Pages

27 July 2011

Tiga Tahun di Landasan Blogger


Bukan mudah untuk menulis. Maksud saya menulis sesuatu yang membuatkan si penulis itu sendiri berasa puas dengan penulisannya manakala si pembaca pula terkesan dengan penulisan tersebut. Maka dengan sebab itu dalam tempoh 3 tahun blog ini telah beroperasi, kadang-kala anda terlihat yang blog ini tidak dikemaskini sehingga dua tiga minggu lamanya. Bila ini berlaku, itu maknanya saya belum berhasil menulis sesuatu yang memuaskan hati saya, kata orang Kg Baru, tiada 'self satisfaction'.

Kalau setakat ingin mengemaskini blog dengan sepatah dua kata atau sebaris dua ayat dalam satu post semata-mata untuk memberitahu pembaca yang anda masih hidup dan bernafas itu bukan menulis tetapi menconteng dan itu bukan saya. Sebab fungsi blog ini semasa di awal pembukaannya bukan untuk tempat saya merapu sebagaimana banyak blog yang wujud diluar sana. Meskipun begitu saya cuba sedaya upaya untuk mengemaskini sekurang-kurangnya dengan 2 post setiap bulan.

Setiap orang punya cara penulisannya sendiri. Orang Kg Baru panggil 'signature'. Ada orang menulis berbunga-bunga sehinggakan kita jadi keliru dengan mesej yang cuba disampaikan. Cara ini mungkin sesuai jika anda menulis novel yang mana sememangnya kena panjang kalau tidak orang tidak mahu beli. 

Ada orang yang menulis sehingga die sendiri sesat dalam penulisannya. Semuanya ingin disumbatkan ke dalam satu penulisan sehingga si penulis sendiri jadi terpesong akhirnya. Bila penulis terpesong maka pembaca lagilah jadi bingung. Cara penulisan begini lebih sesuai jika anda tidak menulis langsung. Sebabnya, daripada memenatkan diri sendiri dan membingungkan orang ramai lebih baik anda duduk diam sahaja atau buat kerja lain.

Ada pula orang yang hanya tahu copy dan paste, tiru penulisan orang lain. Dia tiada benda untuk menulis tapi tetap berjiwa besar mahu punya blog sendiri. Orang sebegini memang menyedihkan. Kerja dia ciplak karya orang lain. Alasannya konon, dalam Islam tiada hak cipta. Entah di mana dia ceduk ajaran palsu ini.

Sebagaimana yang anda baca di blog ini, begitulah saya. Kadang-kala boleh jadi sedikit berseni, kadang-kala boleh menjadi agressif dan agak kasar, Apa cara sekalipun yang digunakan, tujuannya adalah untuk memberi kesan di hati para pembaca dan bukan untuk menjadikan penulisan saya sebagai bacaan santai sahaja dan bukan pula blog untuk mempromosikan diri.

Saya selalu cuba memasukkan falsafah kehidupan saya di setiap penulisan. Meski saya tidak berkongsi cerita peribadi dalam blog ini, saya berkongsi dengan para pembaca falsafah-falsafah yang saya pegang dalam menjalani kehidupan seharian.

Mungkin sesetengah orang melihat saya sebagai seorang yang membosankan kerana rata-rata penulisan saya menjerumus ke arah tajuk-tajuk yang serius dan memerlukan pembaca meggerakkan minda mereka. Namun hakikatnya di luar blog ini saya bukannya seorang yang serius setiap masa. Boleh jadi juga jika anda berjumpa saya di luar anda tidak percaya yang saya menulis blog ini.

Bersempena tanggal 3 tahun umur blog ini, saya menukar kepala (heading) blog ini daripada 'Karut-marut Sang Pendeta syfadh' kepada 'Kalam Sang Pendeta syfadh'. Ini demi menyahut saranan beberapa pembaca supaya kepala blog ini ditukar supaya lebih sesuai menggambarkan isi kandungannya. Justeru bagi saya mengapa tidak. Saranan yang baik ada baiknya kita menurutinya. Namun url blog ini tetap kekal di syfadh.blogspot.com.

Akhir kata saya berdoa kepada Allah semoga saya terus diberi keupayaan dan idea-idea bernas untuk terus menulis dan menyampaikan mesej kepada para pembaca sekalian. Saya juga ingin berterima kasih kepada pembaca yang terus sudi membaca penulisan dan memberi komen di blog ini yang mana secara tidak langsung memberi sokongan kepada saya untuk terus menulis.

Sekian, wassalam.
- Syed Fadhil Hanafi Syed A Rahman

2 comments:

FishyFasha said...

wah...lama sudah...
slmt ulang tahun blog...
hihihi..

saya suka decorate blog saya...
dan baca blog saya sendiri berulang kali sambil dgr lagu di blog sambil puji blog saya cantik..

hihihihi...

Anonymous said...

awal yang baik