Pages

25 February 2012

Judicial Independence (Versi Sang Pendeta syfadh)


Post kali ini ditulis sebagai suatu reaksi kepada tulisan bertajuk Judicial Independence oleh Tun Dr. Mahathir di dalam blog beliau. Tulisan tersebut sebenarnya ditulis oleh Dr. Mahathir untuk membidas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin yang mengkritik tindakan Dr. Mahathir meminda Perlembagaan pada tahun 1988 dan menyebabkan Institusi Kehakiman kehilangan kuasanya (Article 121 amendment condemned) sekaligus menghilangkan kebebasan badan kehakiman (judicial independence). Tun Dzaiddin turut menyatakan bahawa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas merupakan salah satu contoh pencabulan yang dibuat oleh kerajaan terhadap badan kehakiman.

Dr. Mahathir bagaimana pun menafikan yang pindaan tersebut merupakan suatu bentuk pencabulan terhadap badan kehakiman lantas menidakkan penglibatan beliau dalam pemecatan Tun Salleh Abbas. Beliau sebaliknya berkata bahawa pemecatan Tun Salleh adalah di atas kehendak Yang di-Pertuan Agong ketika itu (Sultan Johor) dan proses pemecatan dibuat oleh tribunal yang ditubuhkan berlandaskan Perlembagaan. Justeru post kali ini bertujuan untuk menganalisis kebenaran di sebalik kenyataan Dr. Mahathir ini.

Memandangkan YDPA yang memerintah pada ketika itu telah mangkat, maka dengan sebab itu kita tidak dapat bertanya adakah benar baginda yang meminta supaya Tun Salleh dipecat, apa yang tinggal adalah untuk kita melihat sama ada pemecatan Tun Salleh dibuat berlandaskan perlembagaan. Peristiwa yang lebih dikenali dengan nama Krisis Badan Kehakiman 1988 bermula apabila Perdana Menteri, Dr. Mahathir mula melahirkan rasa tidak puas hati kerajaan terhadap keputusan mahkamah di dalam beberapa kes seperti JP Berthelesen dan Dato' Yap Peng di dalam dan di luar Parlimen. Rentetan daripada itu, Tun Salleh selaku Ketua Hakim, selepas berbincang dengan beberapa hakim yang lain menulis surat kepada YDPA untuk mengadu tentang perihal ini. Perkara ini diketahui oleh Perdana Menteri lalu sebuah tribunal ditubuhkan untuk memecat Tun Salleh atas tuduhan salah laku dan tidak berupaya menjadi Ketua Hakim (Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan memperutuntukkan seorang hakim tidak boleh dipecat melainkan atas sebab salah laku atau ketidak upayaan yang mana diputuskan melalui tribunal).

Jika dilihat daripada kasarnya, sememangnya pemecatan ini dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Namun jika dilihat dengan teliti, perkara sebaliknya yang berlaku. Tribunal yang ditubuhkan itu hanyalah ditubuhkan atas nama prosedur tetapi prinsip keadilan sebenar tidak diamalkan. Meskipun terdapat dua orang hakim dari luar negara dipilih menjadi anggota tribunal tersebut, tribunal tersebut dikepalai oleh individu yang mendapat manfaat paling besar daripada pemecatan Tun Salleh yakni dilantik sebagai Ketua Hakim untuk menggantikan Tun Salleh. Tambahan lagi, Pengerusi Tribunal, Tun Abdul Hamid tersebut merupakan salah seorang hakim yang terlibat dalam perbincangan dan bersetuju supaya Tun Salleh menulis surat kepada YDPA yang mana merupakah sebab utama pemecatan Tun Salleh. Tun Salleh membantah ketidakadilan ini namun mahkamah enggan memberi bantuan.

Seterusnya Tun Salleh bertindak memintah bantuan Mahkamah Agung walaubagaimanapun 5 orang hakim Mahkamah Agung yang mendengar kes beliaun turut digantung daripada tugas lima hari kemudian. Akhirnya, Tun Salleh tribunal memecat Tun Salleh daripada jawatan Ketua Hakim Negara dan Tun Abdul Hamid dilantik menggantikan tempatnya. 

Nah, setelah mengetahui hakikat ini adakah anda masih berpendapat yang Tun Salleh dipecat mengikut perlembagaan. Masihkah anda percaya yang kerajaan tidak ada kena mengena dengan pemecatan Tun Salleh. Sememangnya Perlembagaan tidak mengkhususkan cara bagaimana anggota-anggota tribunal sepatutnya dipilih. Tetapi ini tidak bermakna prinsip-prinsip asas keadilan boleh diabaikan. Keadilan itu sendiri adalah prinsip asas perlembagaan meskipun tiada peruntukan khusus menyebut tentangnya. Dr Mahathir sendiri mengakui bahawa Perlembagaan digubal oleh manusia dan dengan sebab itu Perlembagaan tidak sempurna. Maka dengan sebab itu dalam kita menuruti kehendak Perlembagaan, prinsip-prinsip keadilan mesti dipatuhi.

Sehingga ke hari ini, Krisis Kehakiman 1988 masih menghantui badan kehakiman negara. Kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman masih belum dapat dipulihkan sepenuhnya. Dr Mahathir mungkin menafikan campur tangan beliau terhadap badan kehakiman tetapi bekas Ketua Hakim sendiri telah mengakui hakikat ini dan fakta di atas tidak berbohong. Biarkan saja Dr. Mahathir selamanya dalam penafian.


No comments: