Pages

16 December 2012

Bukan Cinta



Bukan Cinta

Aku bukan siapa-siapa,
Sedikit orang kenal, sedikit yang suka,

Bukan orang ada-ada,
Miskin pada harta, kurang pada rupa,

Aku orang biasa-biasa,
Hadir tak perasan, pergi tak terasa,

Mungkin aku tidaklah sempurna,
Sepertimu, aku juga hamba,

Aku bukan cinta,
Yang tak mampu kauhindar,
Aku manusia,
Lambat laun pasti kau kan lupa...

-syfadh-

02 December 2012

Peratusan = Riba?

Umum mengetahui bahawa faedah (interest) di institusi kewangan konvensional dikira berdasarkan peratusan tertentu daripada jumlah pokok yang dipinjam. Berdasarkan amalan di institusi kewangan konvensional, nilai peratusan yang digunakan adalah berpandukan BLR (based lending rate) yang ditentukan oleh Bank Negara. Peratusan inilah yang dikira sebagai riba kerana peratusan ini adalah bayaran tambahan yang dikenakan sebagai ganti kepada tangguhan masa yang diberikan oleh pemiutang. 

Contohnya, Adrew meminjam RM100,000 daripada Bank A yang akan dibayar balik secara ansuran selama 10 tahun. Pada ketika pinjaman dibuat, kadar BLR adalah 7%. Jadi jumlah yang perlu dibayar balik oleh Adrew secara kasarnya ialah RM100,000 + (RM100,000 x 7% x 10) = RM170,000. Melalui pengiraan ini, jumlah RM70,000 adalah riba.

15 November 2012

Kebebasan Beragama (Bahagian 2)

Setelah kita melihat hakikat kebebasan agama dari sudut pandang Islam (Bahagian 1), dalam bahagian 2 ini kita akan membincangkan pula tentang kebebasan agama dalam perspektif perundangan Malaysia. Saya kira umum mengetahui bahawa kebebasan beragama diperuntukkan dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan:

"Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya..."

Perkara 11(1) menyatakan setiap individu mempunyai kebebasan untuk menganut, mengamalkan dan menganuti agamanya. Namun harus diingat bahawa kebebasan mengembangkan agama adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) yang memperuntukkan sekatan terhadap penyebaran agama-agama lain kepada orang-orang Islam.

"Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam."

Walaubagaimanapun, Perkara 11 tidak secara langsung memperuntukkan setiap individu dengan hak untuk memilih ataupun menukar agama. Justeru, sekiranya kita membaca Perkara 11 secara literal maka boleh kita katakan bahawa undang-undang Malaysia tidak memberikan kebebasan untuk menukar atau memilih agama.  Sebaliknya seseorang itu hanya mempunyai kebebasan untuk menganuti dan mengamalkan agama yang telah sedia dianutinya.

07 November 2012

Kebebasan Beragama (Bahagian 1)

Yang terkini menjadi bualan ramai adalah berkenaan dengan kenyataan yang dibuat oleh Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan dengan isu kebebasan beragama di Malaysia. Berikut adalah kenyataan kontroversi beliau:

(sila ambil perhatian bahawa apa yang saya ingin paparkan melalui tayangan di atas hanyalah ucapan yang disampaikan oleh YB Nurul Izzah. Sebarang mesej tambahan yang terkandung dalam video yang dibuat oleh tuan punya video tidak sama sekali menggambarkan pendapat saya terhadap isu ini)

"and when you ask me there is no compulsion is religion... how can anyone really says, "sorry this only applies to non-Malays", it has to apply equally. In the Qur'an there is no specific term for the Malay this is how it should be done..."

Anda juga bolah merujuk kenyataan beliau dalam laman web rasmi beliau:


Saya tidak mahu memberi 'hukuman' terhadap kenyataan di atas kerana saya tidak begitu pasti dalam konteks apakah sebenarnya dia menjawab soalan yang diberikan. Adakah dari sudut pandang Islam, sudut pandang Perlembagaan Persekutuan, pandangan peribadi beliau ataupun beliau sendiri tidak faham apa yang dikatakannya dan sekadar menjawab soalan tanpa berfikir secara mendalam.

27 September 2012

Kami Dengar dan Kami Ingkar

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِ مِنْ رَبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْ رُسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ 

Ayat di atas menyebut tentang sifat orang-orang mu'min yang mana apabila disebutkan perintah-perintah Allah kepada mereka mereka bukan sahaja mendengar malah mereka taat akan perintah tersebut. Perintah-perintah Allah yang dimaksudkan di sini tidaklah kira sama ada yang secara langsung daripada Al-Qur'an dan Sunnah ataupun melalui sumber-sumber lain seperti Qiyas, Ijma' dan ijtihad para ulama kerana para ulama'lah yang memiliki kelayakan yang cukup untuk mengenalpasti perintah-perintah Allah yang mungkin kurang jelas bagi mereka yang tidak mempunyai pengajian ilmu khusus dalam bidang agama.

Namun senario pada zaman sekarang memperlihatkan situasi yang sebaliknya berlaku. Sebahagian orang Islam sudah berani menentang ulama' secara terang-terangan dan merasakan diri mereka lebih berilmu daripada para ulama' walhal mereka yang menentang ulama' ini tidak mempunyai latar belakang pengajian agama yang khusus. Dalam pada kecetekan ilmu mereka tentang ilmu usul fiqh dan kaedah istinbath hukum, mereka sewenang-wenangnya mempersoalkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan ulama' sekadar dengan hujah logik akal mereka dan dengan fitnah-fitnah yang dilontarkan terhadap ulama'.

20 September 2012

Resepi Chicken Chop

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan isi kandungan blog ini supaya tidak sahaja mengandungi bahan bacaan yang berunsur serius bahkan bahan bacaan berunsur santai, kali ini saya berkongsi resepi masakan dengan para pembaca. Buat kali ini saya ingin berkongsi resepi Chicken Chop. Selamat mencuba dan semoga bermanfaat.

Chicken Chop: Inilah hasil akhirnya

Bahan-bahan untuk menyediakan ayam:

1) Ayam bahagian dada atau peha yang dibuang tulangnya.
2) Bawang putih.
3) Halia.
4) Lada hitam.
5) Lada sulah.
6) Kicap manis.
8) Garam.
9) Sos tiram.
10) Tepung gandum.
11) Telur.
12) Serbuk roti.

11 September 2012

Untukku yang Tak Setia

Untukku yang Tak Setia

Engkau datang penuh cinta,
Bersama harapan yang sama,
Tapi maaf ku tak kuasa,
Kerana aku ada dia,
Meskinya takkan pernah jelma,
Meskinya dalam khayalku saja,

Pada malam-malam yang tiada ku di sisi,
Dalam lebat hujan yang tiada ku menemani,
Walau sedu sedan menyapa melukai,
Dia setia pasti,

Kesunyian ini suatu siksa,
Terlalu indah bagiku yang tak setia,
Cukuplah sekali dia terluka,
Tak layak untuk ku ulang semula,

Padaku usah kau merayu lagi,
Aku miliknya sampai mati,
Walaupun dia telah dinikahi,
Walaupun dia takkan pernah kembali...

-syfadh-
12:42am 
9/7/12

19 August 2012

Ucapan Hari Raya 1433H


Bersempena sambutan Hari Raya Idulfitri 1433H, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya dan maaf zahir dan batin kepada sekalian pengunjung dan pembaca blog ini. Semoga kita semua beroleh manfaat daripada blog ini.

Untuk setiap perlakuan dan kata,
Tiap tingkah dan bicara,
Tiap gaya dan bahasa,
Tiap gerak dan sapa,

Yang bersahaja,
Yang bergurau canda,
Yang memerli mengena,
Yang mengutuk menghina,
Yang menikam dada,
Yang merobek rasa,
Yang mengusik manja,
Yang memesra,
Yang memadu asmara,

Ku pinta maaf berjuta,
Ku pohon ampun segala,
Dari tabir mata yang tak tersingkap,
Dari lembut lidah yang tak terungkap,
Dari dasar hati yang tak bertingkap,
Dari dosa-dosa yang ku ratap,
Salam Aidilfitri kuucap,
Ampunan darimu ingin ku kecap,
Khilaf yang lama harap dilenyap...

Tulus,
Syed Fadhil Hanafi

16 August 2012

Kewajipan Zakat Fitrah


Apabila tibanya bulan Ramadhan, selain daripada kewajipan berpuasa terdapat satu lagi kewajipan bagi setiap mukallaf yang berkemampuan yakni menunaikan zakat fitrah. Zakat fitrah difardhukan bermula pada tahun kedua hijrah sebagaimana menurut khabar yang disampaikan oleh Ibn Umar:

"Rasulullah telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas sekalian manusia sebanyak segantang tamar atau segantang barli. (Difardhukan) ke atas setiap yang merdeka mahupun hamba, lelaki ataupun perempuan daripada kalangan muslimin".

Keempat-empat Imam bersepakat bahawa zakat fitrah difardhukan ke atas setiap muslim yang merdeka tidak kira lelaki atau perempuan, yang kecil mahupun dewasa. Ibn Al-Munzir berkata, "telah berijma' (bersepakat) para ahli ilmu bahawa zakat fitrah itu fardhu".

05 August 2012

31 Ogos Bukan Hari Barisan Nasional



Yang di atas adalah logo untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-55 dengan tema "55 tahun janji ditepati". Daripada tema Hari Kemerdekaan itu sendiri kita dapat betapa Barisan Nasional sedang dalam keadaan terdesak untuk mempromosikan parti mereka kepada masyarakat sehingga sanggup menyalahgunakan jentera dan dana kerajaan untuk kepentingan parti mereka.

Harus kita fahami bahawa Kerajaan Malaysia dan Barisan Nasional adalah dua entiti yang berbeza. BN hanyalah anggota yang menggerakkan atau menguruskan Kerajaan Malaysia dengan sebab BN telah menang pilihanraya umum yang lalu. Tanpa BN, Kerajaan Malaysian tetap wujud. Kemenangan dalam pilihanraya umum bukan bermakna BN boleh menggunakan jentera dan dana kerajaan sesuka hati demi kepentingan parti mereka kerana jentera dan dana kerajaan adalah milik rakyat Malaysia dan bukannya BN.

30 July 2012

Perihal Niat Puasa

Tatkala tibanya bulan Ramadhan, umum mengetahui bahawa sekalian umat Islam yang mukallaf diwajibkan untuk berpuasa sebulan penuh melainkan dengan sebab-sebab yang dibenarkan oleh Syara'. Namun begitu, kadang kala kita terlihat beberapa individu yang tidak berpuasa bukan dengan sebab yang dibenarkan syara' seperti haid bagi kaum perempuan ataupun dengan alasan musafir atau sakit tetapi individu tersebut tidak berpuasa dengan alasan dia terlupa untuk berniat puasa pada malam sebelumnya. Hal yang sebegini sebenarnya amat mendukacitakan kerana perkara ini berlaku dek kejahilan ilmu tentang ibadah puasa. Justeru dalam post kali ini kita akan membicarakan soal niat puasa Ramadhan.

Persoalan utama yang ingin kita jawab dalam post kali ini ialah adakah sah ibadah puasa tanpa niat dan bagaimanakah bentuk niat yang dituntut.

Para fuqaha' bersepakat bahawa niat dituntut dalam semua jenis puasa tidak kira yang wajib mahupun yang sunat. Tanpa niat, tidak sah puasa tersebut meskipun seseorang itu tidak melakukan apa-apa perkara yang membatalkan puasa. Dalam soal niat puasa, Rasulullah bersabda:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ حَفْصَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ : مَنْ لَمْ يَجْمَعْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ . رَوَاهُ الْخَمْسَةُ
Dari Ibnu Umar, dari Hafsah, dari Nabi ﷺ, beliau bersabda: ”Barangsiapa tidak berniat puasa sebelum fajar, maka sama sekali tidak ada puasa baginya”. (Riwayat Imam yang Lima)

08 July 2012

Riba (Bahagian 3: Dalil Pengharaman Riba)

Penulisan ini adalah sambungan kepada Bahagian 1 dan Bahagian 2 tajuk yang sama. Kali ini kita akan melihat peringkat-peringkat pengharaman riba. 


Sepertimana pengharaman arak, pengharaman riba juga telah dibuat secara berperingkat. Antara hikmah disebalik pengharaman secara berperingkat ini adalah kerana sewaktu zaman Jahiliyah, riba telah menular dengan sangat meluas dalam sistem muamalat masyarakat pada ketika itu sehingga riba menjadi suatu perkara yang biasa dan mereka menyangka bahawa jual beli adalah sama sahaja dengan riba. Jadi sekiranya riba diharamkan serta-merta maka ini akan memberi kejutan kepada mereka dan memberi kesusahan kepada mereka untuk mentaati perintah pengharaman tersebut.

Riba pertama kali disebut dalam Al-Qur'an apabila ayat 39 Surah Ar-Rum diturunkan. Walaubagaimanapun ketika ayat ini diturunkan, riba masih belum diharamkan tetapi ayat ini sekadar menyatakan bahawa riba tidak membawa sebarang kebaikan atau kelebihan di sisi Allah.

11 June 2012

Section 114A Evidence Act



The controversial new amendment to the Evidence Act i.e. Evidence (Amendment)(No. 2) Act 2012 which recently took its effect on 1st June 2012 provides as follow:


Presumption of fact in publication


114A. (1) A person whose name, photograph or pseudonym appears on any publication depicting himself as the owner, host, administrator, editor or sub-editor, or who in any manner facilitates to publish or re-publish the publication is presumed to have published or re-published the contents of the publication unless the contrary is proved.

(2) A person who is registered with a network service provider as a subscriber of a network service on which any publication originates from is presumed to be the person who published or re-published the publication unless the contrary is proved.

(3) Any person who has in his custody or control any computer on which any publication originates from is presumed to have published or re-published the content of the publication unless the contrary is proved.

The full version of the Act can be seen here.

If we look into the Evidence Act, we could see that Section 114A is not actually the one and only of its kind. It took its part within a lot other similar sections which deal with presumption. For instance, you could see in Sections 79-90, 112 and 113.

13 May 2012

Bersih 3.0 Haram?

Majlis Fatwa Kebangsaan melalui Muzakarah kali ke-99 tahun 2012 memutuskan bahawa menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara adalah haram di sisi agama Islam (mStar Online). Tidak lama selepas itu, mulalah ulama' pro-Bersih 3.0 tersentak dengan tidak semena-mena seolah-olah fatwa yang diberikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) merupakan suatu penampar tepat ke pipi mereka lantas menuduh MFK mengeluarkan fatwa tersebut bukan berlandaskan agama tetapi semata-mata untuk memihak kepada kerajaan atau secara khususnya UMNO.

Saya merasa sangat pelik kerana MFK tidak sekali-kali merujuk kepada Bersih 3.0 sebaliknya memberikan fatwa tersebut secara umum tidak terhad kepada Bersih 3.0 sahaja tetapi memandangkan Bersih 3.0 sememangnya suatu perhimpunan yang menghuru-harakan negara maka Bersih 3.0 ternyata sebuah perhimpunan yang haram disertai. Pihak yang pro-Bersih 3.0 tidak henti-henti bertempik bahawa Bersih 3.0 adalah perhimpunan aman menuntut demokrasi disebalik keganasan dan huru-hara yang berlaku ketika Bersih 3.0. Yang jelas mereka cuba menafikan suatu yang telah terang-terang berlaku. Tida kira sekuat manapun teriakan anda tentang amannya Bersih 3.0, hakikatnya ialah keganasan dan huru-hara telahpun berlaku dan tidak seorangpun beoleh menafikan hakikat ini.

09 May 2012

Bersih 3.0


Tahun ini sekali lagi Ambiga dan sekutunya membuat onar di tengah-tengah Badaraya Kuala Lumpur kononnya atas dasar menegakkan demokrasi. Di sebalik kebenaran bersyarat yang diberikan Kementerian Dalam Negeri yang membenarkan Bersih 3.0 diadakan ditempat lain selain Dataran Merdeka, Ambiga bekeras untuk mengadakan Bersih 3.0 kononnya dengan alasan bahawa tindakannya itu dibenarkan oleh undang-undang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012. Katanya, meskipun Datuk Bandar Kuala Lumpur mempunyai kuasa budi bicara untuk memberi atau menolak kebenaran berhimpun di tempat-tempat yang di bawah jagaan DBKL berdasarkan undang-undang tempatan, Perlembagaan Persekutuan mengatasi undang-undang tempatan tersebut. 

Saya agak terkejut ketika membaca kenyataannya ini dan tidak percaya bagaimana seorang bekas Pengerusi Majlis Peguam boleh menjadi begitu dangkal dalam mentafsir Perlembagaan Persekutuan. Meskipun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk berhimpun, hak tersebut adalah tertakluk kepada batas-batas yang diperuntukkan oleh undang-undang seperti keselamatan awan dan public order (sila rujuk Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan). Maka larangan pihak kerajaan dan Datuk Bandar KL itu adalah berlandaskan undang-undang demi memelihara keselamatan awam dan public order. Tambahan lagi, Mahkamah Majistret telah mengeluarkan arahan supaya peserta Bersih 3.0 tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka. Justeru tindakan Ambiga mengingkari perintah Mahkamah dah arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan Datuk Bandar KL adalah menyalahi undang-undang.

15 April 2012

Pemansuhan PTPTN


Semakin hampir ke pilihanraya umum semakin banyak idea-idea dangkal dikeluarkan oleh para pengemis undi. Yang terbaru, cadangan yang datang daripada pihak pembangkang supaya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan. Tak lain tak bukan, cadangan ini diharap dapat memperbodoh sebahagian besar pelajar universiti terutama yang suka bermewah-mewahan dengan menggunakan duit orang lain supaya mengundi mereka pada pilihanraya kelak.

Cadangan penghapusan PTPTN ini dikatakan kononnya sebagi salah-satu langkah untuk menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat Malaysia. Lantas sesetengah yang merelakan diri mereka diperdaya pun memperbodohkan diri duduk di tepi-tepi jalan untuk mendesak suatu tuntutan yang tidak munasabah dan tidak wajar, memansuhkan PTPTN dan melangsaikan hutang yang berjumlah lebih daripada RM45 bilion yang merupakan wang rakyat Malaysia.

25 March 2012

Ketuanan Melayu atau Affirmative Action?


Untuk pengetahuan umum, perkataan 'Ketuanan Melayu' tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi apakah sebenarnya yang dirujuk dan diperjuangkan secara bermati-matian sebagai Ketuanan Melayu oleh orang Melayu di Malaysia ini?

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan suatu kedudukan yang istimewa kepada orang Melayu dan anak negeri (peribumi) di Sabah dan Sarawak. Kedudukan istimewa ini meliputi peruktukan tanah rizab, kuota dalam penjawatan awam, biasiswa, dana siswa, kemudahan khas, pendidikan khas dan keutamaan dalam pemberian lesen dan permit. Istilah yang lebih tepat untuk merujuk kepada perkara ini adalah Keistimewaan Melayu dan bukannya Ketuanan Melayu. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan yang kaum Melayu mesti menjadi tuan bahkan dari segi pelantikan Perdana Menteri itu sendiri, Perlembagaan tidak menyatakan yang Perdana Menteri mestilah seorang Melayu.

25 February 2012

Judicial Independence (Versi Sang Pendeta syfadh)


Post kali ini ditulis sebagai suatu reaksi kepada tulisan bertajuk Judicial Independence oleh Tun Dr. Mahathir di dalam blog beliau. Tulisan tersebut sebenarnya ditulis oleh Dr. Mahathir untuk membidas kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin yang mengkritik tindakan Dr. Mahathir meminda Perlembagaan pada tahun 1988 dan menyebabkan Institusi Kehakiman kehilangan kuasanya (Article 121 amendment condemned) sekaligus menghilangkan kebebasan badan kehakiman (judicial independence). Tun Dzaiddin turut menyatakan bahawa pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas merupakan salah satu contoh pencabulan yang dibuat oleh kerajaan terhadap badan kehakiman.

Dr. Mahathir bagaimana pun menafikan yang pindaan tersebut merupakan suatu bentuk pencabulan terhadap badan kehakiman lantas menidakkan penglibatan beliau dalam pemecatan Tun Salleh Abbas. Beliau sebaliknya berkata bahawa pemecatan Tun Salleh adalah di atas kehendak Yang di-Pertuan Agong ketika itu (Sultan Johor) dan proses pemecatan dibuat oleh tribunal yang ditubuhkan berlandaskan Perlembagaan. Justeru post kali ini bertujuan untuk menganalisis kebenaran di sebalik kenyataan Dr. Mahathir ini.

18 February 2012

Hak Asasi Manusia


Dalam post kali ini kita akan membicarakan soal yang kerap kali kita dengar dicanang dan diperjuangkan ramai orang terutamanya ahli-ahli politik yakni tentang hak asasi manusia atau human rights. Situasi semasa memperlihatkan bagaimana soal hak asasi manusia ini begitu hebat diperjuang dan diutamakan sehingga ke suatu tahap di mana hak asasi manusia dianggap seolah-olah suatu agama yang baru. Manakan tidak, atas nama hak asasi manusia, agama-agama yang sedia ada yang telah wujud sejak beratus tahun dahulu dikritik, diketepikan dan dikatakan tidak relevan semata-mata kerana bertentangan dengan apa yang dikatakan sebagai hak asasi manusia.

Soal hak asasi manusia bermula secara formalnya apabila negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersepakat untuk membuat suatu deklarasi yang dipanggil Universal Declaration of Human Rights (UDHR) pada tahun 1948. Bermula daripada itu, setiap negara anggota PPB berusaha bertungkus-lumus untuk membangunkan hak asasi manusia dan mengaplikasikan hak asasi manusia di dalam negara mereka. Namun pada hakikatnya, UDHR bukanlah suatu instrumen yang mengikat (binding) dan wajib untuk dipatuhi. UDHR hanyalah berfungsi sebagai suatu rekod persefahaman antara negara-negara anggota PBB untuk mengiktiraf hak asasi manusia dan tidak lebih daripada itu.

03 February 2012

Muhammad Bin Abdullah, Rasulullah


لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." 
[Surat At-Taubah: 128]

Bersempena dengan Sambutan Maulidur Rasul pada hari Ahad ini marilah kita mengetahui sedikit-sebanyak biodata peribadi berkenaan insan teragung, Muhammad Rasulullah:

Nasab daripada keturunan bapa baginda: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka'ab bin Luway bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrakah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’add bin Adnan.

Nasab daripada keturunan ibu baginda: Muhammad bin Aminah bin Wahab bin Abdul Manaf bin Zahrah bin Kilab (di sinilah bertemunya nasab daripada sebelah bapa dan ibu Rasulullah)

Keturunan: Rasulullah berketurunan Bani Hashim daripada suku Arab Quraisy. 

20 January 2012

Rakyat Hakim Negara?

'Rakyat hakim negara' adalah suatu slogan yang dijaja oleh Anwar Ibrahim atau sekurang-kurangnya pengikut beliau dalam usaha membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat baru-baru ini. 

Bagi mereka yang punya kewarasan akal untuk berfikir, pastinya mereka akan menyedari betapa slogan ini adalah slogan bodoh yang tidak masuk akal. Mana mungkin rakyat yang tidak punya pengetahuan yang cukup mengenai undang-undang boleh dilantik menjadi hakim. Mana mungkin rakyat yang mudah terpengaruh dengan ceramah yang berapi-api boleh menjadi hakim. Mana mungkin rakyat yang mudah diperbodohkan dengan cerita-cerita fitnah boleh menjadi hakim. Mana mungkin rakyat yang emosi dan mudah diheret ke jalan-jalan layak menjadi hakim. Slogan ini hanyalah suatu slogan politik demi kepentingan peribadi Anwar Ibrahim semata-mata. Tidak kira daripada perspektif undang-undang sivil mahupun Shariah, rakyat tidak layak dijadikan sebagai hakim.

Rakyat Malaysia sebelum berlakunya krisis Anwar Ibrahim adalah rakyat yang bertamadun. Rakyat Malaysia bukan rakyat yang emosi tetapi mendahulukan fikiran daripada perasaan. Demonstrasi jalanan bukanlah suatu kelaziman rakyat Malaysia. Namun betapa hebat pengaruh Anwar Ibrahim membawa rakyat Malaysia jauh kebelakang seiring dengan jirannya yang gilakan demonstrasi. Sikit-sikit demonstrasi. Demonstrasi dulu fikir kemudian. Jalan-jalan dijadikan tempat meluah perasaan menggambarkan sifat mundur dan tidak matang rakyat Malaysia. Semuanya jasa Anwar Ibrahim.