Pages

21 September 2011

Sayonara Negara Islam

Bilamana PAS menukar polisinya daripada Negara Islam ke Negara Berkebajikan, kita dapat memahami usaha tersebut secara penuh tanpa apa-apa keraguan. Sebabnya, orang-orang PAS adalah orang yang 'maha mahir' dalam pentafsiran Al-Qur'an dan mereka mengatakan kehendak Al-Qur'an adalah Negara Berkebajikan dan bukannya Negara Islam. Justeru, bila PAS berkata begini maka kita mesti akur meski setelah berpuluh tahun PAS berjuang menggunakan modal politik Negara Islam dan menghentam setiap Muslim yang tidak sehaluan politik dengannya sehingga sesetengahnya ke tahap mengkafirkan penentangnya, PAS kini menemui yang bahawasanya Negara Islam tidak disebut dalam Al-Qur'an dan sebaliknya Al-Qur'an menyebut Negara Berkebajikan.

Dalam sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Seri Nik Aziz Nik Mat, bekas mufti Kerajaan Negeri Perlis, Prof. Madya Dr. Asri  ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk "Hudud suatu Perbincangan: Tanggapan, suasana dan Keberkesanan", menyebut:

"Keadaan yang ada di negara kita sekarang tidak menunjukkan suasana kondusif untuk melaksanakan hukum hudud, dan dalam konteks ini kita tidak boleh menyalahkan sesiapa."
"Jika ada hukum yang ditegak atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan kepada kehidupan manusia, maka ia bukan syariat yang Allah kehendaki sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam mempertahankannya," (sumber Berita Harian, 20/9/11)
[Pendapat yang hampir serupa dengan kenyataan Dr. Asri yang di atas telah saya utarakan dalam post-post saya yang lalu seperti Perlembagaan Islam, Realiti atau Fantasi dan Memahami Hudud, Qisos, Diyat dan Ta'zir (Bahagian 1).]

Kalau dulu ketikamana PAS 'menganut' polisi Negara Islam, pastinya kenyataan yang dibuat oleh Dr. Asri ini akan dikecam teruk oleh pemimpin-pemimpin dan 'penganut-penganut' PAS. Pastinya kenyataan tersebut akan menyebabkan Dr. Asri berpotensi besar dikatakan menolak ajaran Islam, dituduh menyelewengkan agama Islam dan mungkin dihukum sebagai kafir kerana mengatakan yang Hudud belum sesuai untuk dilaksanakan dalam Malaysia. Tapi kini setelah polisi Negara Islam PAS tinggal sejarah, meski kenyataan di atas dibuat dalam sambutan Hari Hududullah Kelantan, kenyataan tersebut tidak membangkitkan sebarang reaksi bahkan seolah-olah tidak dilaporkan langsung oleh media.

Sebenarnya bagi saya bukanlah suatu isu sama ada di dalam Al-Qur'an atau Sunnah ada menyebut tentang negara Islam. Ini kerana tanpa perlu ada syak wasangka lagi bahawasanya Al-Qur'an dan Sunnah ada menyebut tentang Negara Islam cuma barangkali bukan secara langsung atas nama Negara Islam. Tetapi ciri-ciri asas sebuah negara yang Islam sememangnya disebut dalam Al-Qur'an dan Sunnah seperti perpaduan, keadilan, keamanan, kebajikan, bantu-membantu, mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, menghormati ajaran agama lain serta lain-lain ciri. Meragui atau menafikan hakikat ini bermakna anda mengatakan yang Islam itu sebagai sebuah agama yang bersifat kekurangan. Bahkan negara berkebajikan itu sendiri adalah salah-satu sifat sebuah negara Islam. Apakah  polisi negara Islam sebelum ini tidak merangkumi negara berkebajikan? Mana mungkin ada perkataan Islam tanpa di dalamnya merangkumi kebajikan.

Namun begitu malangnya manipulasi sesetengah pihak terhadap penggunaan terma dan slogan demi mencapai matlamat tertentu telah banyak mempengaruhi dan menyeleweng masyarakat. Ini diburukkan lagi apabila terma dan slogan tersebut menggunakan perkataan yang berhubung kait dengan Islam tanpa memaparkan wajah sebenar ajaran Islam. Mereka yang cetek pemikiran pula menelan bulat-bulat apa yang diuar-uarkan semata-mata kerana padanya terdapat label Islam. Lebih malang lagi mereka yang asalnya boleh berfikir enggan untuk berfikir atau disekat daripada berfikir kerana tunduk pada polisi yang dibuat oleh orang atasan yang lebih berpengaruh atau rela mengorbankan Islam demi mencapai matlamat peribadi.

Pautan:
1) Berita Harian, Hudud belum sesuai dilaksanakan, Dr. Asri
2) Kelantan Dan Tanggungjawab Hudud, Dr. Asri

No comments: