Pages

20 January 2012

Rakyat Hakim Negara?

'Rakyat hakim negara' adalah suatu slogan yang dijaja oleh Anwar Ibrahim atau sekurang-kurangnya pengikut beliau dalam usaha membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat baru-baru ini. 

Bagi mereka yang punya kewarasan akal untuk berfikir, pastinya mereka akan menyedari betapa slogan ini adalah slogan bodoh yang tidak masuk akal. Mana mungkin rakyat yang tidak punya pengetahuan yang cukup mengenai undang-undang boleh dilantik menjadi hakim. Mana mungkin rakyat yang mudah terpengaruh dengan ceramah yang berapi-api boleh menjadi hakim. Mana mungkin rakyat yang mudah diperbodohkan dengan cerita-cerita fitnah boleh menjadi hakim. Mana mungkin rakyat yang emosi dan mudah diheret ke jalan-jalan layak menjadi hakim. Slogan ini hanyalah suatu slogan politik demi kepentingan peribadi Anwar Ibrahim semata-mata. Tidak kira daripada perspektif undang-undang sivil mahupun Shariah, rakyat tidak layak dijadikan sebagai hakim.

Rakyat Malaysia sebelum berlakunya krisis Anwar Ibrahim adalah rakyat yang bertamadun. Rakyat Malaysia bukan rakyat yang emosi tetapi mendahulukan fikiran daripada perasaan. Demonstrasi jalanan bukanlah suatu kelaziman rakyat Malaysia. Namun betapa hebat pengaruh Anwar Ibrahim membawa rakyat Malaysia jauh kebelakang seiring dengan jirannya yang gilakan demonstrasi. Sikit-sikit demonstrasi. Demonstrasi dulu fikir kemudian. Jalan-jalan dijadikan tempat meluah perasaan menggambarkan sifat mundur dan tidak matang rakyat Malaysia. Semuanya jasa Anwar Ibrahim.

Baru-baru ini sekali lagi demonstrasi atas nama Perhimpunan Aman 901 diadakan diperkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada hari keputusan perbicaraan Anwar dibacakan. Beribu-ribu orang berkumpual untuk menyuarakan sokongan mereka tidak kira lelaki atau perempuan yang Islam mahupun yang kafir. Ada yang menyorakkan kebebasan, ada yang memaki hamun puak lain ada pula yang membaca Yasin, berdoa dan solat hajat. 

Yang saya pelik, bagaimana mereka yang berkumpul ini pasti 100% yang Anwar Ibrahim tidak bersalah. Bukan maksud saya untuk menghukum Anwar Ibrahim bersalah tetapi saya pelik ramai orang yang 100% yakin bahawa dia tidak bersalah. Apakah mereka tahu tentang apa yang berlaku di belakang mereka. Apakah mereka menerima wahyu mengatakan Anwar tidak bersalah? Bertambah pelik lagi ada yang solat hajat, baca yasin dan berdoa bagai supaya Anwar Ibrahim dibebaskan sedangkan mereka bukannya 100% pasti yang Anwar Ibrahim tidak bersalah. Yang mereka tahu cumalah khabar-khabar angin yang disebarkan oleh media dan ceramah-ceramah politik.

Malangnya dek kerana emosi didahulukan daripada akal, agama pun diherat sama ke dalam kancah politik hina ini. Agama dipergunakan demi kepentingan politik. Manusia yang tidak tahu betul atau salahnya dipuja-puja seolah-olah dia seorang yang maksum lagi suci daripada dosa sedangkan tiada siapapun yang tahu apa yang diperbuatnya melainkan dirinya sendiri. Tidakkah para penyokong fanatik ini berfikir andainya Anwar Ibrahim benar-benar bersalah dan sebaliknya mereka bertungkus lumus bersolat hajat dan mendoakan pembebasannya, bukankah mereka telah menyalahgunakan agama dan berdoa memohon kezaliman? 

Meskipun mahkamah memutuskan Anwar didapati tidak bersalah itu sekali-kali tidak bermakna dia tidak bersalah. Tidak bersalah dan didapati tidak bersalah adalah dua perkara yang berbeza. Apa yang mahkamah putuskan tidak semestinya menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku. Justeru kita sebagai orang yang tidak benar-benar tahu akan kebenarannya tidak harus memihak kepada seseorang dan percaya kepadanya seakan-akan dia adalah rasul dan perkataannya semuanya benar.

Sekali lagi saya tekankan yang saya tidak menuduh Anwar Ibrahim bersalah tetapi saya mengajak para pembaca supaya lebih berwaspada dan menghindari sifat ta'sub kepada manusia lain kerana seseungguhnya kita tidak dapat memastikan apa yang dilakukan oleh orang tersebut di belakang kita dan kita tidak tahu apakah sebenarnya niat yang terbuku di hatinya. Yang lebih penting, agama jangan dijadikan taruhan. Agama jangan dilibatkan dengan perkara yang tidak kita ketahui kebenarannya kerana kita tidak tahu barangkali kita telah membuat kezaliman kepada agama kita sendiri.


No comments: