Pages

30 December 2011

Tarjih

Dalam pengajian ilmu Islam, secara umumnya hukum-hukum itu boleh dibahagikan kepada 2 cabang yakni usul dan furu'. Perkara-perkara usul adalah perkara-perkara asas dalam agama yang tidak boleh berlaku padanya perselisihan pendapat. Contoh mudah bagi perkara yang tergolong dalam kategori  usul adalah seperti keimanan kepada Allah, Kitab dan Rasul (Rukun Iman) serta kewajipan solat, puasa dan zakat (Rukun Islam). Mengingkari perkara-perkara usul boleh mengakibatkan seseorang itu jatuh kepada kekufuran. 

Perkara furu' dalam agama pula adalah perkara 'cabang' yang melengkapi perkara usul itu tadi. Contohnya, kewajipan menunaikan solat adalah perkara usul yang mana tidak boleh diperselisihkan. Walaubagaimanapun, cara perlaksanaan solat adalah perkara furu' di mana para ulama' berselisih pendapat tentangnya. Misalnya, membaca Surah Al-Fatihah dalam solat. Jumhur fuqaha' berpendapat bahawa membaca Al-Fatihah wajib dalam setiap solat dan tanpanya solat tidak sah. Tetapi Mazhab Hanafi berpendapat bahawa membaca Al-Fatihah itu wajib tetapi bukanlah suatu kemestian sebaliknya memadai dengan bacaan mana-mana ayat daripada Al-Quran dan tidak membaca Al-Fatihah tidak menjadikan solat seseorang itu batal sebaliknya solat tersebut tidak sempurna dan makruh.
Perselisihan atau perbezaan pendapat dalam perkara-perkara furu' biasa terjadi. Antara faktornya ialah perbezaan para fuqaha' dalam memahami dalil-dalil syara', perbezaan para fuqaha' dari segi penerimaan mereka terhadap jenis-jenis dalil yang berbeza dan kesampaiaan dalil kepada sesetengah fuqaha' dan tidak pula kepada sesetengah yang lain.

Meskipun Islam membenarkan perselisihan faham dalam perkara furu' selagimana ada dalil yang menyokong setiap pendapat yang berbeza itu, ini tidak bermakna Islam melarang kita daripada menyokong satu pandangan dan menolak pandangan yang lain. Keharusan berselisih pendapat tidak bermakna kita menerima bulat-bulat semua pendapat dan beramal dengan semuanya sekaligus. Sebaliknya kita harus memilih suatu pendapat yang kita rasa aman dengannya dan beramal dengan pendapat itu.

Dalam setiap khilaf (perselisihan pendapat) ada yang dinamakan tarjih yakni membuat penilaian untuk memilih pandangan yang paling kuat antara padangan-pandangan yang sedia-ada. Membuat tarjih bukanlah bermakne kita menafikan kebenaran pendapat-pendapat lain. Semua pendapat yang ada asasnya dalam agama adalah tidak salah tetapi ada pendapat yang paling tepat. Maka daripada itu adalah menjadi tugasan kita sebagai seorang Muslim lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang usul fiqh untuk memilih pendapat yang lebih tepat pada penilaian kita.

Membuat tarjih juga bukan bermakna kita mengatakan diri kita sahaja yang betul dan menyalahkan orang lain sebaliknya kita memilih pandangan yang terbaik untuk kita amalkan. Adalah menjadi perkara biasa untuk kita menyerang hujah-hujah pihak lawan semasa kita melakukan tarjih. Perkara yang sama juga dilakukan oleh para fiqaha' dalam menegakkan pendapat mereka. Perbuatan ini tidaklah ditegah syara' selagi kita berpandukan hujah-hujah yang betul.

Malangnya segelintir individu, lebih menyedihkan lagi mereka yang belajar ilmu usul fiqh tidak memahami kepentingan tarjih. Mereka selesa untuk merasa cukup dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh ulama' zaman silam dan tidak ingin membuat inisiatif sendiri untuk memperoleh pendapat yang terbaik bagi diri mereka sendiri. Bagi mereka, apabila ada perbezaan pendapat maka kita tidak perlu buat apa-apa dan menerima semuanya tanpa sebarang penialaian. Sikap sebeginilah yang menjadikan umat Islam lemah. Sikap merasa cukup dengan sekadar apa yang ada dan malas untuk berusaha untuk sesuatu yang lebih baik. Semoga kita dilindungi Allah daripada sikap negatif ini.

No comments: