pisau dileher seorang kafir untuk memaksanya mengucap kalimah syahadah. Begitu juga sebuah kerajaan Islam tidak boleh memenjarakan atau mengungut untuk merampas harta milik orang kafir dengan tujuan untuk memaksanya memeluk Islam.

Hal ini jelas dipertontonkan oleh Rasulullah sendiri dan para sahabat baginda di mana mereka tidak pernah sekali-kali mengugut atau memaksa orang kafir untuk memeluk Islam. Bahkan mereka membenarkan orang-orang kafir hidup aman dalam wilayah yang ditakluki oleh orang Islam selagi mana mereka tidak memerangi orang Islam. Tambahan pula, orang kafir diberikan kebebasan untuk mengamalkan ajaran agama mereka tanpa sebarang sekatan.

Oleh itu, sekiranya ditanya, kepada siapakah ayat "tiada paksaan dalam beragama" itu terpakai maka jawapannya ialah kepada orang bukan Islam. Orang Islam tidak boleh menjadikan ayat di atas sebagai alasan untuk mereka murtad. Maka sudah tentu jawapan kepada persoalan di atas bukannya "it has to apply equally' ataupun "Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia". Bagi saya ini adalah tafsiran Al-Qur'an yang salah dan jawapan yang salah.

Sekiranya kita menjawab yang ayat di atas terpakai kepada seluruh umat maka secara langsung atau tidak kita memberi tanggapan bahawa orang Islam itu tidak dipaksa untuk kekal dalam agama Islam sedangkan hakikatnya ialah orang Islam itu dipaksa untuk kekal beragama Islam dan tidak mempunyai pilihan apatah lagi hak untuk menukar agamanya.

Dalam soal kebebasan beragama seorang Muslim, persoalan yang timbul adalah adakah seorang Muslim bebas untuk memilih agama yang mahu dianutinya atau dalam kata lain adakah seorang Muslim boleh meninggalkan Islam dan memeluk agama lain. Dalam hal ini kita mesti merujuk kepada sabda Rasulullah:

من بدل دينه فاقتلوه
"Barangsiapa yang menukar agamanya maka bunuhlah ia."

Hadith di atas antara lain dipegang oleh para fuqaha' yang menyatakan bahawa riddah adalah sebahagian daripada jenayah hudud dan mereka yang murtad wajib dikenakan hukuman bunuh. Namun secara tidak langsung, hadith di atas juga membawa maksud bahawa seorang Islam itu tidak mempunyai hak untuk menukar agamanya. 

Hadith ini pula terpakai kepada sekalian orang Islam tanpa mengira bangsa termasuklah orang Melayu yang beragama Islam. Oleh itu, setiap Muslim, Melayu atau selainnya tidak mempunyi pilihan atau kebebasan untuk meninggalkan agama Islam dan memeluk agama lain. Dan sekiranya ditanya pula, kepada siapa hadith di atas terpakai maka jawapannya adalah kepada orang Islam dan sudah tentu juga jawapannya bukan "it has to apply equally" ataupun "Ungkapan ini merangkumi seluruh umat manusia".

Meskipun seorang Muslim tidak diberi hak untuk menukar agamanya, ini tidak bermakna tiada langsung kebebasan beragama dalam Islam. Saya lebih cenderung untuk menyatakan bahawa kebebasan agama wujud dalam Islam TETAPI BUKAN dalam bentuk hak untuk memilih atau menukar agama. Sebaliknya, kebebasan agama yang diberikan oleh Islam adalah dari segi kebebasan untuk mengikut mana-mana mazhab yang seseorang itu merasa aman, sesuai dan selesa baginya dalam mengikutinya. Selain itu, kebebasan beragama dalam Islam juga hadir dalam bentuk pilihan untuk mengerjakan perkara-perkara yang sunat(mandub), harus dan makruh. 

Rasional disebalik ketakwujudan hak untuk menukar agama antara lain ialah apabila seorang itu memeluk agama Islam maka dia sepatutnya tahu bahawa segala apa yang ada pada dirinya termasuk nyawa, harta dan dirinya sendiri adalah hak mutlak Allah. Justeru dia tidak mempunyai pilihan melainkan untuk akur kepada kehendak Allah. 

Dalam hal ini, kejahilan tentang undang-undang Islam bukanlah suatu alasan yang membolehkan seorang Muslim itu menukar agamanya. Sebagaimana kejahilan undang-undang bukanlah suatu isu dalam undang-undang sivil begitu jugalah kejahilan undang-undang tidak menjadi isu dalam undang-undang Islam. Namun sifat masyarakat yang prejudis terhadap Islam telah memberikan layanan berat sebelah dan tidak adil terhadap Islam. Apabila undang-undang sivil menghukum seseorang disebalik kejahilannya dalam undang-undang, masyarakat mengatakan itu adalah keadilan. Namun apabila Islam melakukan perkara yang sama mereka mengatakan itu kezaliman dan kekejaman. Betapa dangkal akal mereka yang berfikiran sebegini. 

Bersambung ke bahagian 2...

1 comment:

Anonymous said...

personally, i felt that this is the best ever article written by u. non-biased and straight to the point. can't wait for the continuation of part 2. tqvm 4 the clarification.