Pages

01 October 2011

Hudud: PAS Terikat, UMNO Terjerat

Cabaran Tun Dr. Mahathir supaya PAS meminta kebenaran DS Najib untuk melaksanakan hudud di Kelantan telah menghangatkan kembali cakap-cakap berkenaan isu hudud yang telah reda seketika terutama setelah PAS merubah modal politiknya daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Hasrat Dr. Mahathir barangkali untuk menempelak DS Nik Aziz yang menyelar beliau kerana menghalang hasrat PAS untuk melaksanakan hudud sewaktu zaman beliau menjadi Perdana Menteri.

Sememangnya strategi ini berkesan dengan berlakunya kegoncangan dan ketaksefahaman dalam Pakatan Rakyat. DAP cuba menjadi hero bagi rakyat bukan Islam dan mengugut untuk keluar Pakatan Rakyat sekiranya PAS ingin melaksanakan hudud. Jelas sekali PAS yang beria-iya ingin melaksanakan hudud gagal memahamkan sekutunya DAP tentang hudud sehingga mereka begitu gerun dan kecut perut dengan hudud. Bak kata DS Nik Aziz, DAP umpama budak kecil takutkan hantu.


Jadi sedangkan sekutu kuatnya ini pon tak mampu difahamkan tentang hudud, persoalannya ialah bagaimana PAS ingin meyakinkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya tentang keindahan dan keadilan hudud? Sekiranya tiada pemahaman rakyat tentang keindahan dan keadilan hudud, maka perlaksanaan hudud tidak akan memberi apa-apa makna. Dan sekiranya DAP menolak hudud, maka apalah gunanya mengundi PAS kerana walaupun Pakatan Rakyat memerintah, hudud tetap tidak dapat dilaksanakan kerana PAS terikat dengan komitmennya terhadap Pakatan Rakyat. Mungkin sudah sampai masanya PAS memanfaatkan akhbar rasminya, Harakah untuk menyebar maklumat tentang hakikat hudud daripada sibuk menyebar kebencian terhadap kerajaan. Walaubagaimanapun saya harus memuji keberanian DS Nik Aziz yang tidak menghiraukan ugutan DAP tersebut meski ramai pemimpin PAS lain yang takut.

Dalam masa yang sama, UMNO turut terjerat dalam permainan. Kali ini MCA pula cuba menjadi jaguh mengugut untuk keluar daripada Barisan Nasional sekiranya UMNO bersetuju dengan hudud. Orang paling takut dengan hudud pastinya Presiden MCA sendiri yang telah terlibat dalam skandal seks tetapi masih tegar bermuka tembok semata-mata ingin berkuasa. Yang lebih pelik lagi adalah ahli MCA sendiri yang boleh mengundi seseorang yang tidak bermoral untuk menjadi presiden sekaligus menjadikan MCA sebagai parti paling tidak bermoral di bumi Malaysia ini. Entah ke mana moral para pengikut MCA. Manusia kalaupun dia tidak punya agama, dia masih ada moral kerana moral adalah sifat semulajadi manusia. Maka manusia tanpa moral bukan manusia sebenarnya tetapi lebih kepada binatang yang boleh berkata-kata, dalam hal ini mungkin sedikit maju, binatang yang pandai bermain politik. Jadi tidak hairan mengapa MCA menolak hudud.

DS Najib tidak pula kedengaran memberi respon kepada ugutan MCA ini. Mungkin DS Najib tidak seberani DS Nik Aziz dan mungkin juga kerana DS Najib tidak begitu bersungguh-sungguh demi hudud sebagaimana DS Nik Aziz.

Yang lebih mendukacitakan, DS Najib tidak mampu memberi jawapan yang jelas dan munasabah mengapa dia enggan untuk membenarkan PAS melaksanakan hudud di Kelantan. Sekiranya beliau tidak mampu memberikan jawapan yang munasabah maka tidak ada sebab mengapa beliau harus terus menjadi Perdana Menteri. Mengikut laporan berita, sebab yang diberikan oleh DS Najib adalah:
"Undang-undang hudud kita tidak akan laksanakan di Malaysia ini walaupun kita terima bahawa ini undang-undang tuhan. Dan sebagai sebuah parti yang terdiri daripada orang-orang Islam, kita terima hakikat ini bahawa inilah undang-undang tuhan tetapi kalau kita nak laksanakan ia mesti berpaksi kepada realiti. Kalau kita tanya pada para ulama', undang-undang Islam itu tidak boleh kita laksanakan melainkan kita mengambil kira persekitaran dan realiti lagipun matlamat sesuatu pentadbiran itu mengikut Islam adalah tergolong dalam prinsip-prinsip maqasid shariah. Antara prinsip maqasid shariah adalah untuk mempertahankan agama, nyawa, akhlak, harta benda dan sebagainya. Jadi dengan keadaan sekarang ini melalui undang-undang yang sedia ada prinsip dan matlamat maqasid shariah ini boleh dipertahankan dan boleh diperjuangkan oleh kita."
Tapi apa maksud sebenar "mesti berpaksi kepada realiti" itu sangat kabur. Apakah hudud itu tidak berpaksi kepada reliti? Kalau maksud beliau adalah sifat undang-undang hudud itu sendiri yang tidak berpaksikan realiti maka sememangnya beliau telah salah. Kerana jika benar dia mengakui bahawa hudud adalah undang-undang tuhan mana mungkin undang-undang tuhan tidak berpaksi kepada realiti. Tetapi sekiranya maksud beliau adalah keadaan realiti di Malaysia pada masa kini tidak sesuai untuk pelaksanaan hudud maka barangkali kita boleh menerima alasan ini dengan syarat kerajaan sentiasa berusaha dengan seluruh daya yang ada ke arah mewujudkan suasana yang sesuai untuk pelaksanaan hudud. Namun adakah anda dapati usaha ini dilakukan? 


No comments: