Majoriti daripada kalangan mereka yang menolak perlaksanaan hudud memberi alasan kononnya Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan hudud dilaksanakan di Malaysia. Jadi sekiranya hudud ingan dilaksanakan, maka Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Alasan sebegini telah diutarakan oleh kerajaan, DAP dan Majlis Peguam sendiri (
Henti retorik elak kekeliruan - Majlis Peguam). Malah PAS juga menganggap mereka perlu meminda Perlembagaan sebelum mereka boleh melaksanakan hudud (
Laksana hudud jika dapat undi majoriti Parlimen) Justeru, dalam post kali ini kita akan melihat adakah benar Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan perlaksanaan hudud di Malaysia.
Perkara 3: Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan
Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut sama sekali bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia. Bahkan Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan adalah asas utama untuk menjelaskan betapa Islam dipandang tinggi oleh Perlembagaan melebihi daripada agama-agama lain.
"Art. 3. (1) Islam is the religion of the Federation; but other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation."
Sesetengah orang yang berpendidikan undang-undang cenderung untuk menggunakan keputusan mahkamah dalam kes Che Omar Che Soh yang mengatakan Perkara 3 bermaksud Islam hanya terhad dalam hal-ehwal keramaian sahaja sebagai hujah untuk menolak perlaksanaan undang-undang Islam di Malaysia. Namun, anda tidak perlu kagum terhadap hujah ini kerana interpretasi yang dibuat dalam kes Che Omar Che Soh terhadap Perkara 3 adalah interpretasi yang pelik, kolot lagi jumud. Interpretasi sebegini telah menyalahi sejarah peranan Islam di Tanah Melayu serta sejarah kewujudan Perkara 3 itu sendiri.
Dalam soal undang-undang Perlembagaan, case law atau undang-undang yang terhasil daripada keputusan mahkamah tidak boleh diambil secara biblical truth (benar sebenar benarnya) kerana kedudukan Perlembagaan itu sendiri mengatasi case law dan perlembagaan perlu difahami menguikut konteksnya yang tersendiri.
Malah hakim dalam kes Che Omar Che Soh sendiri tidak berjaya menerangkan secara jelas apa yang dimaksudkan dengan "intention of the drafter" yang kononnya dikatakan Perkara 3 digubal supaya bermaksud terhad kepada hal-ehwal keramaian sahaja sedangkan Perkara 3 tidak wujud dalam laporan asal Suruhanjaya Reid. Maka tidak ada sebab mengapa interpretasi ini boleh diguna-pakai kecuali oleh mereka yang lemah dari segi ilmu undang-undang perlembagaan. Justeru, kes Che Omar Che Soh ini tidak lagi terpakai dan perlu dilihat sebagai undang-undang lapuk (bad law).
Perkara 4 dan 74: Undang-undang Jenayah adalah dibawah Kuasa Kerajaan Persekutuan
Perkara 4 dibaca bersama Perkara 74 menyatakan undang-undang jenayah adalah dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan sekiranya negeri bertindak membuat undang-undang berkenaan jenayah maka undang-undang tersebut adalah terbatal.
"Art. 4. (1) This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this Constitution shall, to the extent of the inconsistency, be void."
74. (1) Without prejudice to any power to make laws conferred on it by any other Article, Parliament may make laws with respect to any of the matters enumerated in the Federal List or the Concurrent List
Perlembagaan meletakkan kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan jenayah di bawah kerajaan persekutuan yakni melalui Parlimen tetapi ini tidak sama-sekali bermaksud Perlembagaan menghalang undang-undang Islam daripada dilaksanakan. Apa yang perlu bagi perlaksanaan hudud adalah suatu undang-undang yang digubal oleh Parlimen untuk membenarkan pelaksanaannya di Malaysia.
Mungkin ada dalam kalangan anda yang mengetahui bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan telahpun meluluskan Enakmen Jenayah Shariah II Kelantan 1993 yang memperuntukkan perlaksanaan hudud dan qisos di Kelantan. Walaubagaimanapun enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana bertentangan dengan Perkara 74 dan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang ini dilihat sebagai undang-undang yang ultra vires kerana Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang ini telahpun melebihi batas kuasa yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan.
Isu hangat terbaru yg melanda Malaysia adalah berkenaan kerajaan negeri Kelantan yang ingin melaksanakan hudud di Kelantan sahaja. Persoalan yang timbul adalah adakah hal yang sedemikian dibenarkan oleh Perlembagaan. Pada pendapat saya, hal ini adalah tidak mustahil sekiranya Parlimen bersetuju menggubal undang-undang hudud khas untuk diaplikasikan di Kelantan sahaja. Perkara 73(a) memperuntukkan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang untuk seluruh atau mana-mana bahagian di dalam persekutuan.
"Art. 73: In exercising the legislative powers conferred on it by this Constitution—
(a) Parliament may make laws for the whole or any part of the Federation and laws having effect outside as well as within the Federation"
Justeru, undang-undang hudud boleh dibuat untuk diaplikasikan khusus terhadap negeri Kelantan sahaja dan undang-undang ini tidak bertentangan dengan Perlembagaan tetapi harus diingat undang-undang ini perlu diluluskan oleh Parlimen dan bukannya Dewan Undangan Negeri.
Bersambung dibahagian 2...
Pautan:
Hudud Dan Beberapa Gambaran Salah
0 comments:
Post a Comment