Pages

09 October 2011

Perkahwinan Tanpa Saksi

(Gambar Hiasan)

Salah seorang pembaca blog ini yang menggelar dirinya 'Nur' menghantar pertanyaan kepada saya melalui Yahoo Messenger dan bertanyakan tentang suatu masalah berkaitan perkahwinan. Dia bertanya adakah sah sekiranya seorang perempuan yang ingin berkahwin dengan seorang lelaki, menelefon bapanya untuk meminta keizinan untuk berkahwin lalu bapanya mengatakan yang dia tidak kesah. Kemudian, si lelaki yang bermazhab Hanafi melafazkan akad perkahwinan dengan perempuan itu secara berdua sahaja tanpa ada saksi dan katanya hanya bersaksikan Allah. Mereka kemudiannya mengadakan hubungan kelamin dan apabila ditanya tentang status mereka, si lelaki akan berkata bahwa si perempuan tersebut adalah isterinya yang sah.

Memandangkan saya tidak mahir tentang hukum-hukum perkahwinan dalam Mazhab Hanafi, maka saya meminta sedikit masa untuk membuat rujukan sebelum saya dapat memberikan jawapan. Justeru, kepada saudari Nur, berikut adalah hasil daripada rujukan yang telah saya lakukan:

Menurut Kitab Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah Zuhaili, keempat-empat Mazhab termasuk Mazhab Hanafi menganggap penyaksian dalam perkahwinan adalah sebahagian daripada syarat sah perkahwinan. Justeru, tidak sah perkahwinan tanpa penyaksian dua orang saksi lelaki selain daripada wali. Pendapat ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Tidak ada perkahwinan melainkan dengan adanya wali dan dua orang saksi yang adil."
[Riwayat Daruqutni dan Ibn Hibban]

Mazhab Hanafi walaubagaimanapun membenarkan penyaksian sekurang-kurangnya oleh seorang lelaki dan dua orang perempuan. Pensyaratan penyaksian dalam perkahwinan adalah untuk memelihara hak isteri dan anak-anak  yakni mengelakkan tohmahan atau fitnah daripada masyarakat dan juga memelihara nasab si anak.

Dan lagi, waktu penyaksian yang disyaratkan oleh ketiga-tiga mazhab selain daripada Mazhab Maliki adalah ketika aqad berlangsung. Maksudnya, para saksi mestilah hadir ketikamana sesi ijab dan qabul sedang berlansung dan mereka harus menyaksikan sendiri sesi ijab dan qabul tersebut.

Justeru persoalan seterusnya apakah kesan perkahwinan tanpa saksi. Mengikut jumhur fuqaha', perkahwinan tersebut adalah batil yakni terbatal dan tiada sebarang kesan daripada segi syara'. Maknanya tiada perkahwinan yang diiktiraf oleh syara' dan sekiranya terdapat zuriat daripada perkahwinan tersebut maka nasabnya tidak bersambung kepada nasab si lelaki.

Sungguhpun begitu dalam Mazhab Hanafi, memandangkan penyaksian adalah syarat sah, tiada saksi dalam perkahwinan menjadikan perkahwinan itu sebagai fasid dan bukannya batil. Maknanya perkahwinan tersebut tetap tidak sah di sisi syara' tetapi Mazhab Hanafi berpendapat terdapat sesetengah kesan syara' yang lahir daripada perkahwinan tersebut. Contohnya, sekiranya lahir zuriat daripada perkahwinan tanpa saksi tersebut maka nasabnya dikira bersambung dgn nasab si lelaki. Wajib pasangan ini dipisahkan (kerana perkahwinan mereka tidak sah) dan wajib bagi si perempuan menunggu waktu iddah.  

1 comment:

Khairul Aizat said...

assalamualaikum, mohon pencerahan, Kietika Zaman Nabi Muhammad S.A.W dulu, Nabi berkahwin Tanpa mempunya wali dan saksi, iaitu ketika berkahwin dengan Zainab dan Aishah r.a , dengan mengatakan cukuplah Allah menjadi saksiku, Jadi ada 2 persoalan, benarkah peristiwa diatas berlaku? dan yg ke 2 apakah hujahnya yg mnyebabkan perkahwinan nabi adalah sah, mungkin soalan saya agak direct, saya datang dari salah satu group yg membela islam dari para murtadin dan mereka menimbulkan isu ini, harap dapat memberikan jawapan, ni email saya khairulaizat92@gmail.com ini plak Group Anti-Murtad tuh https://www.facebook.com/groups/204657742882424/ terima kasih atas pencerahan pihak tuan.