Pages

25 February 2012

Judicial Independence (Versi Sang Pendeta syfadh)


Post kali ini ditulis sebagai suatu reaksi kepada tulisan bertajuk Judicial Independence oleh Tun Dr. Mahathir di dalam blog beliau. Tulisan tersebut sebenarnya ditulis oleh Dr. Mahathir untuk membidas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin yang mengkritik tindakan Dr. Mahathir meminda Perlembagaan pada tahun 1988 dan menyebabkan Institusi Kehakiman kehilangan kuasanya (Article 121 amendment condemned) sekaligus menghilangkan kebebasan badan kehakiman (judicial independence). Tun Dzaiddin turut menyatakan bahawa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas merupakan salah satu contoh pencabulan yang dibuat oleh kerajaan terhadap badan kehakiman.

Dr. Mahathir bagaimana pun menafikan yang pindaan tersebut merupakan suatu bentuk pencabulan terhadap badan kehakiman lantas menidakkan penglibatan beliau dalam pemecatan Tun Salleh Abbas. Beliau sebaliknya berkata bahawa pemecatan Tun Salleh adalah di atas kehendak Yang di-Pertuan Agong ketika itu (Sultan Johor) dan proses pemecatan dibuat oleh tribunal yang ditubuhkan berlandaskan Perlembagaan. Justeru post kali ini bertujuan untuk menganalisis kebenaran di sebalik kenyataan Dr. Mahathir ini.

18 February 2012

Hak Asasi Manusia


Dalam post kali ini kita akan membicarakan soal yang kerap kali kita dengar dicanang dan diperjuangkan ramai orang terutamanya ahli-ahli politik yakni tentang hak asasi manusia atau human rights. Situasi semasa memperlihatkan bagaimana soal hak asasi manusia ini begitu hebat diperjuang dan diutamakan sehingga ke suatu tahap di mana hak asasi manusia dianggap seolah-olah suatu agama yang baru. Manakan tidak, atas nama hak asasi manusia, agama-agama yang sedia ada yang telah wujud sejak beratus tahun dahulu dikritik, diketepikan dan dikatakan tidak relevan semata-mata kerana bertentangan dengan apa yang dikatakan sebagai hak asasi manusia.

Soal hak asasi manusia bermula secara formalnya apabila negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersepakat untuk membuat suatu deklarasi yang dipanggil Universal Declaration of Human Rights (UDHR) pada tahun 1948. Bermula daripada itu, setiap negara anggota PPB berusaha bertungkus-lumus untuk membangunkan hak asasi manusia dan mengaplikasikan hak asasi manusia di dalam negara mereka. Namun pada hakikatnya, UDHR bukanlah suatu instrumen yang mengikat (binding) dan wajib untuk dipatuhi. UDHR hanyalah berfungsi sebagai suatu rekod persefahaman antara negara-negara anggota PBB untuk mengiktiraf hak asasi manusia dan tidak lebih daripada itu.

03 February 2012

Muhammad Bin Abdullah, Rasulullah


لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." 
[Surat At-Taubah: 128]

Bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul pada hari Ahad ini marilah kita mengetahui sedikit-sebanyak biodata peribadi berkenaan insan teragung, Muhammad Rasulullah:

Nasab daripada keturunan bapa baginda: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan.

Nasab daripada keturunan ibu baginda: Muhammad bin Aminah bin Wahab bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Kilab (di sinilah bertemunya nasab daripada sebelah bapa dan ibu Rasulullah)

Keturunan: Rasulullah berketurunan Bani Hashim daripada suku Arab Quraisy.