Pages

25 March 2012

Ketuanan Melayu atau Affirmative Action?


Untuk pengetahuan umum, perkataan 'Ketuanan Melayu' tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi apakah sebenarnya yang dirujuk dan diperjuangkan secara bermati-matian sebagai Ketuanan Melayu oleh orang Melayu di Malaysia ini?

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu kedudukan yang istimewa kepada orang Melayu dan anak negeri (peribumi) di Sabah dan Sarawak. Kedudukan istimewa ini meliputi peruktukan tanah rizab, kuota dalam penjawatan awam, biasiswa, dana siswa, kemudahan khas, pendidikan khas dan keutamaan dalam pemberian lesen dan permit. Istilah yang lebih tepat untuk merujuk kepada perkara ini adalah Keistimewaan Melayu dan bukannya Ketuanan Melayu. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan yang kaum Melayu mesti menjadi tuan bahkan dari segi pelantikan Perdana Menteri itu sendiri, Perlembagaan tidak menyatakan yang Perdana Menteri mestilah seorang Melayu.


Dari sudut undang-undang, Keistimewaan Melayu ini dikategorikan sebagai suatu bentuk polisi yang disebut sebagai 'Affirmative Action' atau 'Positive Discrimination'. Affirmative action dalam bahasa mudahnya merujuk kepada pemberian layanan instimewa terhadap satu kelas dalam masyarakat sebagai suatu timbal balas atau pembetulan bagi diskriminasi yang telah dikenakan ke atas mereka pada masa silam. Bukan sahaja Malaysia, banyak negara lain di dunia ini yang mengamalkan affirmative action termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Australia dan New Zealand.

Dalam konteks amalan affirmative action di Malaysia, orang Melayu diberikan keistimewaan mengatasi bangsa lain bagi memperbetul penindasan yang dilakukan ke atas orang Melayu pada zaman pendudukan British di Malaysia. Pada waktu itu, British mempunyai polisi untuk mengekalkan orang Melayu di kampung dan membiarkan orang Melayu mundur dari segi ekonomi supaya mereka tidak berupaya untuk menentang British meskipun mereka memegang majoriti dari segi populasi. 

Apabila negara mencapai kemerdekaan, bagi memastikan orang Melayu tidak ketinggalan dan disisihkan daripada tanah air mereka sendiri, Perlembagaan dirangka dengan salah satu cirinya ialah memberi perlindungan kepada orang Melayu dan memastikan kelansungan mereka. 

Meskipun affirmative action bukanlah suatu perkara yang asing di antara negara-negara di dunia, amalan affirmative action di Malaysia adalah unik dan satu-satunya. Ini kerana amalan affirmative action di negara-negara lain digunakan untuk melindungi kaum minoriti yang tertindas tetapi di Malaysia affirmative action digunakan untuk melindungi kaum majoriti yang merupakan kaum peribumi.

Namun disebalik segala kemudahan, kelebihan dan keistimewaan yang diberikan dan setelah lebih 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu masih belum mampu mencapai target pemilikan ekuiti apatah lagi mendominasi dari sudut ekonomi. Kekayaan dan kemewahan negara dieksploitasi oleh bangsa lain yang asalnya adalah pendatang. Ramai lagi orang Melayu yang menjadi bangsat di negara sendiri. 

Tanpa menyedari hakikat ini, orang Melayu berani dengan bangganya memperjuangkan ketuanan Melayu. Orang Melayu selesa jadi bangsat asalkan orang panggil dia tuan. Anak bangsa lain sibuk memperkembangkan kebolehan diri tapi anak Melayu sibuk mengulang subjek di universiti setelah gagal berulang-kali. Anak bangsa lain sibuk mengumpul kekayaan tapi anak Melayu sibuk bergaduh berebut perempuan. Orang lain berfikir masalah negara dan bangsa tapi anak Melayu sibuk menonton drama Korea di komputer. Orang lain punyai pemikiran kelas antarabangsa tapi anak Melayu fikir nak 'enjoy' saja. Orang lain sibuk bekerja tapi anak Melayu dok merusuh di jalan raya. Orang Melayu masuk universiti bukan untuk pelajaran tapi sebab nak cari teman, sibuk berpolitik kampus dan bergaduh pula dengan sesama rakan.

Mujur saja orang Melayu masih lagi merupakan populasi majoriti di Malaysia dan dengan sebab itu mereka berupaya mendominasi arena politik dan masih dapat mengekalkan kuasa pemerintahan. Pada hakikatnya Ketuanan Melayu hanyalah merujuk kepada populasi orang Melayu sebagi majoriti walhal Perlembagaan Persekutuan tidak memperuktukkan perkara ini. Bayangkan apa akan berlaku apabila orang Melayu bukan lagi populasi majoriti. Orang Melayu akan hilang kuasa pemerintahan dan mereka tidak pula mempunyai kekuatan ekonomi. 

Tak mengapa, orang Melayu masih lagi tuan. Tapi bezanya pada masa itu orang Melayu adalah 'Tuan dalam buangan'. Terbuang dan terhina di negara sendiri.

No comments: