Pages

16 September 2011

Hari Malaysia 2011, Hari Demokrasi Malaysia


Bersempena dengan Hari Malaysia 2011 yang disambut pada hari ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan perkara-perkara yang berikut:

1. Kerajaan akan membentangkan usul menurut Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan di Parlimen untuk menarik balik 3 pengishtiharaan-pengishtiharaan darurat yang dibuat pada tahun 1966 (kemelut politik di Sarawak), 1969 (peristiwa berdarah 13 Mei) dan 1977 (kemelut politik di Kelantan).

2. Kerajaan akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan secara keseluruhannya.

3. Kerajaan akan menggubal undang-undang baru di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan untuk menentang tindakan subversif, keganasan terancang dan jenayah. Undang-undang baru tersebut akan memperuntukkan tempoh penahanan tanpa bicara (preventive detention) yang lebih pendek berbanding ISA dan kuasa untuk melanjutkan tempoh tahanan akan diserahkan kepada mahkamah kecuali kuasa berkaitan undang-undang keganasan.


4. Kerajaan akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 secara keseluruhannya.

5. Kerajaan akan mengkaji semula Akta Kediaman Terhad 1993 (Restricted Residence Act).

6. Kerajaan akan mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 

7. Kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 (berkenaan permit berhimpun) berlandaskan Perkara 10 Perlembagaan Persetukuaan (hak berhimpun).

Pengumuman untuk perlaksanaan perkara-perkara di atas sememangnya telah dinantikan oleh sekalian rakyat Malaysia sejak sekian lama. Setelah berpuluh-puluh tahun penantian, rakyat Malaysia mendapat peluang untuk mengecap kebebasan yang HAMPIR SEMPURNA daripada belengu-belengu yang selama ini mengekang kebebasan mereka. Perlaksanaan perkara-perkara tersebut, sekiranya benar-benar dilaksanakan dengan ikhlas, sangat wajar dan harus disokong oleh sekalian rakyat.

Kebebasan HAMPIR SEMPURNA ini bagi saya sudah memadai meski mungkin dalam kacamata sebahagian pembangkang, ini belum mencukupi (bahkan tidak akan pernah ada apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan, mencukupi bagi mereka). Sebabnya, kebebasan yang mutlak itu adalah suatu perkara yang mustahil, tidak mampu untuk diberikan oleh mana-mana kerajaan yang waras di dalam muka bumi ini dan tidak praktikal untuk diaplikasikan. Islam sendiri tidak mampu memberikan kebebasan yang mutlak. Bahkan kebebasan yang mutlak itu memudharatkan.

Dalam hal ini, seharusnya kita menutup buku lama. Kita tidak perlu untuk memberi komen-komen negatif dan tidak perlu semata-mata kita ingin menyelindungkan kebaikan perubahan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan semata-mata kerana kita tidak sebulu dengan kerajaan daripada sudut politik. Contohnya, sesetengah pemimpin pembangkang apabila diminta memberi komen, enggan mengakui kebaikan perubahan ini dan sibuk mengulang-ulang yang bahawasanya perubahan ini sepatutnya telah lama dilaksanakan. Saya percaya kemungkinan besar ini berlaku kerana pembangkang telah hilang salah satu modal politik terbesar dan terkuat yang telah sekian lama mereka gunakan untuk menyerang dan menyelar kerajaan.

Persoalannya, ini bukan masalah masa lampau, apa yang perlu adalah menyokong perkara yang baik tanpa ada dolak-dalih. Fokus kita bukan apa yang berlaku pada masa lampau kerana kita tidak punya kudrat untuk mengubah apa yang telah lalu sebaliknya menumpukan tekad untuk masa depan. Contohnya, menyumbangkan idea-idea bernas dalam usaha penyemakan semula beberapa akta dan penggubalan undang-undang baru.

Saya rasa tidak keterlaluan sekirannya saya menggelar Hari Malaysia 2011 merupakan Hari Demokrasi Malaysia. Ini kerana pengumunan perlaksanaan perkara-perkara di atas bakal menyuburkan lagi amalan demokrasi serta memperkasa hak asasi manusia dan bertepatan dengan kehendak Shariah.

Walaubagaimanapun, diharapkan undang-undang yang bakal digubal dibawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dibuat dengan seimbang dalam memelihara kesejahteraan dan keharmonian negara dengan menjaga hak-hak asasi manusia, membasmi salah-guna kuasa serta mengambil kira ajaran agama Islam selaku agama rasmi Persekutuan. 

Saya juga berharap rakyat tidak terlalu mengharap perubahan yang terlalu besar daripada segi perbezaan antara ISA dan akta baru tersebut. Ini kerana, dalam usaha mengekalkan keamanan dan kesejahteraan sejagat, sesetengah perkara perlu dikorbankan dalam pada kita tidak rela untuk mengorbankan perkara tersebut. Setiap perkara yang ingin kita capai ada 'bayarannya' dan perlu kita bersedia untuk mengeluarkan 'bayarannya' itu atau kita tidak akan mencapai apa yang kita hasratkan. 

Sekian, selamat menyambut Hari Malaysia 2011, Hari Demokrasi Malaysia. 



No comments: