Pages

27 September 2012

Kami Dengar dan Kami Ingkar

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ 

Ayat di atas menyebut tentang sifat orang-orang mu'min yang mana apabila disebutkan perintah-perintah Allah kepada mereka mereka bukan sahaja mendengar malah mereka taat akan perintah tersebut. Perintah-perintah Allah yang dimaksudkan di sini tidaklah kira sama ada yang secara langsung daripada Al-Qur'an dan Sunnah ataupun melalui sumber-sumber lain seperti Qiyas, Ijma' dan ijtihad para ulama kerana para ulama'lah yang memiliki kelayakan yang cukup untuk mengenalpasti perintah-perintah Allah yang mungkin kurang jelas bagi mereka yang tidak mempunyai pengajian ilmu khusus dalam bidang agama.

Namun senario pada zaman sekarang memperlihatkan situasi yang sebaliknya berlaku. Sebahagian orang Islam sudah berani menentang ulama' secara terang-terangan dan merasakan diri mereka lebih berilmu daripada para ulama' walhal mereka yang menentang ulama' ini tidak mempunyai latar belakang pengajian agama yang khusus. Dalam pada kecetekan ilmu mereka tentang ilmu usul fiqh dan kaedah istinbath hukum, mereka sewenang-wenangnya mempersoalkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan ulama' sekadar dengan hujah logik akal mereka dan dengan fitnah-fitnah yang dilontarkan terhadap ulama'.


Mereka menolak fatwa yang dikeluarkan oleh ulama' tanpa menilai sebab-sebab dan dalil-dalil yang digunakan dalam mengeluarkan fatwa tersebut tetapi mereka menolak fatwa cukup dengan sekadar mengatakan bahawa ulama' tersebut bersikap berat sebelah dan cenderung terhadap parti politik tertentu. Lihat betapa sikap buruk sangka dan taksub politik yang melampau telah menyebabkan Islam menjadi mangsa.

Senario ini diburukkan lagi dengan kehadiran sebahagian ulama' politik yang menggelar diri mereka ulama' tetapi tegar menyemai perasaan dan sifat buruk sangkan terhadap ulama' yang tidak sehaluan dengan mereka ataupun yang tidak bergiat aktif dalam parti politik mereka. Ulama' politik ini kemudiannya memburuk-burukkan imej ulama' lain dalam kalangan pengikut mereka supaya ulama' yang diburukkan itu dipandang enteng oleh masyarakat.

Pada hemat saya, di zaman ini ulama' politik itu tidak boleh diangkat sebagai sebenar-benar ulama' sepertimana ulama' pada zaman dahulu yang mana walaupun mereka merupakan pemerintah atau pegawai negara tetapi pegangan mereka terhadap agama tidak digoyahkan oleh kedudukan politik mereka. Namun pada zaman ini ulama' politik tidak boleh diangkat sebagai ulama' sebenar kerana mereka sendiri telah menjerumuskan diri ke arena fitnah politik lebih-lebih lagi dalam keadaan sistem politik kepartian.

Saya beri contoh, ada ulama' politik yang terpaksa berdiam diri melihat kemungkaran yang dilakukan oleh sekutu mereka semata-mata untuk mengelakkan suasana tegang dalam gabungan politik mereka. Meskipun bukan ulama' tersebut yang melakukan kemungkaran tetapi berdiam diri dan merelakan kemungkaran itu berlaku sudah dengan sendirinya suatu kemungkaran. Dengan mendiamkan kemungkaran, layakkan seseorang itu digelar ulama?

Seterusnya, sebahagian orang Islam menolak fatwa hanya kerana ingin memelihara kepentingan peribadi mereka dan mengeluarkan hujah-hujah logik akal tanpa berpandukan Al-Qur'an dan Sunnah. Contohnya.  awal tahun ini Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa pengharaman perniagaan forex yang berpaksikan pertukaran wang asing. Saya tidak arif tentang dalil dan hujah pengharaman ini  tetapi sebagai seorang Islam, saya meletakkan kepercayaan kepada para cerdik pandai dalam bidang agama  dalam mengeluarkan hukum dan saya percaya bahawa fatwa yang mereka keluarkan itu berdasarkan dalil-dalil syara'.

Namun keghairahan ingin kaya telah menggelapkan mata ramai orang Islam yang masih berdegil dan masih bergiat aktif dalam perniagaan forex. Mereka melontar fitnah kononnya fatwa tersebut adalah propaganda kerajaan dan menolak fatwa tersebut dengan alasan forex tidak diharamkan di negara jiran. Namun mereka jahil bahawa perbezaan zuruf tempat dan maslahah boleh menyebabkan perbezaan hukum dan dengan sebab perbezaan zuruf ini juga Mahzab Syafie sendiri mempunyai Qaul Qadim dan Qaul Jadid. Namun mereka yang tidak belajar ilmu usul fiqh sewenang-wenang mengutuk para ulama' walhal mereka sendiri yang jahil.

Saya tidak menafikan bahawa ulama' juga membuat kesilapan kerana mereka adalah manusia biasa. Namun kebarangkalian mereka untuk membuat kesilapan dalam berfatwa adalah lebih tipis berbanding sekiranya kita yang tidak mahir dalam ilmu agama ini membuat fatwa sendiri. Tambahan pula fatwa yang dikeluarkan itu adalah fatwa daripada sekelompok ulama' dan bukannya fatwa individu. Maka adalah tidak wajar untuk kita melontarkan tuduhan dan fitnah terhadap institusi agama.

Pengajarannya di sini adalah kita harus sedar kemampuan dan kedudukan diri kita. Sekiranya kita seorang yang kurang mahir dalam agama maka seharusnya kita mengikut pandangan mereka yang lebih mahir dan mempunyai kepakaran dan bukannya membuat tuduhan dan fitnah dengan tidak semena-mena yang akhirnya akan merosakkan diri kita sendiri dan agama Islam secara amnya.


No comments: