Pages

16 August 2012

Kewajipan Zakat Fitrah


Apabila tibanya bulan Ramadhan, selain daripada kewajipan berpuasa terdapat satu lagi kewajipan bagi setiap mukallaf yang berkemampuan yakni menunaikan zakat fitrah. Zakat fitrah difardhukan bermula pada tahun kedua hijrah sebagaimana menurut khabar yang disampaikan oleh Ibn Umar:

"Rasulullah telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas sekalian manusia sebanyak segantang tamar atau segantang barli. (Difardhukan) ke atas setiap yang merdeka mahupun hamba, lelaki ataupun perempuan daripada kalangan muslimin".

Keempat-empat Imam bersepakat bahawa zakat fitrah difardhukan ke atas setiap muslim yang merdeka tidak kira lelaki atau perempuan, yang kecil mahupun dewasa. Ibn Al-Munzir berkata, "telah berijma' (bersepakat) para ahli ilmu bahawa zakat fitrah itu fardhu".


Mazhab Hanafi meletakkan 3 syarat wajib bagi zakat fitrah yakni Islam, merdeka dan memiliki nisab harta yang melebihi keperluan asasnya. Mazhab Maliki dan Syafie tidak memfardhukan zakat fitrah ke atas hamba kerana hamba tidak memiliki harta tetapi Mazhab Hanbali berpendapat sebaliknya yakni hamba wajib membayar zakat fitrah berdasarkan umum khabar yang disebutkan di atas.

Barangsiapa yang diwajibkan membayar zakat fitrah bagi dirinya sendiri maka wajib juga padanya untuk membayar zakat fitrah bagi mereka yang berada di bawah tanggungannya seperti ibu bapanya yang miskin dan anak-anaknya yang belum baligh. Menurut Mazhab Hanafi, bapa wajib membayar zakat fitrah anak perempuannya sehinggalah anak perempuannya itu berkahwin. Jumhur berpendapat zakat fitrah bagi seorang tanggungan boleh dibayar oleh orang yang menanggungnya tanpa perlu keizinan.

Waktu wajib membayar zakat fitrah menuruh Mazhab Hanafi ialah selepas terbit fajar Hari Raya Aidulfitri tetapi jumhur fuqaha' berpendapat waktu wajibnya ialah setelah terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan (malam hari raya). Ini bermakna sekiranya seorang itu mati pada malam raya maka tidak wajib baginya zakat fitrah menurut Mazhab Hanafi tetapi wajib menurut jumhur.

Mazhab Hanafi dan Syafie mengharuskan pembayaran zakat fitrah dibuat bermula daripada awal Ramadhan lagi. Walaubagaimanapun, mazhab Maliki dan Hanbali pula berpendapat harus mengawalkan pembayaran zakat fitrah sehari atau dua hari sebelum hari raya tetapi tidak lebih awal daripada itu.

Mazhab Syafie berpendapat bahawa disunatkan agar tidak dilambatkan pembayaran zakat fitrah sehingga selepas solat hari raya dan haram menangguhkan pembayarannya sehingga berakhir (terbenam matahari) 1 Syawal. Mazhab Hanbali turut berpendapat bahawa lebih afdhal membayar zakat fitrah sebelum solat hari raya. Waktu pembayaran zakat fitrah berakhir apabila terbenamnya matahari 1 Syawal.

Menurut Mazhab Hanafi, zakat fitrah boleh dibayar menggunakan segantang gandum, tamar, barli atau kismis. Jumhur Fuqaha' berpendapat harus mengeluarkan zakat fitrah menggunakan apa-apa bijiran atau buahan yang menjadi makanan asasi suatu kaum dengan sukatan sebanyak segantang. 

Seterusnya Mazhab Hanafi berpendapat harus mengeluarkan zakat fitrah dengan cara membayar nilai barang-barang di atas menggunakan duit. Mereka berhujah bahawa hikmah disebalik zakat fitrah itu adalah untuk meringankan beban orang-orang miskin dan hikmah ini tetap tercapai melalui pembayaran zakat fitrah menggunakan wang. Jumhur fuqaha' bagaimanapun tidak bersetuju dan mengatakan tidak harus menunaikan zakat fitrah menggunakan duit. Jika dibayar menggunakan duit maka tidak terlangsai kewajiban zakat fitrah itu.

Rujukan:
1) Fiqh Al-Islamiy wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaily

No comments: