Pages

21 October 2011

Kontroversi Aziz Bari


Penggantungan Prof. Aziz Bari daripada tugas merupakan suatu tindakan tidak waras, bukti institusi keilmuan dibelengu politik murahan dan tidak telus dalam mempromosikan ilmu pengetahuan. Tindakan ini memperlihatkan betapa peranan universiti hanyalah untuk menyampaikan ilmu yang menyebelahi pihak berkuasa dan apa-apa ilmu yang bertentangan dengan pihak berkuasa adalah ilmu terlarang meskipun ilmu tersebut adalah benar.

Kontroversi ini memuncak apabila pihak pengampu terutama akhbar Utusan, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia, Perkasa, ahli parlimen (Bung Moktar, Shamsul Anuar, Zulkifli Noordin, Syed Ali) dan Dr Mahathir mula menjadi batu api dengan mencanangkan berita kononnya Prof. Aziz Bari mempertikaikan titah Sultan Selangor. Puak pengampu berharap mereka dapat membakar api kemarahan orang Melayu yang sarat dengan ideologi kuno 'sultan disembah' dan cuba mempopularkan fahaman bahawa titah sultan umpama firman tuhan yang tiada cacat celanya dan tidak boleh sama sekali dikomen apatah lagi dibantah. Dengan cara ini puak pengampu berharap mereka dapat dilihat sebagai pembela raja-raja Melayu dan institusi beraja sekaligus mendapat sokongan dan undi orang-orang Melayu.

Malangnya dek kerana kebodohan mereka yang nyata sangkaan mereka meleset kerana rata-rata orang Melayu yang masih berpegang dengan ideologi kuno ini hanyalah orang-orang Melayu tua, tidak berpendidikan dan duduk di pedalaman yang menjadikan daya pemikiran mereka terhenti di era selepas merdeka dan tidak berkembang bersama pembangunan masa. 

Majoriti masyarakat Melayu kini telah terpelajar dan tidak lagi percaya kepada ideologi 'sultan disembah'. Sultan tidak lain hanyalah manusia biasa seperti kita semua dan tanpa pengiktirafan rakyat terhadap kepimpinannya, sultan bukanlah siapa-siapa. Sultan juga tidaklah lebih mulia berbanding kita melainkan dia adalah orang yang tinggi iman dan taqwa. Ini adalah fahaman yang benar, yang diajar oleh Islam kepada kita dan saya yakin sultan selaku ketua agama Islam faham akan hakikat ini. Cuma puak pengampu sahaja yang tidak faham. Mungkin kerana mereka tidak belajar betul-betul ajaran Islam. Mereka lebih Melayu daripada Islam.

Saya juga percaya Sultan Selangor sendiri tidak tersinggung dengan komen Prof. Aziz Bari. Apa yang digembar-gemburkan hanyalah sangkaan buruk puak pengampu yang penuh niat yang keji, ingin mengapi-api dan melagakan orang Melayu. Puak pengampu tersebut bukanlah mereka yang bijak pandai dalam undang-undang tetapi ada hati ingin memberi komen perihal undang-undang. Contohnya, lihat saja Ahli Parlimen Kinabatang, dia kahwin pun tidak ikut undang-undang ada hati ingin menasihati orang lain tentang undang-undang. Undang-undang mudah pun dia tidak faham apatah lagi hendak memahami undang-undang perlembagaan. Dalam bahasa kasarnya, kalau sudah bodoh buatlah cara bodoh jangan cuba tunjuk pandai.

Dalam pada itu datang pula pihak pembangkang (Nurul Izzah dan Tian Chua) menyemak di UIA menangguk di air keruh demonstrasi selepas Solat Jumaat hari ini kononnya mereka juga membela hak para ilmuan untuk bersuara. Walhal macamlah kita tidak tahu yang mereka ini mempunyai agenda tersembunyi mencari modal politik untuk menyerang kerajaan. Mereka bukannya ikhlas membela kebebasan bersuara oleh para ilmuan sebaliknya mereka cuma ingin mengambil peluang disebalik kontroversi ini untuk meraih sokongan dan undi. Taktik lapuk yang murahan.

Puak pengampu yang telah menjadi batu api dalam isu ini mesti dipersalahkan dan bertanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan. Institusi keilmuan bukannya boneka politik. Kita tidak masuk ke institusi pengajian untuk diperbodohkan. Sekiranya insitusi keilmuan ingin dipolitikkan maka adalah lebih baik institusi keilmuan ini dibubarkan kerana tidak menepati matlamat penubuhannya.



Pautan:

1 comment:

FishyFasha said...

so true.
Aku agak terkejut pasal isu ni sbb aku cm kenal je ngn Prof.Aziz Bari (yelah, pernah guna buku die)

peliklah....