Pages

13 May 2012

Bersih 3.0 Haram?

Majlis Fatwa Kebangsaan melalui Muzakarah kali ke-99 tahun 2012 memutuskan bahawa menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara adalah haram di sisi agama Islam (mStar Online). Tidak lama selepas itu, mulalah ulama' pro-Bersih 3.0 tersentak dengan tidak semena-mena seolah-olah fatwa yang diberikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) merupakan suatu penampar tepat ke pipi mereka lantas menuduh MFK mengeluarkan fatwa tersebut bukan berlandaskan agama tetapi semata-mata untuk memihak kepada kerajaan atau secara khususnya UMNO.

Saya merasa sangat pelik kerana MFK tidak sekali-kali merujuk kepada Bersih 3.0 sebaliknya memberikan fatwa tersebut secara umum tidak terhad kepada Bersih 3.0 sahaja tetapi memandangkan Bersih 3.0 sememangnya suatu perhimpunan yang menghuru-harakan negara maka Bersih 3.0 ternyata sebuah perhimpunan yang haram disertai. Pihak yang pro-Bersih 3.0 tidak henti-henti bertempik bahawa Bersih 3.0 adalah perhimpunan aman menuntut demokrasi disebalik keganasan dan huru-hara yang berlaku ketika Bersih 3.0. Yang jelas mereka cuba menafikan suatu yang telah terang-terang berlaku. Tida kira sekuat manapun teriakan anda tentang amannya Bersih 3.0, hakikatnya ialah keganasan dan huru-hara telahpun berlaku dan tidak seorangpun beoleh menafikan hakikat ini.
Mereka kemudiannya menyalahkan polis kerana kononnya polislah yang memulakan provokasi yang mencetuskan keganasan yang berlaku. Namun jika difikirkan secara logik, bukankah penganjur Bersih 3.0 sendiri yang menempah keganasan tersebut supaya berlaku kerana mereka sudah dapat menjangka dan membayangkan apabila perhimpunan dianjurkan ditempat yang terlarang, pastinya akan berlaku pertembungan atau konfrontasi antara peserta dan pihak polis. Justeru mengapa polis disalahkan apabila anda sendiri yang menempah konfrontasi berlaku. 

Perkataan 'aman' bukan suatu perlataan magis yang mana bila anda menyebutnya keadaan akan menjadi aman. Aman itu direalisasikan melalui tindak-tanduk anda. Malangnya tindak tanduk penganjur Bersih 3.0 lebih menjurus ke arah menunjukkan bahawa mereka sengaja mahukan keganasan berlaku walaupun mulut temberang mereka berzikir kata 'aman'.

Berbalik kepada soal fatwa yang dikeluarkan MFK, ada pihak yang menempelak MFK kerana mengeluarkan fatwa pengharaman perhimpunan yang mencetuskan huru-hara tetapi sebaliknya tidak pula mengeluarkan fatwa haram terhadap tindakan pihak polis yang tidak solat ketika berkawal untuk Bersih 3.0. Saya tidak tahu di mana individu ini tahu yang polis tersebut tidak solat tetapi apa yang saya ingin tonjolkan di sini adalah tuduhan individu tersebut terhadap MFK yang dikatakan sebagai berat sebelah.

Saya tidak dapat menahan diri daripada mengatakan orang yang berhujah sebegini adalah orang yang pendek akal lagi dangkal. Dia tidak memahami konsep sebenar fatwa. Fatwa dikeluarkan bagi memutuskan perkara yang samar atau tidak pasti dari segi hukumnya tetapi bukan suatu perkara yang telah pasti dan diyakini hukumnya. Kita tidak perlukan fatwa untuk mengatakan solat itu wajib dan tak perlu fatwa untuk mengatakan zina itu haram. Orang yang paling cetek ilmu agama pun tahu tentang hukum ini kerana terlalu jelas hukumnya. Jadi hujah sebegini adalah ternyata hujah murahan, mungkar dan berniat buruk digunakan untuk mencalar kredibiliti MFK demi menyokong Bersih 3.0.

Seterusnya puak pro-Bersih 3.0 menuduh pula MFK bersekongkol dengan UMNO demi memastikan UMNO kekal berkuasa. Saya merasakan ini adalah tuduhan kotor dan jijik dan tidak sepatutnya dilemparka kepada para ilmuan yang diberi tanggungjawab untuk memelihara hal ehwal agama Islam di negara kita. Masalahnya ialah disebalik ajaran Islam yang menyuruh penganutnya bersangka baik, ulama' pro-Bersih 3.0 mengajar orang Islam supaya bersangka buruk tetapi dalam pada itu tegar menuduh orang lain yang menyalahi ajaran agama.

Islam bukan sahaja mengharamkan keganasan dan huru-hara bahkan perkara yang berpotensi besar untuk mencetuskan huru-hara juga adalah haram. Jika anda melihat kepada realiti Bersih 3.0 maka tidak ragu lagi sememangnya Bersih 3.0 berpotensi mencetuskan keganasan bahkan telahpun menyebabkan keganasan. Semangat kebencian itu telahpun ditanam ke dalam diri para peserta sebelum perhimpunan berlangsung. Hasrat menjatuhkan kerajaan terpapar dengan "laungan hancur kerajaan dan UMNO" dan mereka mendakwa ingin menegakkan demokrasi. Anda tidak bersetuju dengan kerajaan tidak mengapa asalkan anda menggunakan saluran yang sah.

Pada pendapat saya sejak pengajur Bersih 3.0 berkeras mahu menganjurkannya di kawasan yang terlarang, Bersih 3.0 telahpun menjadi haram disertai kerana melanggar undang-undang dan berpotensi besar mencetuskan keganasan tetapi sebaliknya sekiranya Bersih 3.0 dianjurkan dikawasan selamat seperti kawasan padang atau stadium yang mendapat kebenaran makanya Bersih 3.0 akan menjadi harus. 

Keputusan MFK bukan sesuatu yang harus dipertikaikan melainkan anda rasa diri anda lebih bijak memahami Al-Qur'an dan Sunnah serta berkelulusan agama lebih tinggi daripada mereka. Sebaliknya sekiranya anda tidak bersetuju hanya kerana pegangan politik anda maka adalah sepatutnya anda diam kerana masyarakat tidak perlu kepada idea yang tidak berlandaskan ilmu tetapi dipengaruhi kebodohan dan ketaksuban politik.


1 comment:

Anonymous said...

http://www.youtube.com/watch?v=t-Hl2ep_NkY