Pages

30 July 2012

Perihal Niat Puasa

Tatkala tibanya bulan Ramadhan, umum mengetahui bahawa sekalian umat Islam yang mukallaf diwajibkan untuk berpuasa sebulan penuh melainkan dengan sebab-sebab yang dibenarkan oleh Syara'. Namun begitu, kadang kala kita terlihat beberapa individu yang tidak berpuasa bukan dengan sebab yang dibenarkan syara' seperti haid bagi kaum perempuan ataupun dengan alasan musafir atau sakit tetapi individu tersebut tidak berpuasa dengan alasan dia terlupa untuk berniat puasa pada malam sebelumnya. Hal yang sebegini sebenarnya amat mendukacitakan kerana perkara ini berlaku dek kejahilan ilmu tentang ibadah puasa. Justeru dalam post kali ini kita akan membicarakan soal niat puasa Ramadhan.

Persoalan utama yang ingin kita jawab dalam post kali ini ialah adakah sah ibadah puasa tanpa niat dan bagaimanakah bentuk niat yang dituntut.

Para fuqaha' bersepakat bahawa niat dituntut dalam semua jenis puasa tidak kira yang wajib mahupun yang sunat. Tanpa niat, tidak sah puasa tersebut meskipun seseorang itu tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa. Dalam soal niat puasa, Rasulullah bersabda:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ حَفْصَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ : مَنْ لَمْ يَجْمَعْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ . رَوَاهُ الْخَمْسَةُ
Dari Ibnu Umar, dari Hafsah, dari Nabi ﷺ, beliau bersabda: ”Barangsiapa tidak berniat puasa sebelum fajar, maka sama sekali tidak ada puasa baginya”. (Riwayat Imam yang Lima)

Dalam suatu hadith yang lain Rasulullah bersabda:

وَعَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ : هَلْ عِنْدَكُمْ مِنْ شَيْءٍ ؟ فَقُلْنَا : لَا ، فَقَالَ : فَإِنِّي إذَنْ صَائِمٌ ، ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ ، فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أُهْدِيَ لَنَا حَيْسٌ ، فَقَالَ : أَرِينِيهِ فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا فَأَكَلَ . رَوَاهُ الْجَمَاعَةُ إلَّا الْبُخَارِيَّ


Dan dari ‘Aisyah, ia berkata: Pada suatu hari Rasulullah ﷺ masuk ke rumah kami, lalu beliau bertanya: “Apa engkau mempunyai makanan?” Kami menjawab: Tidak. Lalu beliau bersabda: “Kalau begitu sekarang aku berpuasa”. Kemudian pada hari lain beliau datang ke tempat kami lagi, lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Kami diberi hadiah makanan (his). Lalu ia bersabda: “Cuba perlihatkan kepadaku, sebab hari ini aku berpuasa”, lalu la makan. (HR Jama’ah, kecuali Al-Bukhari)

Berdasarkan dua hadith yang di atas, fuqaha' berpendapat bahawa tidak sah bagi seseorang itu berpuasa wajib melainkan dengan niat puasa sebelum masuk waktu subuh hari tersebut. Lain pula halnya dengan puasa sunat di mana fuqaha berpendapat sah puasa sunat sekiranya seseorang itu berniat puasa walaupun sesudah masuknya waktu subuh tetapi sebelum gelincirnya matahari. Maka dengan ini jelas bahawa niat puasa Ramadhan mesti dilakukan sebelum masuknya waktu subuh hari tersebut.


Persoalan seterusnya, adakah niat puasa itu mesti dilakukan pada tiap-tiap malam atau memadai dilakukan sekali sahaja di awal bulan Ramadhan.


1) Jumhur ulama' berpendapat bahawa niat puasa Ramadahn dituntut pada tiap-tiap malam. Mereka berhujah bahawa puasa pada setiap hari adalah berasingan dan tidak bergantung pada hari yang lain. Justeru, niat dituntut bagi setiap hari yang berbeza.
2) Mazhab Maliki berpendapat bahawa memadai niat puasa Ramdahn dengan sekali niat di awal Ramadhan selama mana tidak terputus kewajipan berpuasa ke atas seseorang itu dengan sebab musafir, sakit, haid, gila dan lain-lain. Sekiranya terputus maka wajib ke atasnya untuk memperbaharui niatnya.  

Seterunya, mestikah niat puasa Ramadhan itu dilakukan dengan terperinci.

Antara pendapat yang dikeluarkan oleh Mazhab Hanafi ialah sah puasa Ramadhan dengan niat umum tanpa memperincikan yang puasa itu adalah puasa Ramadhan dan sah juga puasa Ramadhan walaupun seseorang itu berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan niat puasa sunat. Hujah yang diberikan oleh mereka yang berpegang dengan pendapat ini adalah kerana puasa Ramadhan itu tergolong dalam kategori 'wajib mudhayyaq' yakni ibadah wajib yang telah ditetapkan padanya waktu yang khusus yang mana ibadah tersebut tidak boleh dilakukan melainkan dalam waktu tersebut (melainkan secara qada').


Walaubagaimanapun, Jumhur fuqaha' menyatakan bahawa niat puasa secara umum adalah tidak memadai dan mesti diperincikan bahawa puasanya untuk hari esok itu adalah untuk menunaikan fardhu Ramadhan. Jika seseorang berniat dengan niat lain selain daripada puasa Ramadhan maka tidak terlangsailah kewajipan puasa ke atasnya dan mesti diganti dengan hari yang lain kerana niat puasa tersebut adalah tidak memadai.


Soalan seterusnya bagaimanakah bentuk niat yang memadai bagi seseorang yang ingin berpuasa wajib?


Niat dita'rifkan sebagai pegangan hati dan azam untuk melakukan sesuatu tanpa keraguan. Apabila terlintas di dalam hati seseorang yang dia mahu berpuasa esok maka orang itu telahpun berniat puasa. Lafaz niat puasa seperti yang diajar di sekolah-sekolah bukanlah suatu perkara yang dimestikan. Apa yang penting ialah terlintas di dalam hati seseorang bahawa dia ingin berpuasa esok maka itu sudah mencukupi.


Jumhur fuqaha berpendapat bahawa sahur itu sendiri adalah memadai sebagai niat puasa kecuali sekiranya seseorang itu berniat untuk tidak berpuasa pada esok harinya. Meskipun begitu, Mazhab Syafie tidak bersetuju dan mengatakan bersahur adalah tidak memadai sebagai niat kecuali terlintas di hatinya untuk berpuasa esok hari. 

Rujukan:
1) Fiqh Al-Islamy wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaily
2) Usul Al-Fiqh Al-Islamy karangan Dr. Zaqiuddin Sya'ban
3) Nail Awtar

Pautan:
Segalanya kerana Niat oleh Dr. MAZA


No comments: