Dalam post kali ini kita akan membicarakan soal yang kerap kali kita dengar dicanang dan diperjuangkan ramai orang terutamanya ahli-ahli politik yakni tentang hak asasi manusia atau human rights. Situasi semasa memperlihatkan bagaimana soal hak asasi manusia ini begitu hebat diperjuang dan diutamakan sehingga ke suatu tahap di mana hak asasi manusia dianggap seolah-olah suatu agama yang baru. Manakan tidak, atas nama hak asasi manusia, agama-agama yang sedia ada yang telah wujud sejak beratus tahun dahulu dikritik, diketepikan dan dikatakan tidak relevan semata-mata kerana bertentangan dengan apa yang dikatakan sebagai hak asasi manusia.
Soal hak asasi manusia bermula secara formalnya apabila negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersepakat untuk membuat suatu deklarasi yang dipanggil Universal Declaration of Human Rights (UDHR) pada tahun 1948. Bermula daripada itu, setiap negara anggota PPB berusaha bertungkus-lumus untuk membangunkan hak asasi manusia dan mengaplikasikan hak asasi manusia di dalam negara mereka. Namun pada hakikatnya, UDHR bukanlah suatu instrumen yang mengikat (binding) dan wajib untuk dipatuhi. UDHR hanyalah berfungsi sebagai suatu rekod persefahaman antara negara-negara anggota PBB untuk mengiktiraf hak asasi manusia dan tidak lebih daripada itu.
Hak asasi manusia bukanlah suatu perkara yang asing dalam agama Islam. Bahkan Islamlah yang mula-mula mempelopori hak asasi manusia. Di saat bangsa Arab Jahiliyyah memandang wanita tanpa nilai lalu ditanam hidup-hidup, Islam mengangkat martabat kaum wanita sebagai isteri dan ibu serta menjamin hak mereka untuk hidup. Ketika warna kulit menjadi faktor penentu status seseorang dalam masyarakat barat, Islam mengajar bahawa setiap manusia adalah sama dan setaraf. Ketika mana di dalam Common Law seorang isteri tidak boleh memiliki harta dan membuat tuntutan di mahkamah melainkan atas nama suaminya, Islam mengiktiraf hak wanita ke atas harta dan hak membuat tuntutan di mahkamah.
Di saat raja-raja disembah, Islam menghapuskan segala bentuk penyembahan terhadap sesama manusia. Ketika mana Common Law tidak mengenal erti audi alteram partem (hak untuk didengar), Islam telah terlebih dahulu mengintiraf hak untuk didengar. Di saat sistem kasta diamalkan secara meluas di India, Islam mengajar bahawa setiap manusia itu adalah setara. Ketika mana wanita Hindu dibakar hidup-hidup bersama mayat suaminya, Islam mengiktiraf hak wanita untuk hidup.
Namun Islam sebagai suatu agama yang selari dengan fitrah manusia menetapkan bahawa hak asasi bukanlah suatu hak yang bersifat mutlak. Ini demi menjaga martabat dan kepentingan manusia itu sendiri yang diiktiraf sebagai sebaik-baik kejadian. Hak asasi mesti dibatasi dengan agama dan moral. Jika tidak maka tiada bezanya antara manusia dengan haiwan. Bahkan manusia akan menjadi lebih hina dan teruk daripada binatang. Sedangkan binatang pun tidak melakukan hubungan sejenis tetapi ada manusia yang melakukan hubungan sejenis dan ada pula pihak yang menyokongnya. Sedangkan binatang pun tidak melakukan seks luar tabi'i tetapi ada manusia yang melakukmannya dan ada pula pihak yang memperjuangkannya.
Namun jika ada golongan yang ingin menjadi lebih hina daripada binatang, apalah yang boleh kita lakukan. Tetapi yang penting, jangan ajak orang lain untuk jadi binatang seperti anda. Harap maklum.



0 comments:
Post a Comment